Thursday, October 8, 2009

Kisah Haji 21

Kak Sunarti
Salah seorang teman sebilik aku di Mekah dan Madinah ialah Kak Sunarti. Apa yang membuatkan aku kagum dengannya ialah kegigihan beliau beribadat sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Beliau tidak pernah melepaskan solat berjemaah di masjid . Banyak masanya dihabiskan di masjid berbanding di hotel. Malah di dalam bilik kami beliau antara yang terawal pergi ke masjid.

Kak Sunarti yang aku panggil kak Su bekerja sebagai seorang cleaner dan mempunyai 3 orang anak yang berusia dalam linkungan 20 -25 tahun. Beliau menunaikan haji bersama suami beliau yang bekerja sendiri. Keazaman beliau untuk menjejakkan kaki ke bumi Mekah dan Madinah cukup kuat dan tahun itu dalam usia yang belum mencapai 50 tahun beliau berjaya menunaikan hasratnya.

Aku kagum dengannya yang gigih bekerja mengumpul duit untuk menunaikan haji. Katanya setiap hari beliau akan menaiki bas sesudah subuh untuk ke tempat kerjanya. Kalau diikutkan gaji yang diterima tidaklah seberapa tetapi dengan gaji itulah beliau berjimat untuk mengumpul wang secukupnya. Ada juga pernah bertanya padanya kenapa bekerja juga dengan gaji yang kecil dan bersusah menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Jawab beliau jika tak bekerja mana beliau nak cari duit untuk menunaikan haji.

Sepanjang masa di Madinah dan Mekah beliau gunakan sebaik2nya. Jarak jauh bukan penghalang untuk berjalan kaki setiap hari ke Masjidil Haram. Pernah satu ketika beliau berada di Masjidil Haram dari Zohor hinggalah Subuh.

Jika difikirkan balik ramai orang yang jauh lebih berkemampuan dari Kak Su, tetapi tiada keinginan untuk menunaikan haji. Malah ada juga yang pergi tetapi pergi seolah-olah seperti bercuti. Aku harapkan kisah kak Su ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada yang lain untuk menunaikan haji.

Di sana pangkat dan wang tidak penting dan semua kita adalah sama. …

Kisah Haji 20

Berbeza dengan Madinah suasana di Makkah agak ‘sibuk’ . Rutin kami di Makkah dimulakan dengan Qiamullail di Masjidil Haram dalam lebih kurang jam 3.00 pagi dan solat Subuh di sana. Dalam pukul 7.00 – 7.30 pagi kami berdua akan berjumpa kembali dan mencari makanan untuk breakfast. Kami biasanya makan bersama di hotel. Selepas kembali ke bilik untuk berehat , mandi, membasuh baju dll kami akan berangkat kembali ke Masjidil Haram lebih kurang 2 jam sebelum Zohor. Walaupun makanan tengah hari disediakan oleh pihak Muassasah tapi aku dan Anwar biasanya makan tgh hari di kedai-sekitar Masjidil Haram selepas Zohor kerana kami berdua setuju untuk tidak kembali ke hotel selepas Zohor. Makanan tengah hari kegemaran kami di sana ialah Nasi Mandi. Since di sana makanan untuk seorang lebih dari mengenyangkan kami berdua biasanya berkongsi makanan tengah hari yg dibeli. Itu pun sudah cukup membuatkan kami kenyang sehingga malam. Kami hanya balik ke hotel selepas Isyak oleh itu waktu siang kami sehingga Isyak dihabiskan di Masjidil Haram.

Walau bagaimanapun seminggu sebelum hari Wukuf, rutin kami ini berubah kerana jemaah yang makin ramai menyebabkan kebanyakan kedai makan sesak. Oleh itu kami mengambil keputusan untuk kembali ke hotel selepas Zohor untuk makan tgh hari yang disediakan. Selepas itu kembali semula ke Masjidil Haram untuk solat Asar, Maghrib dan Isyak.

Tempat perjumpaan aku dan Anwar juga tidak tetap. Biasanya kami akan berjumpa kembali di tempat kasut yang bernombor. Since kami berdua sahaja, oleh itu kami akan sentiasa berubah tempat sepanjang kami di Masjidil Haram. Oleh itu rak yang menempatkan kasut kami akan menjadi tempat untuk kami berjumpa kembali.

Bila dikenang kembali rindunya menghabiskan masa di Masjidil Haram. Tiadak terasa langsung masa berlalu sehingga Isyak. Antara waktu solat dihabiskan dengan membaca Quran, menunaikan solat2 sunat dan juga berkenalan dengan jemaah haji dari Malaysia dan juga negara lain. Terasa kuatnya ikatan silaturrahim di sana. Bahasa bukan penghalang untuk berbual. Senyuman juga sudah cukup untuk merapatkan ukhwah sesama jemaah.

Alhamdulillah selama kami di bumi Makkah, kami berdua diberikan olehNya kesihatan yang baik. Walaupun construction di sana sini dan keadaan agak berdebu dan berhabuk ditambah pula dengan jarak hotel dan masjid yang agak jauh, kami diberi kekuatan untuk menjalankan ibadat di sana. Malah jika difikir2kan, perjalanan setiap hari kami ke masjid menjadi seperti satu bentuk exercise kepada kami. Berpadanan dengan jumlah makanan yang kami ambil disana. Disamping itu perjalanan kami setiap hari pergi dan balik dari masjid memberi peluang untuk aku dan Anwar berdua. Kalau di Malaysia, dengan dua hero yg lasak, masa untuk kami berdua memang sangat terhad.

Kisah Haji 19

Pagi itu kumpulan kami berkumpul di lobi hotel untuk memulakan tawaf. Perjalanan kami ke Masjidil Haram dalam kumpulan besar. Sepanjang perjalanan kami menempuh kedai-kedai yang berderetan dan juga perlu melintas jalan besar. Makin dekat ke Masjidil Haram, kami dapati banyak bangunan-bangunan telah dirobohkan dan keadaan agak berhabuk dan berdebu. Construction banyak berjalan di sekeliling Masjidil Haram.

Kami dibawa masuk melalui Bukit Marwah. Memandangkan kawasan Sai’e juga masih dalam proses pengubahsuaian, keadaan di Bukit Marwah juga agak berdebu dan berhabuk. Tetapi itulah cabaran haji kami untuk tahun itu. Kumpulan kami terus dibawa untuk melakukan tawaf manakala aku dan Anwar berpecah dari mereka dan mencari toilet. Selesai semua urusan kami menuju ke dataran Kaabah.

Dan disinilah air mata pertama menitis di bumi Makkah ketika melihat Kaabah. Segala perasaan yang tidak dapat digambarkan datang. Ketika itu jemaah masih belum ramai yang datang oleh itu dataran Kaabah juga tidak sesak. Walau bagaimanapun aku dan Anwar berjanji sekiranya kami terpisah kami akan berjumpa kembali di Safa untuk melakukan Sai’e. Kami memulakan tawaf mulanya bersama-sama. Tetapi dalam sekelip mata kami terus terpisah. Bukan kerana jemaah yang ramai tetapi terpisah begitu sahaja. Since kami berdua sudah berjanji supaya jgn mencari jika terpisah jadi aku melakukan tawaf sendirian. Bila difikirkan kembali memang ada hikmah disebalik kami terpisah dengan kumpulan kami dan juga terpisah antara satu sama lain ketika tawaf. Dengan itu kami dapat menghayati tawaf pertama kami dengan lebih mendalam dan dapat lagi fokus pada ibadat yang dilakukan.

Pengalaman tawaf pertama tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Syukur pada Allah kerana memberi pada kami kemudahan dan kelapangan. Jemaah juga tidak ramai dan kami berpeluang untuk bertawaf sedekat yg boleh dengan Kaabah, solat di belakang Maqam Ibrahim dan berdoa di hadapan Multazam.
Selepas itu aku menuju ke arah Safa dan menunggu Anwar di situ untuk melakukan Sai’e. Untuk Sai’e kami melakukannya bersama-sama sehinggalah kami menyelesaikan Sai’e kami dan diikuti bergunting….dan selesailah umrah kami.

Selepas itu kami berdua keluar dari Masjidil Haram mencari kedai makan. Ketika itu masih ada 2 jam sebelum Zohor. Kami mengambil keputusan untuk kembali ke hotel selepas Zohor. Oleh itu selesai makan di kedai yang berdekatan kami kembali ke Masjidil Haram. Aku dan Anwar berpisah dan kami mencari tempat masing-masing di dalam masjid dan akan berjumpa kembali selepas Zohor untuk balik ke hotel bersama-sama.
Zohor itu adalah solat berjemaah pertama kami di Masjidil Haram….
Selepas Zohor aku bertemu kembali dengan Anwar dengan wajah baru tanpa rambut..

Sunday, July 5, 2009

Kisah Haji 18



Kisah di Mekah

Selepas lebih kurang 8 hari di Madinah kini bermulalah kisah kami di Mekah. Perjalanan kami semakin hampir ke kemuncak.

Di Mekah kami ditempatkan di Hotel Al-Janadriyah. Bukan sahaja KT02 ditempatkan di sini tetapi juga beberapa KT lain. Hotel kami ini merupakan Head Quarters Tabung Haji di Mekah jadi banyak kemudahan tersedia di sini. Khidmat dobi, kaunter pengeluaran wang, kafe semuanya tersedia di lobi hotel ini. Jarak hotel ini dengan Masjidil Haram lebih kurang 750m tetapi jika dikira perjalanan yang sebenarnya aku anggarkan lebih kurang 1km untuk tiba di pintu masuk Masjidil Haram yang biasa kami lalui.
Itu aku kira memang tidak mengejutkan kami kerana awal-awal lagi kami telah diberitahu bahawa kawasan sekitar Masjidil Haram dalam construction oleh itu banyak hotel2 yang dekat telah dirobohkan. 750m dikira masih dekat berbanding dengan jemaah negara lain di mana ada di antara mereka menginap 4 km dari masjid.

Dalam bilik aku terdapat 6 jemaah lain bermakna kami 7 orang sebilik manakala Anwar 6 orang sebilik. Bilik aku dan Anwar tidak jauh hanya selang beberapa buah bilik.
Aku masih sebilik dengan kak Hasmah dan Kak Sunarti yang sebilik dengan aku ketika di Madinah. Rakan yang lain adalah kak Norain (makcik), kak Nuraini (kak Nor), kak Rawiah dan kak Bandiah (kak Ban). Keempat-empat mereka merupakan orang Klang.
Kesemua rakan sebilik aku kesemuanya telah berusia 40 tahun ke atas dan tiga dari mereka telah bercucu. Hanya tiga org sahaja yang bekerja termasuk aku iaitu kak Ban dan kak Su.
Pada aku bilik kami boleh dikatakan selesa dan luas. Aku tiada masalah dengan arrangement ini. Dengan satu katil untuk setiap seorang dan bilik air yang dikongsi 7 orang pada aku sudah lebih dari selesa. Lagi pula keluasan bilik kami menyebabkan kami tidak perlu terlalu berhimpit2.

Alhamdulillah aku pasti perancangan Allah adalah yang terbaik....

Kisah Haji 17

Hari terakhir di Madinah. Hari Sabtu, selepas Asar kami dijadualkan bertolak ke Mekah. Jadual dan no bas ditampal di papan kenyataan. Hati berdebar, takut, sayu untuk memulakan satu lagi perjalanan yang lebih besar. Sedih untuk meninggalkan bumi Madinah, tapi tak sabar untuk menjejakkan kaki di bumi Mekah.

Beg-beg kami dipacking pada pagi Sabtu dan diletakkan di tempat yang ditetapkan. Aku dan rakan sebilik tidak banyak bercakap hari itu. Pasti masing-masing sedang mengumpul pelbagai rasa di dalam hati. Aku dan Anwar tetap melaksanakan ruti seharian kami di Madinah seperti biasa. Memandangkan kami akan bertolak selepas Asar, aku dan Anwar membuat keputusan untuk solat Asar berjemaah di masjid. Rasanya tiada sebab untuk kami tidak meneruskan rutin ini kerana masjid dan tempat penginapan tidak jauh. Oleh itu selepas selesai mandi sunat ihram dan memakai pakaian ihram kami ke masjid untuk solat Asar di sana.

Tiba di masjid, hati mula jadi sayu tidak tahu bila lagi kami akan sampai di Masjid Nabawi dan bumi Madinah ini. Selesai solat, dalam perjalanan keluar dari masjid, aku dipeluk oleh beberapa jemaah Turki. Mungkin mereka mengerti apa yang aku rasa tapi aku terharu dengan jalinan silaturrahim yang ditunjukkan mereka. Di sana semua jemaah adalah sama tiada perbezaan darjat, bangsa dan keturunan.

Selesai solat Asar, aku dan Anwar terus bergegas menaiki bas yang disediakan. Alhamdulillah segala-galanya bergerak lancar. Apabila semua jemaah KT02 telah menaiki bas-bas yang disediakan, satu demi satu bas bergerak dari tempat penginapan kami, Hotel Movenpick Anwar Al-Madinah...

Semoga kami diberi kesempatan untuk kembali....insyaAllah
Kami tiba di Bir Ali selepas Maghrib. Semua jemaah turun dan solat serta berniat di sana. Selesai segala urusan kami kembali ke bas yang sedia menunggu. Satu demi satu bas bertolak meninggalkan Bir Ali dan menuju ke Mekah.

Tapi bas kami masih tidak bergerak. Rupa-rupanya masih ada sepasang suami isteri yang belum menaiki bas. Agak lama kami menunggu. Jemaah di dalam bas juga sudah ada yang bercakap2. Tidak tahu apa yang berlaku. Semua bas-bas bagi KT02 telah bergerak dan hanya bas kami masih menunggu jemaah yang belum tiba. Petugas Tabung Haji juga sudah mula memulakan pencarian kedua-dua jemaah tersebut. Risau pun ada memikirkan apa sebenarnya yang terjadi.

Akhirnya kedua-dua mereka tiba juga di bas. Kami tidak tahu apa yang membuatkan mereka lambat tetapi apa-apapun syukur kerana tiada apa-apa perkara yang tidak elok berlaku.

Bas bergerak meninggalkan Bir Ali. Talbiah berkumandang di dalam bas....tetapi tidak lama...selepas itu masing-masing mula melelapkan mata……

Kisah Haji 16

Beberapa hari di Madinah, kami berdua mula menyesuaikan diri dengan rutin harian kami. Hati rasa tenang di sana. Segala urusan di Malaysia tidak difikirkan. Walaupun kadang-kadang terfikir akan keadaan anak-anak, tapi hal2 begitu tidak menganggu rutin seharian kami di Madinah. Apatah lagi selepas 8 hari di Madinah kami akan berangkat ke Mekah. Di sana cabaran lagi besar menunggu kami. Aku sebenarnya merasa beruntung dapat mengikut penerbangan awal. Di Madinah masih belum penuh dengan jemaah haji dan kami dapat beribadat dengan selesa dan aman. Walaupun pada hari-hari terakhir kami di Madinah, jemaah mula membanjiri, tapi sekurang-kurangnya kami dapat merasa suasana ketika jemaah masih sedikit.
Lagi pula perjalanan haji kami masih jauh jadi kami dapat menguatkan hati agar tidak lalai dan leka sehingga mengabaikan ibadah kami. Lagi pula jika nak difikirkan adalah amat merugikan kepada jemaah haji yang tidak berjemaah di masjid apatah lagi dalam keadaan di mana tempat penginapan yang dekat dengan masjid, cuaca yang nyaman, dan keadaan fizikal yang masih sihat, tiada alasan sebenarnya untuk mengelak dari berjemaah di masjid.

Seronok rasanya dengan rutin seharian kami. Bangun pagi untuk berqiamullail dan seterusnya solat subuh berjemaah. Selepas itu menunggu Anwar di tempat yang dijanjikan...mencari breakfast untuk hari itu. Breakfast favourite aku adalah kebab dan Anwar dia mencuba apa sahaja. Waktu breakfast sahaja masa untuk kami mencuba makanan di sana kerana lunch dan dinner disediakan oleh pihak muassasah. Dan biasanya setiap waktu brekfast, lunch dan dinner, makanan kami pasti licin. Di sana semua makanan dirasakan begitu nikmat.

Alahai...rindunya waktu di Madinah....dan makanannya sekali (jgnla baby dlm perut ni mengidam pulak)

7 Julai 2009

Hari ini seperti biasa dlm perjalanan ke ofis kami mendengar radio IKIM. Rupa-rupanya hari ini adalah ulang tahun ke-8 ikim.fm dan topic bicara pagi hari ini berkisar kenangan indah pendengar dengan ikim. Rata2 pendengar yang menghantar SMS atau membuat panggilan menceritakan kenangan indah mereka bersama ikim.fm.
Bila mendengar pengalaman mereka, terfikir juga saya sendiri ada kenangan indah dengan ikim.fm. Saya pun dah lupa bila masanya mula mendengar ikim.fm tapi yang pasti radio ikim ini lebih membuka minda dan menambah pengetahuan.
Kenangan indah saya bersama ikim.fm bermula pada tahun lepas, 2008 setiap pagi hari Rabu. Kenapa? Kerana pada jam lebih kurang 7.30 pagi – 7.50 pagi akan diadakan siri manasik haji. Di sinilah saya dan suami berkursus haji untuk bekalan kami menunaikan haji pada tahun itu.

Mungkin pada yang telah mengikuti kursus haji di masjid2, siri manasik haji di ikim.fm ini tidak seberapa tapi pada kami berdua yang tidak mengikuti kursus haji bersiri di masjid, siri manasik haji ini membantu kami memahami ibadah haji dan umrah. Oleh itu setiap pagi Rabu, kami cuba sedaya upaya agar dapat mengikuti siri manasik haji sehinggalah tarikh-tarikh akhir keberangkatan kami ke Tanah Suci.

Bercakap soal haji, kisah haji kami telah beberapa bulan tidak disambung. Saya tidak bercadang untuk menghentikan kisah itu tapi mencari masa untuk mendapatkan mood menulis. InsyaAllah akan diusahakan juga agar kisah haji kami dapat disiapkan.
Susah juga untuk menjadi penulis ini. Ini pun baru tulis di blog sendiri kalau menulis buku tak tahulah macam mana. Respect betul kepada penulis-penulis buku yang dapat mengekalkan semangat menulis mereka.

Sehingga berjumpa lagi.

P/s: since posting ini adalah posting biasa, kata ganti yg digunakan ialah saya. Tapi kalau berkenaan kisah haji, kata ganti aku digunakan…ia lebih personal pada saya.