Sunday, October 25, 2009

Kisah Haji 25

Aku dan Anwar sama-sama mengerjakan haji Tamattuk. Since kami tiba awal di Makkah kami mempunyai masa yang lama sebelum tibanya kemuncak haji. Oleh itu kami berpeluang melihat perubahan di Makkah dan juga di Masjidil Haram dari hari-hari awal jemaah mula tiba hinggalah ke hari-hari hampir dengan kemuncak haji.



Ketika kami tiba di Makkah, construction masih berjalan. Jentera-jentera berat berada di sesetengah tempat berhampiran Masjidil Haram. Keadaan berhabuk dan berdebu. Manakala di dalam masjid juga waktu antara solat kami tidak pernah sunyi. Akan kedengaran bunyi2 construction sedang dijalankan di tempat sa'ie. Memang hari-hari awal kami sangat memerlukan kesabaran yang tinggi dengan suasana bising dan berhabuk. Tapi itulah cabaran haji. Di dalam masjid juga karpet-karpet masih diletakkan di tempat solat dan penghadang tempat solat jemaah lelaki dan wanita juga masih diletakkan. Di tandas juga tidak perlu beratur panjang untuk menunaikan hajat.



Walau bagaimanapun, ketika makin hampir dengan hari wukuf, Makkah mula dipenuhi jemaah. Kerja-kerja construction di dalam dan di luar masjid juga diberhentikan. Di luar Masjidil Haram ditabur batu-batu mungkin untuk mengelakkan pasir dan debu. Dan disitu juga menjadi tempat rehat dan tempat tidur jemaah-jemaah haji dari perlbagai negara. Ia satu pemandangan baru untuk aku apabila melihat jemaah haji tidur di luar masjidil haram beralaskan kain, karpet, sejadah, tikar dan lain-lain serta berbantalkan beg pakaian mereka. Terdapat juga sebahagian kecil yang mendirikan khemah di situ. Ada yang berkumpulan, ada yang bersama keluarga. Malah terdapat juga anak-anak kecil yang tidur bersama ibu bapa mereka. Jika dilihat kebanyakan mereka mengerjakan haji ifrad. Makin dekat tibanya hari wukuf makin ramai jemaah yang berkampung di luar masjidil haram.




Di dalam masjid juga mula terdapat perubahan. Kerja-kerja construction di tempat sa'ie dihentikan oleh itu tiada lagi bunyi contsruction antara waktu solat. Karpet-karpet telah dibuka dan begitu juga kebanyakan penghadang tempat solat. Masjid kini menjadi lebih lapang tetapi jemaah yang membanjirinya kian bertambah. Cuma kurang selesa apabila melihatkan terdapat sebilangan jemaah yang solat satu saf antara jemaah lelaki dan wanita.




Selain itu apa yang menarik ialah melihat pelbagai cara jemaah untuk membezakan negara atau kumpulan masing-masing dengan pakaian mereka. Ia ketara kelihatan di kalangan jemaah wanita. Selain Malaysia yang meletakkan kain di atas telekung bertulis Malaysia dalam tulisan jawi, sesetengah jemaah memakai scarf pelbagai warna di atas telekung mereka seperti jemaah dari Indonesia. Ada juga yang memakai telekung dengan warna yang seragam seperti jemaah dari Bangladesh, Sri Langka dan pelbagai lagi.




Perjalanan kami pergi dan balik masjid juga tidak lagi selapang seperti awal ketibaan kami. Jalan-jalan dipenuhi lautan manusia. Dan kami juga antara lautan itu. Satu pengalaman yang menarik bagiku. Berada di sana dengan satu tujuan yang sama....

Thursday, October 22, 2009

Kisah Haji 24

Posting kali ini berkenaan pengalaman kami di Makkah dengan salah satu perkara penting dalam kehidupan kita iaitu makan...:). Makan dan merasa pelbagai makanan di Tanah Suci antara pengalaman yang menarik di sana pada diriku.

Selama ini aku merasakan aku memang seorang yang kuat makan walaupun aku tergolong dalam mereka yang bertubuh kecil. Tapi di Makkah aku merasakan aku menjadi lagi kuat makan dan kali ini tiada istilah makan yang tidak disukai. Since kami pergi melalui muassasah kami hanya disediakan makan tengah hari dan makan malam. Breakfast perlu dibeli sendiri samada di kedai-kedai yang ada ataupun di cafe di hotel kami yang menjual makanan malaysia.

Makanan tengah hari dan malam telah siap dipacking oleh itu sepanjang kami di sana Alhamdulillah tiada masalah jemaah yg tidak dapat makanan. Since aku dan Anwar makan tengah hari di luar oleh itu kami cuma merasa makan malam yang disediakan. Tapi ada kalanya rakan sebilik aku tolong mengambil makan tgh hari aku dan rakan sebilik lain yg tidak balik kerana ada buah yg disediakan waktu tgh hari.
Aku tidak gemarkan kari tapi di sana itu adalah lauk biasa yang disediakan. Mujurlah di sana tekakku boleh menerima apa saja lauk jadi aku tidak berhadapan dengan masalah dari segi itu.

Waktu makan tengah hari jumaat di sana adalah waktu yang ditunggu oleh rakan2 sebilikku kerana setiap hari jumaat makan tengah hari agak istimewa iaitu nasi beriani. Hari jumaat pasti makanan akan licin tidak seperti hari-hari lain. Tapi untuk aku, hari jumaat atau hari lain makanan pasti licin seperti kata rakan sebilliku tak padan dengan aku yang kecil.
Dalam bilik kami, rakan sebilik kami sudah mengetahui aku dan kak Su kuat makan sebab itulah kadang2 mereka tolong mengambil makan tengah hari kami untuk di makan sekali dengan makan malam. Ada masanya aku dan kak Su boleh makan 2 pack makanan pada satu masa.

Sewaktu di Mina, kebanyakan jemaah dalam khemah kami melakukan nafar awal oleh itu apabila hari terakhir, jemaah dalam khemah amat berkurangan. Makanan banyak berlebihan ketika itu. Waktu itu aku dan Kak Su melakukan nafar thani jadi kami berdua masih berada di Mina ketika ramai rakan sekhemah kami telah meninggalkan Mina. Kak Su menghabiskan 2 pack nasi lemak untuk breakfast ketika itu....tapi sambal nasi lemak di Mina memang menyelerakan....:)

Bila difikirkan kembali, sewaktu di Tanah Suci memang kami perlu makan secukupnya kerana tenaga yang digunakan tidak kurang banyaknya. Berjalan kaki pergi dan balik masjid, tawaf sunat dan segala pergerakan lain yang menggunakan tenaga sudah pasti jumlah makanan yang perlu diambil juga perlu mencukupi. Malah walaupun makan dengan jumlah yang agak banyak di sana, badan tidak terasa berat atau malas kerana kami banyak bergerak dan mengeluarkan peluh.




Lagi pula melihat jemaah dari sana (orang Arab) makan, kami sendiri terkejut. Bayangkan kalau di Malaysia, makanan itu boleh dikongsi lebih kurang 8 - 10orang tapi mereka 4 orang sahaja sudah mampu menghabiskannya. Dan menariknya cara mereka makan seperti makan dalam dulang di mana mereka hamparkan plastik menutupi seluruh meja, ayam atau daging diletak di tengah2 dan nasi di sekelilingnya dan mereka makan berjemaah secara berjemaah. Yang pasti makanan itu pasti habis walaupun aku sendiri gerun melihat timbunan makanan mereka.

Apabila kembali ke Malaysia, aku ditegur kerana agak kurus berbanding sebelum berangkat menunaikan haji......kiranya makanan yang diambil memang berpatutan dengan jumlah tenaga yang digunakan...:)


Tuesday, October 20, 2009

Kisah Haji 23

Menyambut hari lahir ke 28....


Salah satu peristiwa yang tidak aku lupakan sepanjang mengerjakan haji ialah ketika menyambut hari lahir ku yang ke 28 pada 11 November 2008 di bumi Makkah. Ketika itu lebih kurang 3 minggu lagi sebelum hari wukuf.


Sambutan hari lahir untuk tahun itu pastinya sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Tahun itu aku menyambutnya di Masjidil Haram. Bermula seawal pagi untuk tawaf sunat, dan qiamullail di Masjidil Haram. Juga solat di Hijir Ismail, berdoa di Multazam dan solat di Maqam Ibrahim. Tiada sambutan yang seistimewa seperti itu. Seakan-akan sepanjang masa di Masjidil Haram ketika itu aku diberi layanan yang sangat istimewa dan dipermudahkan segala urusan. Tawaf yang lancar, tidak perlu bersesak untuk solat di Hijir ismail dan Maqam Ibrahim dan tidak lupa juga dapat berdoa di Multazam. Ya...cuma aku tidak berkesempatan untuk mencium hajarul aswad. Tapi Anwar berpeluang melakukannya pada pagi 11 November itu.


Sambutan hari lahir ini juga tiada makan-makan istimewa seperti tahun sebelumnya. Ketika itu breakfast kami seperti hari-hari yang lain. Makan tengah hari seperti biasa, nasi mandi kegemaran kami yang kami kongsi berdua. Makan malam juga seperti hari-hari yang lain, makanan bungkus yang disediakan oleh pihak muassasah.


Rutin kami pada hari itu juga tidak berubah seperti hari-hari lain kami di Makkah. Semuanya berjalan seperti biasa. Walaupun sama tetapi aku tetap merasakan sambutan hari lahir ini adalah yang paling istimewa dalam hidupku. Tidak perlu hadiah yang mahal....menyambutnya di bumi yang penuh keberkatan ini sudah cukup memberikan makna yang berlainan...



Kisah Haji 22

Jemaah sesat

Peristiwa tersesat atau berjumpa dengan jemaah sesat ialah cerita yang sentiasa diceritakan oleh mereka yang pernah ke Makkah dan Madinah. Sesat di Masjidil Haram juga antara cerita yang biasa kedengaran.

Kami juga pernah beberapa kali berjumpa dengan jemaah yang sesat di Masjidil Haram. Kebanyakannya mereka lupa pintu keluar, oleh itu mereka berpusing-pusing di Masjidil Haram untuk mencari pintu. Ada kalanya mereka lupa nombor pintu keluar mengakibatkan keluar di pintu yang salah dan sesat pula di dataran masjid.
Pada hari-hari terawal aku di Makkah aku pernah terserempak dengan dua orang jemaah Malaysia yang tidak berjumpa dengan pintu keluar mereka. Mereka juga datang secara muassasah seperti aku tetapi kami berlainan hotel. Kedua mereka lupa nombor pintu mereka dan info yang ada hanyalah nama hotel (yang pastinya aku sendiri tidak tahu di mana) dan mereka biasa keluar di pintu di mana di luarnya terdapat banyak burung merpati. Dengan info yang general seperti itu aku tidak dapat membantu tambahan pula aku sendiri belum familiar dengan keadaan di sana. Oleh itu apa yang aku dapat bantu ialah membawa mereka berjumpa jemaah Malaysia lain yang boleh membantu. Alhamdulillah Allah permudahkan kami berjumpa dengan seorang jemaah Malaysia yang mengetahui pintu yang sepatutnya mereka keluar.

Kisah itu hanyalah sedikit sahaja pengalaman aku berkenaan kisah jemaah sesat tetapi aku berkesempatan berjumpa dengan seorang jemaah wanita Malaysia yang sentiasa berjumpa dengan jemaah Malaysia yang bukan sahaja sesat malah seolah-olah hilang ingatan samada di Masjidil Haram ataupun di luar masjid. Mungkin beliau diuji dengan cabaran membantu jemaah sesat dan pastinya ada sebab di sebalik semua yang berlaku. Beliau juga mengakui hakikat itu dan sedaya upaya membantu mana2 jemaah yang memerlukan bantuan.

Di Mina juga kisah jemaah sesat ini juga perkara biasa. Ini disebabkan khemah2 di sana semuanya sama dan kebanyakannya jemaah tidak berjumpa khemah mereka yang sebenar apabila keluar khemah. Ada sesetengah jemaah di dalam khemah aku di Mina langsung tidak berani keluar khemah untuk mendapatkan air atau apa sahaja kerana bimbang sesat. Beliau hanya berulang alik dari khemah ke tandas sahaja. Pihak Tabung Haji sebenarnya menyediakan gelang untuk dipakai oleh semua jemaah di Mina yang telah tertulis nombor khemah masing2 oleh itu sekiranya ada yang sesat memudahkan pihak Tabung Haji atau jemaah lain membantu mencari khemah mereka. Tetapi ada juga jemaah yang tidak memakai gelang ini oleh itu sekiranya terjumpa mana2 jemaah yang sesat apa yang boleh dibantu hanyalah menghantar mereka ke khemah Tabung Haji.

Walau apapun itu adalah antara cabaran yang mungkin dihadapi di sana. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya dan hanya Allah yang Maha Mengetahui...

Thursday, October 8, 2009

Kisah Haji 21

Kak Sunarti
Salah seorang teman sebilik aku di Mekah dan Madinah ialah Kak Sunarti. Apa yang membuatkan aku kagum dengannya ialah kegigihan beliau beribadat sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Beliau tidak pernah melepaskan solat berjemaah di masjid . Banyak masanya dihabiskan di masjid berbanding di hotel. Malah di dalam bilik kami beliau antara yang terawal pergi ke masjid.

Kak Sunarti yang aku panggil kak Su bekerja sebagai seorang cleaner dan mempunyai 3 orang anak yang berusia dalam linkungan 20 -25 tahun. Beliau menunaikan haji bersama suami beliau yang bekerja sendiri. Keazaman beliau untuk menjejakkan kaki ke bumi Mekah dan Madinah cukup kuat dan tahun itu dalam usia yang belum mencapai 50 tahun beliau berjaya menunaikan hasratnya.

Aku kagum dengannya yang gigih bekerja mengumpul duit untuk menunaikan haji. Katanya setiap hari beliau akan menaiki bas sesudah subuh untuk ke tempat kerjanya. Kalau diikutkan gaji yang diterima tidaklah seberapa tetapi dengan gaji itulah beliau berjimat untuk mengumpul wang secukupnya. Ada juga pernah bertanya padanya kenapa bekerja juga dengan gaji yang kecil dan bersusah menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Jawab beliau jika tak bekerja mana beliau nak cari duit untuk menunaikan haji.

Sepanjang masa di Madinah dan Mekah beliau gunakan sebaik2nya. Jarak jauh bukan penghalang untuk berjalan kaki setiap hari ke Masjidil Haram. Pernah satu ketika beliau berada di Masjidil Haram dari Zohor hinggalah Subuh.

Jika difikirkan balik ramai orang yang jauh lebih berkemampuan dari Kak Su, tetapi tiada keinginan untuk menunaikan haji. Malah ada juga yang pergi tetapi pergi seolah-olah seperti bercuti. Aku harapkan kisah kak Su ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada yang lain untuk menunaikan haji.

Di sana pangkat dan wang tidak penting dan semua kita adalah sama. …

Kisah Haji 20

Berbeza dengan Madinah suasana di Makkah agak ‘sibuk’ . Rutin kami di Makkah dimulakan dengan Qiamullail di Masjidil Haram dalam lebih kurang jam 3.00 pagi dan solat Subuh di sana. Dalam pukul 7.00 – 7.30 pagi kami berdua akan berjumpa kembali dan mencari makanan untuk breakfast. Kami biasanya makan bersama di hotel. Selepas kembali ke bilik untuk berehat , mandi, membasuh baju dll kami akan berangkat kembali ke Masjidil Haram lebih kurang 2 jam sebelum Zohor. Walaupun makanan tengah hari disediakan oleh pihak Muassasah tapi aku dan Anwar biasanya makan tgh hari di kedai-sekitar Masjidil Haram selepas Zohor kerana kami berdua setuju untuk tidak kembali ke hotel selepas Zohor. Makanan tengah hari kegemaran kami di sana ialah Nasi Mandi. Since di sana makanan untuk seorang lebih dari mengenyangkan kami berdua biasanya berkongsi makanan tengah hari yg dibeli. Itu pun sudah cukup membuatkan kami kenyang sehingga malam. Kami hanya balik ke hotel selepas Isyak oleh itu waktu siang kami sehingga Isyak dihabiskan di Masjidil Haram.

Walau bagaimanapun seminggu sebelum hari Wukuf, rutin kami ini berubah kerana jemaah yang makin ramai menyebabkan kebanyakan kedai makan sesak. Oleh itu kami mengambil keputusan untuk kembali ke hotel selepas Zohor untuk makan tgh hari yang disediakan. Selepas itu kembali semula ke Masjidil Haram untuk solat Asar, Maghrib dan Isyak.

Tempat perjumpaan aku dan Anwar juga tidak tetap. Biasanya kami akan berjumpa kembali di tempat kasut yang bernombor. Since kami berdua sahaja, oleh itu kami akan sentiasa berubah tempat sepanjang kami di Masjidil Haram. Oleh itu rak yang menempatkan kasut kami akan menjadi tempat untuk kami berjumpa kembali.

Bila dikenang kembali rindunya menghabiskan masa di Masjidil Haram. Tiadak terasa langsung masa berlalu sehingga Isyak. Antara waktu solat dihabiskan dengan membaca Quran, menunaikan solat2 sunat dan juga berkenalan dengan jemaah haji dari Malaysia dan juga negara lain. Terasa kuatnya ikatan silaturrahim di sana. Bahasa bukan penghalang untuk berbual. Senyuman juga sudah cukup untuk merapatkan ukhwah sesama jemaah.

Alhamdulillah selama kami di bumi Makkah, kami berdua diberikan olehNya kesihatan yang baik. Walaupun construction di sana sini dan keadaan agak berdebu dan berhabuk ditambah pula dengan jarak hotel dan masjid yang agak jauh, kami diberi kekuatan untuk menjalankan ibadat di sana. Malah jika difikir2kan, perjalanan setiap hari kami ke masjid menjadi seperti satu bentuk exercise kepada kami. Berpadanan dengan jumlah makanan yang kami ambil disana. Disamping itu perjalanan kami setiap hari pergi dan balik dari masjid memberi peluang untuk aku dan Anwar berdua. Kalau di Malaysia, dengan dua hero yg lasak, masa untuk kami berdua memang sangat terhad.

Kisah Haji 19

Pagi itu kumpulan kami berkumpul di lobi hotel untuk memulakan tawaf. Perjalanan kami ke Masjidil Haram dalam kumpulan besar. Sepanjang perjalanan kami menempuh kedai-kedai yang berderetan dan juga perlu melintas jalan besar. Makin dekat ke Masjidil Haram, kami dapati banyak bangunan-bangunan telah dirobohkan dan keadaan agak berhabuk dan berdebu. Construction banyak berjalan di sekeliling Masjidil Haram.

Kami dibawa masuk melalui Bukit Marwah. Memandangkan kawasan Sai’e juga masih dalam proses pengubahsuaian, keadaan di Bukit Marwah juga agak berdebu dan berhabuk. Tetapi itulah cabaran haji kami untuk tahun itu. Kumpulan kami terus dibawa untuk melakukan tawaf manakala aku dan Anwar berpecah dari mereka dan mencari toilet. Selesai semua urusan kami menuju ke dataran Kaabah.

Dan disinilah air mata pertama menitis di bumi Makkah ketika melihat Kaabah. Segala perasaan yang tidak dapat digambarkan datang. Ketika itu jemaah masih belum ramai yang datang oleh itu dataran Kaabah juga tidak sesak. Walau bagaimanapun aku dan Anwar berjanji sekiranya kami terpisah kami akan berjumpa kembali di Safa untuk melakukan Sai’e. Kami memulakan tawaf mulanya bersama-sama. Tetapi dalam sekelip mata kami terus terpisah. Bukan kerana jemaah yang ramai tetapi terpisah begitu sahaja. Since kami berdua sudah berjanji supaya jgn mencari jika terpisah jadi aku melakukan tawaf sendirian. Bila difikirkan kembali memang ada hikmah disebalik kami terpisah dengan kumpulan kami dan juga terpisah antara satu sama lain ketika tawaf. Dengan itu kami dapat menghayati tawaf pertama kami dengan lebih mendalam dan dapat lagi fokus pada ibadat yang dilakukan.

Pengalaman tawaf pertama tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Syukur pada Allah kerana memberi pada kami kemudahan dan kelapangan. Jemaah juga tidak ramai dan kami berpeluang untuk bertawaf sedekat yg boleh dengan Kaabah, solat di belakang Maqam Ibrahim dan berdoa di hadapan Multazam.
Selepas itu aku menuju ke arah Safa dan menunggu Anwar di situ untuk melakukan Sai’e. Untuk Sai’e kami melakukannya bersama-sama sehinggalah kami menyelesaikan Sai’e kami dan diikuti bergunting….dan selesailah umrah kami.

Selepas itu kami berdua keluar dari Masjidil Haram mencari kedai makan. Ketika itu masih ada 2 jam sebelum Zohor. Kami mengambil keputusan untuk kembali ke hotel selepas Zohor. Oleh itu selesai makan di kedai yang berdekatan kami kembali ke Masjidil Haram. Aku dan Anwar berpisah dan kami mencari tempat masing-masing di dalam masjid dan akan berjumpa kembali selepas Zohor untuk balik ke hotel bersama-sama.
Zohor itu adalah solat berjemaah pertama kami di Masjidil Haram….
Selepas Zohor aku bertemu kembali dengan Anwar dengan wajah baru tanpa rambut..