Monday, October 4, 2010

Kenangan terindah

Posting dari blog Prof Kamil (Penulis Travelog Haji)
---------------------------------------------------------------------------------------------

Sesuatu yang sangat indah yang telah saya alami semasa dan sesudah menunaikan fardhu haji ialah rasa cinta yang sangat mendalam kepada Roza. Ia perasaan yang sangat luar biasa. Mungkin ramai lelaki akan ketawa dan berkata, “doa Roza termakbul di Masjidil Haram”.
Saya tidak merancang tetapi ketentuan Allah begitu. Ketika ramai suami dan isteri berpisah-pisah ketika hendak beramal ibadat, saya memilih untuk sentiasa bersama Roza.
Mungkin jadual kami berbeza dengan rakan-rakan sebilik. Malah dalam keterbatasan waktu, hubungan dengan rakan-rakan sebilik sangat minimum. Kami sekeluarga berada dalam dunia yang terasing.

Pagi-pagi lagi – di sekitar 2 pagi – Roza memegang lengan saya sambil berjalan menuju ke Masjidil Haram. Tiada kata terucap. Masing-masing berzikir dan membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Rutin biasa, sampai sahaja di pagar dalam Masjid kami mengambil segelas air zam-zam, mengadap kiblat, berselawat dan membaca doa memohon supaya Allah memberi kesihatan yang baik sepanjang kami beriktikaf di dalam masjid.
Kami mulakan dengan tawaf sunat. Roza sentiasa bersama saya. Memegang erat lengan. Setiap pusingan, apabila sampai di kawasan Hijir Ismail, saya berdoa kepada anak-anak saya yang empat.

Pusingan pertama untuk Sara, “Ya Allah jadikanlah anakku Sara Fateha sebagai anak yang solehah, yang takut dan gentar kepadaMu. Bukalah pintu hatinya untuk menutup aurat, ya Allah.. berilah kejayaan kepadanya di dunia dan akhirat”.
Pusingan kedua untuk Azrai, ketiga Amirul dan keempat untuk Sofea. Ia doa ringkas ketika melintasi Hijir Ismail. Pusingan ke lima saya lafazkan doa untuk Wan dan Ayah supaya mereka terlepas seksa kubur dan akhirnya bertemu kami di syurga Firdaus. Pusingan keenam khusus untuk mak dan abah.

Akhir sekali di pusingan ke tujuh, saya membisik-bisik kepada Allah SWT,
“Ya Allah, jadikanlah isteriku sebagai isteri yang solehah, isteri yang taat kepada Mu, isteri yang takut dan gentar kepada Mu. Ya Allah, jadikanlah beliau sebagai ibu yang bertaqwa kepada anak-anak kami. Ya Allah berikanlah kejayaan kepadanya dunia dan akhirat.
Ya Allah mudahkanlah kerjaya beliau. Ya Allah berikanlah perasaan kasih-sayang, cinta mencintai di antara kami. Janganlah kami bersengketa ya Allah. Ya Allah nanti, temukanlah kami di syurgaMu, syurga Firdaus ya Allah”
Saya terasa tangan roza semakin kemas memegang lengan. Barangkali beliau mengaminkan apa yang saya bisikkan.

Malah doa-doa ini menjadi penanda yang saya sudah sempurna melakukan tujuh pusingan tawaf. Ia ibarat memegang tasbih atau membengkokkan jari supaya tidak was-was dengan jumlah pusingan.
Hampir setiap hari – selepas Isya – kami bersantai di luar pintu satu. Sambil menikmati makan malam, membuat refleksi bagaimana hari yang telah kami lalui dan yang paling utama adalah untuk berkomunikasi sesama sendiri sebelum beredar pulang bagi memulakan hari berikutnya.
Hari-hari yang dipenuhi dengan rasa kasih sayang dan cinta yang mendalam. Ia anugerah Allah yang Maha Esa.
--------------------------------------------------------------------------------------------

Membaca tulisan prof ini, teringat kembali kisah kami di sana. Kami selesa berdua ke mana2 sahaja. Setiap kali waktu ke masjid, saya atau Anwar menunggu di luar bilik masing2 pada waktu yang dijanjikan, untuk ke masjid. Kemudian berjalan bersama2 ke masjid. Berpisah di masjid dan selepas itu bertemu kembali di mana2 tempat yg dijanjikan.
Perjalanan pergi dan balik masjid, tawaf sunat bersama, mendaki jabal rahmah, perjalanan ke Mekah dari Mina, tertidur di tiang marwah selepas berjalan tanpa henti selama 4 jam, makan, merayau, dan pelbagai aktiviti lagi...kami lakukan bersama2.

Indah sungguh kenangan itu.

5 comments:

Farra Da Smiley said...

aduh indahnya..insyallah menyimpan impian menunaikan haji tahun 2013... amin...

JiJie said...

amiinn...semoga tercapai hajat

aida said...

same with me. Rasa cinta makin subur masa haji, ke mana2 tetap berdua

JiJie said...

aida bukan bertiga ke masa tuh?...yg dalam perut tuh?..hehe

Ummu Auni said...

terkedu. masa di sana, aku baik sangat dengan roommates. ke mana2 pun sekali. sampai jadi anak angkat. roommates saya sangat baik. org lain nikmatnya berbeza dan cabarannya berbeza. aku bersyukur sebab Allah bagi aku rasa hebatnya tautan ukhuwah kami sampai terkenang2. mereka sentiasa mendoakan kami dan sebaliknya sehingga kini...