Saturday, October 31, 2009

Kisah Haji 32

2 hari sebelum pulang ke Malaysia....
Selepas kembali dari Mina, kami mempunyai masa 2 hari sahaja lagi di Makkah. Kepada jemaah KT kami yang belum membuat tawaf dan sa'ie 2 hari ini digunakan untuk berbuat demikian. Bagi aku dan Anwar pula memandangkan kami telah selesai mengerjakan kedua-duanya, 2 hari di Makkah dipenuhi dengan rutin kami sebelum ini. Tetapi kali ini perasaan sedih makin terasa kerana akan meninggalkan tanah yang barakah ini.

Ada kisah yang menimpa rakan sebilikku dalam masa 2 hari ini. Beliau tidak dapat melakukan tawaf dan sa'ie kerana berada dalam keadaan tidak suci. Beliau sebelum ini di Malaysia sudah lama sentiasa berada dalam keadaan yang bersih tetapi di Makkah keadaan menjadi berlainan pula. Memandangkan masa hanya ada 2 hari kemungkinan besar beliau perlu menangguhkan penerbangan pulang. Tetapi hanya beliau seorang sahaja yang boleh melambatkan tarikh pulang manakala suaminya harus pulang mengikut jadual yang telah ditetapkan. Mereka didatangkan ujian dalam saat-saat untuk kami berangkat pulang. Tapi Alhamdulillah mereka berdua dapat menerimanya malah rakan ku itu juga sudah bersedia andai kata beliau harus tinggal dan pulang bersendirian. Anak2 di Malaysia juga sudah dimaklumkan.
Tapi keadaan itu tidak berlaku kerana akhirnya rakanku dapat mengerjakan tawaf dan sa'ie walaupun lewat dari rakan sekumpulan kami yang lain. Banyak perkara yang tidak kita jangka boleh berlaku dan menunjukkan kebesaranNya.

Dalam 2 hari itu Makkah masih sesak dan tidak banyak berubah. Jemaah2 baru mula beransur keluar samada ke Madinah atau pulang ke negara masing2.

Friday, October 30, 2009

Kisah Haji 31

11, 12 & 13 Zulhijah


Kami kembali ke Mina selepas solat Zohor di Masjidil Haram. Kali ini aku dan Anwar menaiki van. Kepenatan berjalan masih terasa lagi pula waktu itu agak panas dan kami memilih untuk tidak berjalan kaki.



Tiba di Mina, jemaah penuh sesak untuk pergi melontar. Tapi kami berdua tidak pergi melontar pada waktu itu sebaliknya memilih untuk melontar pada waktu malam seperti sebelumnya. Tiba di khemah, rakan2 bertanyakan kisah aku balik ke Makkah. Malamnya aku dan Anwar pergi melontar ketiga-tiga jamrah - Sughra, Wusta dan Kubra. Kali ini kami tidak pergi berkumpulan sebaliknya pergi berdua sahaja.


Rutin yang sama juga kami lalui pada 12 Zulhijah. Aku dan Anwar masih memilih untuk melontar pada waktu malam. Ramai rakan sekhemah kami pergi melontar pada waktu pagi kerana hampir 90% jemaah di khemah kami hendak membuat nafar awal. Oleh itu sewaktu tengah hari khemah kami sudah lengang dan lapang. Rakan sebilik aku semuanya kembali ke Makkah tinggal aku dan kak Su sahaja yang tinggal.



13 Zulhijah, hari kami akan meninggalkan Mina. Oleh itu untuk hari itu kami semua melontar di waktu pagi. Selesai melontar, dapatlah kami tahallul thani dan kini kami bebas daripada semua larangan ihram. Kami dijadualkan bertolak ke Makkah sebelum waktu Zohor. Alhamdulillah, perjalanan pulang kami juga tiada masalah dan kami tiba di Makkah pada waktu Zohor.

Kisah Haji 30

Makkah

KT kami dijadualkan pulang ke Malaysia 2 hari selepas kembali dari Mina. Oleh itu kami mempunyai 2 hari untuk melakukan tawaf dan sa'ie sekiranya kami melakukan nafar thani. Aku dan Anwar memang sedari awal membuat keputusan untuk melakukan nafar thani tetapi tawaf dan sa'ie kami putuskan untuk lakukan selepas lontaran 10 Zulhijah. Ini untuk mengelakkan kami kelam kabut apabila pulang ke Makkah nanti.

Oleh itu selepas kembali ke khemah apabila selesai melontar, kami berjanji untuk berjumpa kembali ketika hampir tengah malam untuk ke Makkah melakukan tawaf dan sa'ie. Pada mulanya ada 2 pasangan yang ingin bersama kami kembali ke Makkah tetapi at the end hanya satu pasangan sahaja yang bersama kami iaitu kak Noni dan suami.
Tiba di khemah aku tidur sebentar dan terjaga tepat2 pada masa yang dijanjikan untuk berjumpa kembali. Sebelum memulakan perjalanan kami singgah di khemah Tabung Haji untuk memaklumkan permergian kami ke Makkah.

Ketika membuat rancangan ke Makkah, kami semua tidak begitu pasti jalan yang perlu dilalui dan kenderaan yang dinaiki. Pada mulanya kami hanya mengikut laluan ke jamrah dan seterusnya mengikut papan tanda ke Makkah. Rancangan awal ialah untuk menaiki van ke Makkah tetapi kami tidak pasti tempat menunggu yang sepatutnya oleh itu kami semua membuat keputusan untuk berjalan kaki ke Makkah.

Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 1 jam. Ketika hampir tiba di Masjidil Haram, kami berdua terpisah dengan kak Noni dan suaminya. Tiba di sana kami mengambil wuduk dan menyegarkan diri. Selepas itu kami memulakan tawaf. Alhamdulillah, tawaf dapat dilakukan dalam keadaan yang tidak begitu sesak. Selesai tawaf dan solat sunat, kami terus mengerjakan sa'ie. Dari saat kami tiba di Masjidil Haram, tawaf dan sa'ie, kami berdua tidak berhenti rehat walau seketika. Namun ketika itu keletihan langsung tidak terasa. Terasa diri kami diberi kekuatan untuk melakukan segala-galanya.

Tapi sebaik sahaja kami selesai melakukan sa'ie barulah terasa kepenatan 4 jam berjalan tanpa henti - pulang ke Makkah, tawaf dan sa'ie. Aku dan Anwar duduk bersandar di salah satu tiang di Marwah dan tertidur di situ sehinggalah hampir waktu Subuh. Kami solat subuh di Masjidil Haram dan selepas itu pulang ke hotel penginapan kami. Tiba di hotel, selesai mandi dan makan, aku terus tertidur kepenatan.....

Thursday, October 29, 2009

Kisah Haji 29

Melontar 10 Zulhijah
Malam selepas Maghrib kami semua berkumpul di jalan luar perkhemahan mengikut kumpulan masing2 untuk pergi melontar di Jamratul Kubra. Berdebar jua ketika berkumpul, kerana banyak kisah yang aku dengar berlaku ketika melontar. Dan kisah2 itu banyak juga yang berakhir dengan tragedi. Excited pun ada juga kerana banyak perkara yang aku tidak pasti seperti contoh, jarak khemah kami dengan tempat melontar, jalan yang perlu dilalui dan pelbagai lagi. Dan yang penting dengan lontaran pada 10 Zulhijah ini dapat dapatlah kami tahallul awal dan kami bebas dari pantang larang ihram kecuali 3 perkara.

Kami berjalan secara berkumpulan mengikut pemandu arah yang membawa nombor kumpulan kami. Laluan pertama kami adalah melalui terowong Muassim. Dan seterusnya menuju laluan yang telah disediakan. Walaupun laluan penuh dengan jemaah dari pelbagai negara tetapi keadaan tidak begitu sesak. Lagi pula di Mekah ketika hari-hari terakhir menjelang wukuf, semua jalan juga dibanjiri oleh jemaah haji, oleh itu perjalanan untuk pergi melontar adalah sama seperti apa yang kami rasai sewaktu di Mekah. Lagi pula jemaah yang telah selesai melontar tidak bertembung dengan jemaah yang hendak pergi melontar kerana dua laluan yang berbeza disediakan.

Aku tidak pasti berapa jauh perjalanan melontar tapi masa yang diambil lebih kurang dalam 30 minit untuk tiba di sana. Mungkin masa boleh disingkatkan jika tidak berjalan dalam kumpulan. Aku sendiri tidak pasti kerana mungkin kami sudah biasa berjalan jauh sepanjang di Mekah oleh itu perjalanan melontar tidak dirasakan begitu jauh.

Tiba di tempat melontar kami terus dibawa ke Jamratul Kubra yang berada di hujung jamrah. Kami akan melintasi Sughra dan Wusta sebelum tiba di Jamratul Kubra. Tempat melontar lapang dan tidak sesak oleh itu kami tidak perlu berasak-asak. Sesampai di Jamratul Kubra, aku dan Anwar terus ke depan dan melontar 7 biji batu. Habis melontar kami pergi ke belakang dan bergunting untuk melepaskan kami dari 10 pantang larang ihram....Alhamdulillah.

Perjalanan pulang dari melontar tidakla dirasakan jauh seperti perjalanan pergi. Mungkin juga kerana perkara yang perlu dibuat telah diselesaikan dan tiada lagi tanya tanya berkenaan tempat melontar dan sebagainya.

Wednesday, October 28, 2009

Kisah Haji 28

Mina
Di Mina khemah aku dan Anwar bersebelahan. Ketika mula2 tiba di Mina, aku sendiri confuse untuk mencari khemah kerana khemah yang banyak dan berdekatan antara satu sama lain. Khemah2 yang ada juga serupa jadi tidak mustahil ada jemaah yang sesat untuk mencari khemah apabila mereka keluar ke tandas dan sebagainya. Khemah dilabelkan dengan objek dan nama buah seperti pisang, oren dsb.
Khemah yang aku duduki aku rasakan dihuni lebih 200 jemaah. Berbanding di Arafah ruang untuk kami agak sempit.
Jika di Arafah setiap petak dalam khemah diletakkan 10 orang tapi di Mina ruang petak yang sama seperti di Arafah menempatkan 20 jemaah. Jadi kami perlu berhimpit dan tidak boleh mengharapkan keselesaan. Khemah dialas dengan karpet dan kami semua meletakkan tikar yang diberi oleh Tabung Haji sebagai alas tidur kami manakala beg yang dibawa digunakan sebagai bantal.
Ketika mula tiba di khemah,ruang petak kami kecoh sekejap ketika pembahagian tempat tidur. Memandangkan petak kami berhampiran dengan tempat keluar masuk jadi kami perlu menyediakan ruang untuk jemaah lain dalam khemah kami berjalan. Oleh itu ruang kami yang sudah sedia sempit menjadi makin sempit. Nasib baik perkara itu dapat diselesaikan dan semua berpuas hati dengan arrangement yang dibuat. Risau juga aku kalau ada yang bermasam muka. Aku sendiri tidur di petak lain yang masih ada ruang. Hikmatnya berbadan kecil, dalam keadaan seperti itu aku boleh menyelit di mana sahaja. Jadi semasa 3 hari di Mina, tempat tidur aku tidak tetap. Aku tidur di mana sahaja ada ruang yang boleh aku menyelit di petak yang berhampiran.

Pagi itu, 10 Zulhijah, setelah selesai solat Subuh dan rehat seketika, aku berjumpa kembali dengan Anwar. Kami keluar dari kawasan khemah dan mencari tempat untuk menelefon keluarga di Malaysia. Aku dan Anwar bersarapan bersama sebelum kami berjalan-jalan di sekitar kawasan perkhemahan jemaah Malaysia di Mina. Ada juga jemaah Malaysia yang pergi melontar di pagi 10 Zulhijah itu tetapi aku dan Anwar mengambil keputusan untuk mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji untuk melontar pada waktu malam. Oleh itu siang hari di Mina kami gunakan untuk merehatkan badan dan tidak lupa juga melakukan ibadat2 sunat. Di Mina ruang masa panjang dan amat merugikan jika disia2kan begitu sahaja.

Satu cabaran di Mina yang memerlukan kesabaran yang tinggi ialah apabila pergi ke tandas kerana tandas yang ada tidak cukup untuk menampung bilangan jemaah. Setiap kali pergi ke tandas, jemaah perlu beratur dan menunggu giliran. Sementara beratur, sungutan dan keluhan akan didengari oleh segelintir jemaah. Ada yang tidak puas hati kerana perlu menunggu lama dan juga apabila menunggu jemaah yang mandi. Di kala inilah kesabaran akan teruji. Aku selama di Mina cuba meminimumkan masa di bilik air kerana tidak mahu melambatkan keadaan, oleh itu mandi tidak menjadi satu keutamaan. Di sana penggunaan air perlu dijimatkan dan untuk mengambil air sembahyang, 1 botol air sudah mencukupi - keadaan yang tidak pernah diamalkan di Malaysia. Alhamdulillah aku dapat mengharungi cabaran di Mina dengan hati terbuka.

Tuesday, October 27, 2009

Kisah Haji 27

Muzdalifah


Kami dijadualkan bertolak ke Muzdalifah selepas waktu Maghrib. Oleh itu selepas waktu Maghrib kami semua telah bersedia dengan barang2 yang telah dikemas dan menunggu untuk dipanggil menunggu bas. Alhamdulillah segala2nya dipermudahkan. Aku dan Anwar menaiki antara bas terakhir untuk kumpulan kami dan kami tiba di Muzdalifah sebelum tengah malam. Sepanjang perjalanan kelihatan jalan2 penuh dengan lautan manusia.




Tiba di Muzdalifah kami berdua mencari tempat untuk meletak barang2 kami. Ketika sampai tempat untuk jemaah Malaysia telah penuh tapi memandangkan kami juga tidak mengharapkan tempat yg selesa, di mana ada ruang kosong di situlah beg kami diletakkan sebelum pergi mengutip batu untuk melontar di Mina.



Di Muzdalifah kami semua ditempatkan di kawasan lapang. Melihat keseluruhan kawasan, penuh dengan jemaah haji. Pelbagai ragam dapat dilihat.

Di Muzdalifah, tiada khemah yang disediakan. Tetapi itu semua tidak penting kerana kesemuanya adalah cabaran haji. Lagi pula kami tidak lama di Muzdalifah kerana hanya mabit sebentar di sana sebelum menaiki bas ke Mina pula.

Namun aku dan Anwar sempat juga melelapkan mata sebentar di sana. Cuaca malam itu agak sejuk tapi tiada halangan untuk kami lena seketika.



Kumpulan kami dijadualkan antara kumpulan terakhir meninggalkan Muzdalifah. Oleh itu ketika giliran kami tiba, kawasan kami sudah agak lengang. Seperti biasa aku dan Anwar menaiki antara bas2 terakhir ke Mina. Kami tiba di Mina ketika hampir masuk waktu Subuh.

Monday, October 26, 2009

Kisah Haji 26

Arafah


Selepas beberapa minggu di Makkah dengan rutin seharian kami di Masjidil Haram dan di tempat penginapan, tiba tarikh 8 Zulhijah. Pada tarikh itu, selepas Zohor kami dijadualkan bertolak ke Arafah.



Dalam bilik penginapan, aku dan rakan2 sebilik lain tidak banyak bersuara. Kami semua bersiap dan berkumpul di lobi untuk menunggu giliran menaiki bas yang telah ditetapkan. Jalan ke Arafah penuh sesak dengan pelbagai kenderaan. Dalam bas banyak pula persoalan datang berkenaan larangan dalam ihram. Memandangkan dalam bas tiada ustaz untuk bertanya, oleh itu terpaksalah aku bersms dengan sahabat - Zainal Badri di Malaysia....(sekiranya membaca posting ini...terima kasih atas bantuan).
Kami tiba di Arafah ketika masuk waktu Asar. Aku dan Anwar berpisah untuk ke khemah masing-masing.


Di Arafah aku ditempatkan di khemah yang memuatkan lebih kurang 40 jemaah. Sudah lebih dari selesa. Apatah lagi di sana bukannya masa untuk kami tidur tetapi mengambil peluang untuk melakukan ibadah dan amalan2 sunat. Ketika aku sampai khemah belum penuh lagi kerana masih ada bas yang membawa rakan sekhemah belum tiba. Selepas Mahgrib barulah khemah kami penuh dengan rakan2 lain.



Untuk makan malam, kami diberi satu pack makanan setiap seorang dan kami makan bersama di dalam khemah. Malam itu selepas Isyak, aku tidur sebentar dan bangun kembali dalam lebih kurang pukul 1.30 pagi untuk memulakan qiammullail. Tidur ku pun tidak begitu lena. Lagi pula kami ada satu malam sahaja di Arafah. Rugi rasanya kalau digunakan masa yang ada dengan tidur. Dari jauh juga kedengaran zikir-zikir dari khemah jemaah lelaki. Perasaan malam itu sangat berbeza dan aku sendiri tidak mampu menceritakan apa yang aku rasa. Tapi malam itu air mata tidak henti-henti mengalir. Dan aku berkeadaan begitu hinggalah tibanya Subuh.


Selepas sarapan pagi, aku mengambil peluang untuk tidur sebentar. Dan seperti juga malamnya tidur ku tidak begitu lena tapi cukup untuk menghilangkan rasa mengantuk. Pagi itu dihabiskan dengan membuat amalan2 sunat seperti membaca Quran dan berzikir.
Selepas Zohor, khutbah dibacakan. Di saat inilah aku melihat semua rakan sekhemahku mengalirkan air mata. Sebaik sahaja selesai khutbah dan doa, kesemua kami duduk bersendirian tidak bercakap. Semua dengan dunia sendiri.


Aku dan Anwar berjumpa selepas Asar dan kami mencari tempat untuk bersendirian. kami kembali ke khemah ketika hampir waktu Maghrib.



Kisah di Arafah merupakan pengalaman peribadi yang melibatkan banyak rasa dan tidak mampu diceritakan dengan mendalam tetapi yang pasti rasa itu akan tetap terpahat dalam diri......insyaAllah