Tuesday, February 16, 2010

Cuti tahun harimau

Saya suka bulan Februari. Banyak betul cuti. Kali ini cuti panjang lagi sempena Tahun Baru Cina.
Kami tidak pergi bercuti ke mana-mana. Masa cuti dihabiskan di rumah dan keluar ke tempat-tempat yang berhampiran rumah sahaja.

Hari ini hari terakhir cuti dan esok kami akan kembali ke rutin harian hari kerja. Siang tadi kami ke Mines. Masa banyak dihabiskan di Gramedia Book Store. Saya pertama kali mengetahui berkenaan kedai buku ini melalui Saifulislam.com. Teruja melihat kedai buku yang begitu besar dan penuh dengan buku pelbagai jenis dan genre. Dan hasilnya kami membawa pulang majalah komputer untuk Anwar, satu set puzzle untuk Ziyad, buku aktiviti dan pensil colour untuk Fahim dan buku paranormal untuk saya sendiri. Cuma Munif tidak dibelikan apa-apa (lain kali yer Munif).
Pada saya jika ingin mendapatkan buku untuk anak-anak, kedai buku ini amat bersesuaian. Pilihannya pelbagai.

Fahim dan Ziyad seronok di kedai buku. Memilih buku dan bermain. Kesabaran saya teruji dengan mereka yang sentiasa hilang dari pandangan. Itu baru 2 orang. Tak tahulah nanti apabila Munif dah dapat kaki, lagi besar ujiannya nanti. Apabila saya mengeluh pada Anwar, Anwar beritahu saya, extraordinary people akan melakukan extraordinary things - Oh, ini ayat untuk mengelakkan saya tension.

Kala ini, di waktu saya menamatkan tulisan ini, Ziyad sedang menyusun puzzlenya dan Fahim pula dengan buku aktivitinya. Munif sudah lena diulit mimpi.

Saya berhenti di sini dahulu.

Friday, February 12, 2010

Ibu bapa derhaka?

Posting ini ditulis hasil dari pembacaan majalah Solusi (saya tak pernah tahu kewujudan majalah ini sehinggalah Anwar belikan untuk saya baru2 ini).

Dalam majalah ini ada artikel berkenaan ibu bapa derhaka. Biasanya kita hanya tahu berkenaan anak derhaka. Tapi kali ini ibu bapa derhaka pun rupanya wujud juga.

Dalam mendidik anak kita sentiasa mengharapkan yang terbaik dari anak kita. Anak yang baik, rajin, pandai, bertanggungjawab dan pelbagai lagi Pelbagai cara digunakan untuk mengajar mereka ke arah matlamat kita. Betulkah cara kita? Kita mahu anak2 kurangkan masa dengan tv tapi apa gunanya kalau kita sendiri 24 jam mengadap tv. Kita mahu anak kita solat, melakukan segala suruhan agama, tapi kita sendiri? Dan macam-macam lagi yang kita mahukan dari anak kita sedangkan hakikatnya kita sendiri tidak menunjukkan contoh teladan yang baik untuk mereka.

Imam al-Ghazali mengingatkan, "Anak-anak merupakan amanah bagi kedua orang tuanya. Hatinya yang suci masih bersih tanpa ukiran dan gambar. Dia sedia diukir dan cenderung kepada apa sahaja yang mempengaruhinya. Jika dia dibiasakan dan diajar kepada kebaikan, maka tumbuhlah menjadi anak yang baik."

Petikan dari majalah Solusi," ironinya, jika ada segelintir ibu bapa yang sanggup mendera anak-anak mereka dengan api daripada puntung rokok di dunia, namun lebih ramai ibu bapa yang bakal mendera anak-anak mereka dengan api neraka. Ibu bapa ini adalah ibu bapa yang tidak menunjukkan teladan yang baik dalam mendidik anak-anak. Inilah ibu bapa yang derhaka!"

Saya: Banyak lagi diri saya yang perlu perbaiki....

Thursday, February 11, 2010

Kisah SHAMS 4

Ada sahabat memasukkan gambar-gambar zaman sekolah di facebook dan saya baru terbuka gambar-gambar itu semalam. Lantas tiba-tiba teringat kembali nostalgia zaman sekolah.
Seingat saya sepanjang 5 tahun di SHAMS ada beberapa perkara yang saya boleh maintain.
1) dari F1 hingga ke F5 saya duduk di kedudukan yang sama. Tentulah kelas berubah, tapi tempat saya masih sama. Jalur ke tiga dan di tengah-tengah kelas.
2) saya belajar sejarah apabila hendak tidur, menjadi bedtime story saya. Selalunya menjadi ubat tidur yang sangat mujarab

Dua benda ini saja yang ingat. Sebab 2 perkara ini tidak berubah sepanjang saya 5 tahun di SHAMS.

Dan kala peperiksaan SPM, saya demam panas pada 2 hari awal SPM bermula. Waktu itu seingat saya ada paper sejarah, BM, math dan kimia. Pada hari pertama SPM, lantaran badan dah tak larat sangat saya tertidur ketika paper sejarah dan BM berjalan. Dapat saja soalan, saya menjawab secepat mungkin, then tanpa semak jawapan, saya terus tidur sehingga habis waktu. Tak pernah terjadi sepanjang persekolahan, tapi berlaku ketika SPM. Haru betul.

Pengalaman di SHAMS banyak mengajar dan mendidik saya. Even kenangan pahit tetap menjadi guru paling berharga dalam hidup saya. Dan saya bersyukur atas segala kisah di SHAMS yang saya alami.

Wednesday, February 10, 2010

Kisah Richard dan Yamamoto

Malam ini saya tiada idea untuk menulis berkenaan apa. Lantas teringat bedtime story Fahim iaitu kisah Richard dan Yamamoto.

Ini kisah versi Fahim, saya tulis sepertimana yang diceritakan oleh Fahim pada saya. Enjoy the story...hehe

Pada suatu hari ada orang British, dia serang orang Melayu. Lepas itu orang Melayu kena jajah dengan orang British. Orang British bawa kapal terbang jatuhkan bom pada orang Melayu. Ini dulu-dulu bukan sekarang. Sekarang orang British tak jajah lagi.
Selepas itu ada pula orang Jepun. Kapal terbang mereka juga hebat seperti orang British. Nama orang Jepun itu Yamamoto. Kapal terbang Richard dengan Yamamoto berlawan tapi kapal terbang Yamamoto lagi hebat. Richard kena mendarat. Orang Jepun serang orang Melayu. Orang British kena undur sampailah di Thailand. Orang British fikir macam mana nak lawan dengan orang Jepun. Mereka fikir bagaimana nak ringankan kapal terbang untuk lawan orang Jepun. Dia ada satu idea. Orang British cabut semua bom dan peluru berpandu untuk ringankan kapal terbang. Tapi tak ringan lagi. Mereka fikir sampai pening kepala. Lalu orang British jumpa dengan naga untuk minta tolong. Naga suruh mereka cabut besi-besi yang dekat belakang sampai ringan tapi tak boleh ringan sangat nanti angin tolak sampai terbabur.
Richard lawan balik dengan Yamamoto. Mereka berlawan sehingga kapal terbang Yamamoto langgar kapal terbang Richard sehingga terbabur. Richard lompat keluar dengan kerusinya ke bawah dan Richard pun selamat.

Tamat cerita. Sila abaikan kesalahan ayat, tatabahasa, logik dan sebagainya. Ini cerita Fahim.
Sedang saya menulis kisah ini Ziyad pula sibuk menyiapkan kapal terbang Richard dengan legonya.

Tuesday, February 9, 2010

Adil dan saksama

Malam tadi, saya sedang monitor Fahim membaca. Anwar pula menjaga Munif. Ziyad berseorangan main lego di dalam bilik. Bila saya teringat, saya terasa sedih. Saya tak tahu adakah dia rasa tidak dipedulikan semalam atau memang dia sendiri tak kisah bermain seorang diri.

Malam-malam, saya perlu monitor progress pembelajaran Fahim. Munif pula saya dan Anwar bergilir-gilir bersama dengannya. Ziyad, kadang-kadang terlepas pandang. Mungkin juga kerana dia sendiri seorang yang tak kisah jadi kami take for granted keadaan itu. Kasihan Ziyad. Saya sangat mengharapkan tiada anak-anak saya yang rasa tidak dipedulikan. Saya perlu sentiasa berusaha memberikan layanan yang adil untuk mereka bertiga.

Cuma dalam keadaan sekarang biasanya Munif yang diberi lebih fokus apatah lagi dia masih kecil, dan menyusu dengan saya.

Oh..dan Ziyad walaupun dia main berseorangan semalam, tapi apabila dia keluar dia memberikan pistol lego kepada Fahim. Rupanya dia lama di dalam bilik, apa yang dibuatnya ialah buatkan pistol untuk Fahim dari lego. Ingat betul Ziyad pada abangnya. Dan saya gembira, mereka seronok bermain berdua selepas Fahim selesai belajar. Sebelum tidur saya bacakan buku favourite Ziyad - Dora the explorer padanya sebagai bedtime story, sebagai reward kerana menjadi good boy.
Kanak-kanak, ada kalanya kita tak tahu apa yang mereka rasa. Saya perlu lebih cuba memahami mereka.

Monday, February 8, 2010

Satu hari yang penuh

Malam Sabtu, Munif tidur tidak lena. Setiap satu jam beliau bangun. Bermula jam 12.30 tgh malam, 1.30 pagi, 2.30 pagi, 3.30 pagi, 4.30 pagi, 5.30 pagi. Jam 4.30 pagi saya dah tak mampu , kejutkan Anwar, passkan Munif pada Anwar dan saya tertidur. Mencabar sungguh malam itu. Tidur saya juga menjadi tidak lena. Mujurlah paginya Munif tidur agak lena sedikit.

Paginya ada usrah. Lama betul saya tak join usrah. Since usrah ini hanya untuk golongan hawa sahaja, saya membawa Munif bersama manakala Anwar bersama Fahim dan Ziyad. Seronok dengan usrah pertama ini. Di tambah pula Munif kurang meragam dan saya boleh fokus dengan perbincangan semasa usrah. Antara agenda sepanjang usrah, tadarrus al-Quran (surah ar-Rahman), perbincangan mengenai sedekah, ulasan buku dan cerita-cerita informal antara kami semua. Selepas itu dihidangkan pula spaghetti dari tuan rumah sebagai penutup usrah.


Dan ini antara aktiviti Fahim & Ziyad bersama Anwar ketika saya dan Munif sedang berusrah.





Satu hari yang penuh, aktiviti yang ringkas namun menyeronokkan untuk kami semua.

Sunday, February 7, 2010

Kisah kancil

Posting kali ini bertajuk kisah kancil jadi pastinya cerita-cerita yang akan saya tulis seterusnya ada kaitan dengan kancil. Kancil di sini bukannya kereta perodua kancil tapi sang kancil, haiwan yang dikatakan cerdik dalam cerita kanak-kanak.

Saya menulis posting kali ini kerana melihatkan dua posting sebelum ini berkenaan dengan haiwan jadi untuk meneruskan feel, saya teruskan dengan posting berkenaan kancil pula. Lagi pula saya teringat kembali perbualan saya dengan Fahim berkenaan haiwan, akal dan kancil sebelum ini.

Biasanya apabila berbual dengan Fahim, saya perlu sentiasa bersedia untuk menyediakan jawapan untuk soalannya yang pelbagai dan di luar jangkaan.
Satu hari Fahim bertanya saya apa yang membezakan manusia dan haiwan. Saya katakan padanya manusia dikurniakan akal fikiran dan boleh berfikir apa yang baik dan tidak. Haiwan pula tiada akal dan mereka tidak boleh berfikir. Lalu Fahim beritahu saya,"tapi nenek cerita pasal sang kancil yang pandai, dia boleh fikir.Maknya dia ada akallah" Belum sempat saya menjawab Fahim menyambung kembali," tapi itu dalam ceritalah. Sebenarnya sang kancil mana ada otak. Dia pun tak boleh fikir. Dia kan haiwan." Dan saya tidak memberi apa-apa komen lagi.

Saya teringat dalam buku tulisan Ustaz Hasrizal ada terselit kisah berkenaan kancil. Beliau menulis berkenaan anaknya yang mengatakan sang kancil itu penipu apabila beliau menceritakan kisah sang kancil kepada anaknya. Kenapa pula kancil itu penipu. Kerana untuk mendapatkan sesuatu, kancil menipu haiwan yang lain. Contohnya, kisah kancil dan buaya. Dalam cerita itu kancil menipu buaya untuk menyeberang sungai. Betul juga kan, selama ini kita fokus dengan cerita kecerdikan kancil hingga terlupa penipuan kancil.

Cerita sang kancil popular di kalangan kanak-kanak. Bermakna indirectly kita mengajar anak-anak kita menipu itu dibolehkan untuk mendapatkan sesuatu.

Rasanya cerita kancil tidak boleh lagi menjadi bedtime story anak-anak saya. Kalau ada pun, ceritanya perlu diubahsuai.