Tuesday, November 3, 2009

Kisah Haji 35

Pulang ke Malaysia....

Tiba di airport, kami ditempatkan di satu ruangan menunggu. Lama juga menunggu untuk dipanggil ke balai berlepas. Kami masuk ke balai berlepas apabila masuk waktu Subuh. Oleh itu balai berlepas menjadi tempat solat Subuh untuk KT kami. Kami diminta menaiki pesawat tidak lama selepas itu.


Masuk pesawat, kebanyakan kami terus terlelap. Perkara yang sama ketika kami pesawat untuk ke Madinah. Ini kerana kebanyakan kami berjaga sepanjang malam dan menaiki pesawat selepas Subuh. Dan kami tiba di Malaysia dalam pukul 10 malam....

Seakan tidak percaya kami telah tiba di KLIA. Terasa tidak sabar untuk berjumpa kembali dengan Fahim dan Ziyad tapi di masa yang sama terasa rindu untuk menikmati suasana di Makkah dan Madinah.

Setelah solat dan mengambil beg, kami berdua terus keluar mencari keluarga kami. Tidak sukar mencari, keluar sahaja sudah nampak Fahim dan Ziyad. Fahim nampak begitu gembira sekali berjumpa dengan kami. Ziyad pula...tidak mahu dekat dengan aku. Dia hanya mahukan Anwar sahaja. Aku agak dia merajuk agaknya ditinggalkan lama dan terpaksa bercerai susu.

Kami tidak lama di KLIA. Setelah bertukar berita sedikit sebanyak kami terus menaiki kereta pulang ke Serdang.


Dan berakhirlah kembara haji kami. Satu perjalanan yang mencabar dan penuh dengan dugaan....Dengan berakhirnya kembara haji ini, perjalanan baru kami kini bermula...


Description gambar: Fahim dan Ziyad pada hari pertama kami tiba

Monday, November 2, 2009

Kisah Haji 34

Madinatul Hujjaj
Kami bertolak ke Jeddah sebelum Subuh, dan bas kami berhenti di tengah perjalanan untuk kami semua solat Subuh di masjid yang ada. Tetapi ada juga jemaah yang tidak turun dan hanya menunggu di dalam bas sahaja....

Tiba di Madinatul Hujjaj kami terus menuju ke bilik yang telah ditetapkan. Madinatul Hujjaj merupakan persinggahan jemaah haji Malaysia di Makkah sebelum pulang ke Malaysia. Keadaannya pada aku seperti sebuah sekolah dengan asrama-asrama untuk kami berehat. Kami di situ hanya untuk 1 hari sahaja kerana kami akan ke lapangan terbang juga selepas tengah malam. (perjalanan KT kami banyak melibatkan waktu tengah malam - berangkat ke Madinah, perjalanan ke Makkah, berangkat ke Jeddah & ke lapangan terbang).
Tidak banyak aktiviti pada hari itu. Kecuali pada waktu petang kami diarahkan membawa bagasi masing2 untuk ditimbang dan dikumpulkan. Alhamdulillah, aku dan Anwar tidak perlu membuat bayaran lebih untuk lebihan barang kerana barang kami tidak banyak bertambah.

Malam itu, kami semua tidur sebentar dan bangkit ketika tengah malam. Ada kisah sedih untuk KT kami. Tengah malam itu ketika kumpulan kami bersiap sedia untuk menaiki bas ke lapangan terbang, kami dikejutkan berita dengan seorang jemaah wanita dalam kumpulan kami meninggal dunia. Kami dimaklumkan rakan sebiliknya cuba mengejutkan beliau untuk bangun bersiap menaiki bas tetapi didapati jemaah tersebut telah meninggal dunia. Beliau menunaikan haji bersama suaminya. Tetapi suami jemaah tersebut tidak dapat menunggu untuk menguruskan jenazah kerana jadual penerbangan pulang telah ditetapkan. Oleh itu pihak Tabung Haji akan menguruskan jenazah isterinya.

Kami semua terkejut dengan berita di saat2 akhir itu. Tetapi untuk jemaah wanita tersebut...pulangnya dalam keadaan yang masih bersih.....

Kisah Haji 33

Tawaf Wida'

2 hari berlalu dan kami dijadualkan untuk berangkat ke Jeddah selepas tengah malam. Oleh itu tawaf wida' dilakukan ketika hampir tengah malam. Malam itu selepas balik dari Masjidil Haram, kami mengemas barang-barang kami. Barang aku dan Anwar tidak banyak bertambah oleh itu masa yang diambil untuk berkemas tidak lama. Selepas siap, aku tidur sebentar dan bangkit kembali ketika hampir tengah malam untuk ke Masjidil Haram.

Perjalanan ke Masjidil Haram kali ini terasa lain. Ini adalah perjalanan terakhir kami ke sana sepanjang musim haji 2008. Kali ini aku cuba memahatkan segala persekitaran dan jalan yang telah biasa kami lalui selama sebulan lebih di Makkah ini. Jemaah masih ramai dan begitu juga kenderaan yang membawa jemaah. Suasana sibuk dan membingitkan tetapi suasana ini semakin sebati dalam diri kami. Tapi tidak lama lagi kami tidak akan merasakan suasana seperti ini lagi.

Tiba di Masjidil Haram, kelihatan ramai sekali jemaah melakukan tawaf. Aku dan Anwar memasuki kelompok jemaah tersebut dan memulakan tawaf. Sebaik sahaja melakukan tawaf aku menangis tidak berhenti sehinggalah selesai 7 pusingan. Keadaan yang sama seperti mana ketika aku melakukan tawaf pertama di Makkah dahulu. Cuma kali ini keadaan berbeza...

Selesai tawaf, solat sunat, berdoa, minum air zamzam, kami menuju ke pintu keluar. Dan aku menangis sepanjang perjalanan ke hotel...

Moga kami diberi peluang untuk kembali ke sini lagi...InsyaAllah

Saturday, October 31, 2009

Kisah Haji 32

2 hari sebelum pulang ke Malaysia....
Selepas kembali dari Mina, kami mempunyai masa 2 hari sahaja lagi di Makkah. Kepada jemaah KT kami yang belum membuat tawaf dan sa'ie 2 hari ini digunakan untuk berbuat demikian. Bagi aku dan Anwar pula memandangkan kami telah selesai mengerjakan kedua-duanya, 2 hari di Makkah dipenuhi dengan rutin kami sebelum ini. Tetapi kali ini perasaan sedih makin terasa kerana akan meninggalkan tanah yang barakah ini.

Ada kisah yang menimpa rakan sebilikku dalam masa 2 hari ini. Beliau tidak dapat melakukan tawaf dan sa'ie kerana berada dalam keadaan tidak suci. Beliau sebelum ini di Malaysia sudah lama sentiasa berada dalam keadaan yang bersih tetapi di Makkah keadaan menjadi berlainan pula. Memandangkan masa hanya ada 2 hari kemungkinan besar beliau perlu menangguhkan penerbangan pulang. Tetapi hanya beliau seorang sahaja yang boleh melambatkan tarikh pulang manakala suaminya harus pulang mengikut jadual yang telah ditetapkan. Mereka didatangkan ujian dalam saat-saat untuk kami berangkat pulang. Tapi Alhamdulillah mereka berdua dapat menerimanya malah rakan ku itu juga sudah bersedia andai kata beliau harus tinggal dan pulang bersendirian. Anak2 di Malaysia juga sudah dimaklumkan.
Tapi keadaan itu tidak berlaku kerana akhirnya rakanku dapat mengerjakan tawaf dan sa'ie walaupun lewat dari rakan sekumpulan kami yang lain. Banyak perkara yang tidak kita jangka boleh berlaku dan menunjukkan kebesaranNya.

Dalam 2 hari itu Makkah masih sesak dan tidak banyak berubah. Jemaah2 baru mula beransur keluar samada ke Madinah atau pulang ke negara masing2.

Friday, October 30, 2009

Kisah Haji 31

11, 12 & 13 Zulhijah


Kami kembali ke Mina selepas solat Zohor di Masjidil Haram. Kali ini aku dan Anwar menaiki van. Kepenatan berjalan masih terasa lagi pula waktu itu agak panas dan kami memilih untuk tidak berjalan kaki.



Tiba di Mina, jemaah penuh sesak untuk pergi melontar. Tapi kami berdua tidak pergi melontar pada waktu itu sebaliknya memilih untuk melontar pada waktu malam seperti sebelumnya. Tiba di khemah, rakan2 bertanyakan kisah aku balik ke Makkah. Malamnya aku dan Anwar pergi melontar ketiga-tiga jamrah - Sughra, Wusta dan Kubra. Kali ini kami tidak pergi berkumpulan sebaliknya pergi berdua sahaja.


Rutin yang sama juga kami lalui pada 12 Zulhijah. Aku dan Anwar masih memilih untuk melontar pada waktu malam. Ramai rakan sekhemah kami pergi melontar pada waktu pagi kerana hampir 90% jemaah di khemah kami hendak membuat nafar awal. Oleh itu sewaktu tengah hari khemah kami sudah lengang dan lapang. Rakan sebilik aku semuanya kembali ke Makkah tinggal aku dan kak Su sahaja yang tinggal.



13 Zulhijah, hari kami akan meninggalkan Mina. Oleh itu untuk hari itu kami semua melontar di waktu pagi. Selesai melontar, dapatlah kami tahallul thani dan kini kami bebas daripada semua larangan ihram. Kami dijadualkan bertolak ke Makkah sebelum waktu Zohor. Alhamdulillah, perjalanan pulang kami juga tiada masalah dan kami tiba di Makkah pada waktu Zohor.

Kisah Haji 30

Makkah

KT kami dijadualkan pulang ke Malaysia 2 hari selepas kembali dari Mina. Oleh itu kami mempunyai 2 hari untuk melakukan tawaf dan sa'ie sekiranya kami melakukan nafar thani. Aku dan Anwar memang sedari awal membuat keputusan untuk melakukan nafar thani tetapi tawaf dan sa'ie kami putuskan untuk lakukan selepas lontaran 10 Zulhijah. Ini untuk mengelakkan kami kelam kabut apabila pulang ke Makkah nanti.

Oleh itu selepas kembali ke khemah apabila selesai melontar, kami berjanji untuk berjumpa kembali ketika hampir tengah malam untuk ke Makkah melakukan tawaf dan sa'ie. Pada mulanya ada 2 pasangan yang ingin bersama kami kembali ke Makkah tetapi at the end hanya satu pasangan sahaja yang bersama kami iaitu kak Noni dan suami.
Tiba di khemah aku tidur sebentar dan terjaga tepat2 pada masa yang dijanjikan untuk berjumpa kembali. Sebelum memulakan perjalanan kami singgah di khemah Tabung Haji untuk memaklumkan permergian kami ke Makkah.

Ketika membuat rancangan ke Makkah, kami semua tidak begitu pasti jalan yang perlu dilalui dan kenderaan yang dinaiki. Pada mulanya kami hanya mengikut laluan ke jamrah dan seterusnya mengikut papan tanda ke Makkah. Rancangan awal ialah untuk menaiki van ke Makkah tetapi kami tidak pasti tempat menunggu yang sepatutnya oleh itu kami semua membuat keputusan untuk berjalan kaki ke Makkah.

Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 1 jam. Ketika hampir tiba di Masjidil Haram, kami berdua terpisah dengan kak Noni dan suaminya. Tiba di sana kami mengambil wuduk dan menyegarkan diri. Selepas itu kami memulakan tawaf. Alhamdulillah, tawaf dapat dilakukan dalam keadaan yang tidak begitu sesak. Selesai tawaf dan solat sunat, kami terus mengerjakan sa'ie. Dari saat kami tiba di Masjidil Haram, tawaf dan sa'ie, kami berdua tidak berhenti rehat walau seketika. Namun ketika itu keletihan langsung tidak terasa. Terasa diri kami diberi kekuatan untuk melakukan segala-galanya.

Tapi sebaik sahaja kami selesai melakukan sa'ie barulah terasa kepenatan 4 jam berjalan tanpa henti - pulang ke Makkah, tawaf dan sa'ie. Aku dan Anwar duduk bersandar di salah satu tiang di Marwah dan tertidur di situ sehinggalah hampir waktu Subuh. Kami solat subuh di Masjidil Haram dan selepas itu pulang ke hotel penginapan kami. Tiba di hotel, selesai mandi dan makan, aku terus tertidur kepenatan.....

Thursday, October 29, 2009

Kisah Haji 29

Melontar 10 Zulhijah
Malam selepas Maghrib kami semua berkumpul di jalan luar perkhemahan mengikut kumpulan masing2 untuk pergi melontar di Jamratul Kubra. Berdebar jua ketika berkumpul, kerana banyak kisah yang aku dengar berlaku ketika melontar. Dan kisah2 itu banyak juga yang berakhir dengan tragedi. Excited pun ada juga kerana banyak perkara yang aku tidak pasti seperti contoh, jarak khemah kami dengan tempat melontar, jalan yang perlu dilalui dan pelbagai lagi. Dan yang penting dengan lontaran pada 10 Zulhijah ini dapat dapatlah kami tahallul awal dan kami bebas dari pantang larang ihram kecuali 3 perkara.

Kami berjalan secara berkumpulan mengikut pemandu arah yang membawa nombor kumpulan kami. Laluan pertama kami adalah melalui terowong Muassim. Dan seterusnya menuju laluan yang telah disediakan. Walaupun laluan penuh dengan jemaah dari pelbagai negara tetapi keadaan tidak begitu sesak. Lagi pula di Mekah ketika hari-hari terakhir menjelang wukuf, semua jalan juga dibanjiri oleh jemaah haji, oleh itu perjalanan untuk pergi melontar adalah sama seperti apa yang kami rasai sewaktu di Mekah. Lagi pula jemaah yang telah selesai melontar tidak bertembung dengan jemaah yang hendak pergi melontar kerana dua laluan yang berbeza disediakan.

Aku tidak pasti berapa jauh perjalanan melontar tapi masa yang diambil lebih kurang dalam 30 minit untuk tiba di sana. Mungkin masa boleh disingkatkan jika tidak berjalan dalam kumpulan. Aku sendiri tidak pasti kerana mungkin kami sudah biasa berjalan jauh sepanjang di Mekah oleh itu perjalanan melontar tidak dirasakan begitu jauh.

Tiba di tempat melontar kami terus dibawa ke Jamratul Kubra yang berada di hujung jamrah. Kami akan melintasi Sughra dan Wusta sebelum tiba di Jamratul Kubra. Tempat melontar lapang dan tidak sesak oleh itu kami tidak perlu berasak-asak. Sesampai di Jamratul Kubra, aku dan Anwar terus ke depan dan melontar 7 biji batu. Habis melontar kami pergi ke belakang dan bergunting untuk melepaskan kami dari 10 pantang larang ihram....Alhamdulillah.

Perjalanan pulang dari melontar tidakla dirasakan jauh seperti perjalanan pergi. Mungkin juga kerana perkara yang perlu dibuat telah diselesaikan dan tiada lagi tanya tanya berkenaan tempat melontar dan sebagainya.