Tuesday, December 29, 2009

Luahan rasa

Ini dialog yang berlaku semalam. Saya perlu mencatatnya di sini untuk menjadi peringatan kepada diri sendiri.

Fahim: Ummi, tadi Fahim kena marah sebab degil yer?
Saya: Bukan marah, tapi tegur jer sebab tak nak Fahim buat benda yang tak elok
Fahim: Tapi kenapa tak boleh cakap elok2?
Ketika soalan itu saya terdiam sekejap...cari idea nak menjawab. Walaupun saya masih merasakan teguran yang dibuat biasa ajer, tapi mungkin dia merasakan seperti dimarahi.
Usianya baru 4+ tapi tetap ada perasaan seperti mana kita yang dah dewasa. Dan saya perlu sentiasa mengingatinya.

Satu dialog lagi
Fahim: Ummi, kenapa hari itu abah marah pastuh ummi pun marah kat Fahim
Saya: Tuhla kan...tak elok marah kan...ummi dah buat salah...abah pun salah jugak...tak elok marah kan
Fahim: Haah...Fahim pun salah juga
Sekali lagi saya terdiam. Rupanya tak salah mengaku kesilapan diri dengan anak2.

Dua dialog di atas merupakan perbualan saya dengan Fahim semalam yang membuat saya terdiam. Kita kadang2 hanya cuba membuatkan anak2 memahami parents mereka tapi adakah kita sendiri memahami diri mereka? Saya beruntung Fahim boleh meluahkan rasanya...sekurang2nya saya boleh belajar untuk lebih memahami dan mengingatkan saya apabila terlupa.

Banyak betul cabaran dalam membesarkan anak. Harapnya saya tidak lupa lagi.

Kisah SHAMS 1

Hari ini teringat kisah zaman persekolahan di SHAMS. Teringat dan rindu..sebabnya baru sahaja selesai membaca novel Tunas karya Hlovate. Kisah berkenaan zaman persekolahan. Walaupun kisah dalam novel tu tak sama dengan kisah saya...tapi since latar ceritanya ada kisah zaman sekolah menengah sedikit sebanyak (banyak sebenarnya) mengingatkan saya kisah di SHAMS.

Apa khabar kawan2 belakang meja....lia, farehan, zuraini, tg suzi
apa khabar sahabat tersayang...syikin
rakan2 sekelas 4 Abu Darda' dan 5 An Nasa'i
dan tak lupa juga rakan2 1 Aisyah, 2 Ummu Salamah dan 3 Ibnu Abbas
juga rakan2 BP SHAMS

Banyak kisah suka duka di SHAMS..betullah 5 tahun di sana banyak mengajar diri saya.
Yang ingin diubah...dan yang ingin dialami lagi sekali. Tapi yang pasti semua itu hanya boleh menjadi satu kenangan dan memori sahaja.

Dah lama betul tak berjumpa dengan rakan2 SHAMS.
Apa cerita masing2...pasti keluarga masing2 dah berkembang...atau ada yang masih solo?

Kisah anak-anak

Di suatu hari
Fahim: Ummi, kenapa bila Fahim nangis kat rumah ummi tak pujuk...tapi kalau Fahim nangis kat rumah orang lain ummi pujuk?
-Saya terkedu
Note: sebab itulah agaknya budak-budak pandai manipulate parents mereka bila keluar dari rumah. Mereka faham parents biasanya akan mengalah bila berada di tempat awam atau ada orang lain. Next time kena beringat...walau kat mana ajer kena konsisten dengan mereka


Di hari yang lain
Fahim: Ziyad...ziyad nak masuk syurga ke neraka?
Fahim: neraka tak best...kat syurga macam2 ada...ada mainan...ada makanan sedap2
Ziyad:emm...nak masuk syurgalah!!!
Note: simple betul pemahaman syurga bagi kanak2


Hari lain
Fahim: Ummi hari ini tak payah buat kerja...ummi rehat jer..ummi penat kan. Biar Fahim tolong ummi...kalau ada pinggan kotor nanti bagi kat Fahim...biar Fahim basuh
-Saya terharu
Note: rajin betul anak ummi...agaknya dia perasan saya selalu keletihan apabila di rumah


Suatu hari lagi...
Ziyad baru menghabiskan susunya
Ziyad: Ummi...tolong letak botol kat meja
Ummi: Ziyad yang hisap susu, Ziyad la yang kena letak sendiri
Ziyad: Tapi tadi ummi yang buatkan susu kan...ummi la kena letak balik
Note: pandai ajer anak ummi ini menjawab

Monday, December 28, 2009

Pengalaman Haji

Hari ini di radio IKIM, ustaz Zamri kembali ke udara setelah kembali dari Tanah Suci dan topik pagi hari ini berkenaan pengalaman haji.

Meremang bulu roma mendengar pengalaman haji tahun ini...hujan di Arafah...bergelap sepanjang malam di Arafah dalam keadaan kesejukan yang teramat...tilam dan karpet semuanya basah dek hujan. Malah ada jemaah yang tidur sambil berdiri (tak boleh dibayangkan macam mana). Tapi itulah cabaran dan dugaan mengerjakan haji. Yang penting bagaimana jemaah memandang dan menghadapi cabaran itu. Dari satu segi jemaah tahun ini juga bertuah kerana dapat merasakan hujan yang amat jarang sekali untuk turun di sana.
Dan sekurang-kurangnya jemaah haji Malaysia juga beruntung kerana perjalanan dari Makkah ke Arafah menggunakan bas dan disediakan khemah untuk berteduh. Bagaimana pula jemaah lain yang berjalan kaki dalam hujan...yang tidak mempunyai khemah untuk berteduh...pasti mereka memerlukan kekuatan hati yang bukan sedikit untuk menghadapinya.

Mendengar perkongsian jemaah yang menelefon, teringat kembali kisah haji kami pada 2008. Kami juga diduga dengan pelbagai cabaran...malah cabaran kami bermula dari awal lagi ketika di Malaysia...
Tapi itulah, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya

Tuesday, December 22, 2009

Hutang

Hari terakhir 1430H, alhamdulillah hutang berjaya diselesaikan. Bukan mudah bayar hutang semasa menyusu...perlu disiplin dan semangat yang kuat. Tapi memandangkan bayar hutang ini wajib, nak tak nak kena kuatkan hati selesaikan juga. Lagi lama bertangguh, hati tak senang dan silap hari bulan hutang boleh berdouble.
Tapi bila dah habis hutang, macam-macam pula kehendak yang datang. Penat juga nak menahan diri dari menurut keinginan yang pelbagai. Mungkin juga disebabkan tempoh yang lama dari confinement sehingga selesai hutang. Jadi bila dah bebas macam ini semua benda rasa sedap.
Note:
1) hutang yang dimaksudkan ialah ganti puasa
2) keinginan yang pelbagai merujuk kepada keinginan untuk makan macam2

Wednesday, December 16, 2009

1431H

30 Zulhijah 1430H / 17 Desember 2009

Sekejap sahaja 1 Muharram bakal menjenguk. Jika di sekolah rendah dahulu lagu maaf hijrah selalu dinyanyikan untuk pertandingan

1 Muharram detik permulaan
Perkiraan tahun Islam hijrah
Perpindahan Nabi dan umat Islam
Dari kota Mekah ke kota Madinah

Atas keyakinan dan iman yang teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu
Rela berkorban
Harta dan nyawa
Demi menegakkan Islam tercinta

Hijrah itu pengorban
Hijrah itu perjuangan
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan

Oleh itu
Mari semua kita sambut maal hijrah
Tingkatkan semangat
Tegakkan syiar Islam
Untuk sepanjang zaman

Itu nostalgia lagu zaman sekolah rendah...tiba2 teringak pula hari ini. Tak pasti samada lirik itu betul atau tidak...rasanya lebih kurang macam tu.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1431H.

Sunday, December 13, 2009

Kisah seorang pemimpin

Satu pagi ketika sedang bersibuk2 di rumah, terdengar ruangan Tanya Ustaz di TV9. Tajuk hari itu berkenaan fiqh pengurusan. Antara salah satu cerita yang dikongsi ialah berkenaan Sultan Muhammad Al Fatih - pemerintah Islam yang melukir sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapol.

Kisah yang sempat saya dengar:
-Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.Pertanyaan seterusnya, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.Kemudian Baginda bertitah, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah! Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh -

Terdapat beberapa pengajaran di sebalik kisah ini tapi pada saya, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya apabila mendengar kisah ini ialah betapa solat yang sepatutnya menjadi tiang agama sudah tidak lagi diberi perhatian dalam memilih seseorang pemimpin atau ketua di masa kini. Malah solat di akhir waktu lantaran mesyuarat, kesibukan kerja dan sebagainya menjadi satu kebiasaan. Malah ada yang langsung tidak menghiraukan waktu solat....dan kita kerana lemahnya iman, tidak berani menegur cuma setakat di dalam hati sahaja.

Moga kisah ini menjadi peringatan untuk diri dan sahabat yang lain...InsyaAllah.

Friday, December 4, 2009

Kisah susu dan Fahim

Agak lama tinggalkan blog ini. Di awal kewujudan target hanya untuk letakkan kisah haji sahaja agar memori yang ada tidak hilang begitu sahaja. Tapi alang-alang dah ada blog ini so saya decide untuk menulis juga...itupun rasanya tak konsisten lagi.

Sekarang ini masih di office. Dah tak buat kerja since mood dah tak ada gara-gara tertinggal susu dalam pantry. Pantry dah kunci dan pemegang kunci dah balik jadi susu di fridge tak boleh ambil. Nak dijadikan cerita susu pula tak diletakkan di bahagian freezer. Harap-harap hari Isnin nanti susu masih elok. Walaupun stok di rumah masih banyak, tapi sedikit mana pun susu yang dibazirkan terasa sangat rugi.

Untuk kisah lain, semalam Anwar dah registerkan Fahim di Akademi Darul Huffaz. Fahim akan memulakan pelajarannya di Darul Huffaz pada 7 Disember nanti. Harap-harap dia akan berminat dan boleh menyesuaikan diri dengan pembelajaran di sana. Since masih dalam cuti sekolah, Fahim akan belajar dari hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 pagi hingga 11.30 pagi. Impian di hati sudah tentulah agar Fahim mampu menghafaz Quran, tapi untuk target awal kami harapkan Fahim dapat menghabiskan syllabus yang ditetapkan dan boleh membaca Quran dengan lancar...insyaAllah.

Untuk tadika Fahim akan terus ke Q Dees tahun hadapan memandangkan dia dah seronok di sana. Jadi apabila kembali ke Q Dees nanti, jadual di Darul Huffaz juga akan berubah. Q Dees setiap Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 12.00 tgh hari dan Darul Huffaz hari yang sama cuma dari jam 2.30 petang hingga 5.00 petang. Kalau tengok jadual terasa padat juga untuk Fahim yang akan berusia 5 tahun pada Mac 2010 nanti. Tapi kami akan cuba dulu dan yang penting kami kena yakin dengan keupayaan Fahim.

Cuma terasa perbezaan betul untuk kedua-dua sekolah Fahim nanti. Di Q Dees berseluar pendek (bak kata Fahim, tak tutup aurat), di Darul Huffaz pula berjubah dan berkopiah.

Tuesday, November 17, 2009

Kisah kereta lagi

Ketika perjalanan ke office, kami ditimpa dugaan lagi...juga membabitkan kereta. Kali ini tayar kereta pancit di tengah jalan. Nasib baik tidak ada apa2 yang berlaku, kami ke tepi dan Anwar keluar untuk menukar tayar kereta. Tapi, tayar yang ada pula tak boleh digunakan, dan perlu dipam. Since di tempat kami berhenti tiada stesyen minyak berhampiran, kemungkinan besar kami perlu menelefon meminta pertolongan. Tapi Alhamdulillah, dalam kami sedang dalam masalah, peronda highway muncul dan menawarkan bantuan membawa tayar ganti ke stesyen minyak.
Tidak lama, tayar ganti digunakan, dan kami mencari kedai tayar untuk menukar tayar yang betul.

Untuk mengelakkan rasa2 yang tidak elok, kami mencari pengajaran di sebalik peristiwa ini dan conclusion yang kami buat:
1) Anak2 tiada bersama ketika kejadian - Alhamdulillah
2) Memang sudah tiba masanya tayar diganti, kalau tidak kerana hal ini kami mungkin terlupa dan entah bila akan berbuat demikian

Monday, November 9, 2009

Langgar lari

Kereta kami dilanggar lari di tempat parking. Kemek di sisi hadapan. Nasib baik tidak begitu teruk. Masa mula-mula sampai ke kereta dan perasan kereta kena langgar, rasa macam nak marah sangat2. Tapi nak marah kat siapa...orang yang langgar dah lari. Kesal pun ada kerana sikap tak bertanggungjawab orang yang langgar. Tapi bila difikirkan balik...jika kita di tempat 'orang itu' adakah kita akan melakukan perkara yang sama atau menunggu tuan punya kereta datang.
Sikap yang betul pastilah menunggu tuan punya kereta datang...minta maaf ...dan membayar ganti rugi ..tapi adakah kita semua mempunyai sikap yang betul seperti itu?....Pernah tak kita atau anak2 kita tercalar kan kereta di sebelah apabila membuka pintu kereta? Dan jika itu yang berlaku adakah kita akan menunggu atau terus 'blah' dari situ?

Kejadian kereta kami membuka pintu hati kami untuk berfikir kembali....Rasa marah pada mulanya digantikan dengan rasa syukur. Kenapa?
Kerana hanya kereta yang dilanggar...itupun tak adalah major sangat. Kami dan anak2 tiada dalam kereta ketika itu...dan kami semua Alhamdulillah selamat. Kami tidak berjumpa dengan 'orang itu'. Kalau berjumpa tambah dosa lagi sebab pasti akan bergaduh. Dan mungkin juga kejadian itu untuk mengingatkan kami agar sentiasa bersyukur...dan bangkitkan kami dari rasa leka dan lalai. Apabila difikirkan sebab dan hikmah di sebalik kejadian itu, hati mula rasa redha dan bersyukur. Rasa marah terus hilang.

Membaca Kisah Haji kami kembali, saya menerima bahawa setiap kejadian yang berlaku ada sebabnya....dan yang pasti sekiranya kita terlanggar atau tercalarkan kereta orang lain...jangan lari!

Tuesday, November 3, 2009

Setahun kemudian

Hari ini, ketika aku mengakhiri kisah haji 2008 kami berdua, musim haji 2009 sedang berjalan. Ada jemaah yang telah tiba di sana dan ada yang masih menunggu penerbangan masing-masing. Sekejap sahaja sudah setahun berlalu. Dalam masa setahun ini pelbagai perkara berlaku dalam hidup kami. Dan selepas setahun kembara haji kami, kini ahli keluarga kami telah bertambah dengan kelahiran Ahmad Munif Idraki pada 1 September 2009 yang lalu.

Jika dilihat balik, aku dapat melihat dan merasakan betapa cantiknya perancangan yang diaturkan Allah untuk kami. Kami diberi dugaan awal dalam memilih samada pergi haji atau sebaliknya...dan awalnya kami silap memilih dan mujurlah Allah memberi peringatan kepada kami. Kami sedar kembali tapi dugaan tiba lagi apabila dimaklumkan namaku telah digugurkan dalam senarai......tapi kuasa Allah....Alhamdulillah akhirnya kami berpeluang juga menjejakkan kami ke tanah suci, Makkah dan Madinah pada tahun 2008 itu

Jika kami memilih untuk menangguhkan pemergian kami ke tahun 2009 ini, pastinya kami tidak akan dapat pergi. Dengan adanya Munif Idraki yang baru berusia 2 bulan, sudah pasti aku tidak mampu meninggalkannya. Tapi kami tidak sedar semua ini kerana kita hanya manusia biasa yang tidak akan mengetahui masa depan kita. Tapi Allah Maha Mengetahui, dan sebab itulah kami dibukakan hati untuk mengerjakan haji pada tahun 2008.

Kisah Haji 35

Pulang ke Malaysia....

Tiba di airport, kami ditempatkan di satu ruangan menunggu. Lama juga menunggu untuk dipanggil ke balai berlepas. Kami masuk ke balai berlepas apabila masuk waktu Subuh. Oleh itu balai berlepas menjadi tempat solat Subuh untuk KT kami. Kami diminta menaiki pesawat tidak lama selepas itu.


Masuk pesawat, kebanyakan kami terus terlelap. Perkara yang sama ketika kami pesawat untuk ke Madinah. Ini kerana kebanyakan kami berjaga sepanjang malam dan menaiki pesawat selepas Subuh. Dan kami tiba di Malaysia dalam pukul 10 malam....

Seakan tidak percaya kami telah tiba di KLIA. Terasa tidak sabar untuk berjumpa kembali dengan Fahim dan Ziyad tapi di masa yang sama terasa rindu untuk menikmati suasana di Makkah dan Madinah.

Setelah solat dan mengambil beg, kami berdua terus keluar mencari keluarga kami. Tidak sukar mencari, keluar sahaja sudah nampak Fahim dan Ziyad. Fahim nampak begitu gembira sekali berjumpa dengan kami. Ziyad pula...tidak mahu dekat dengan aku. Dia hanya mahukan Anwar sahaja. Aku agak dia merajuk agaknya ditinggalkan lama dan terpaksa bercerai susu.

Kami tidak lama di KLIA. Setelah bertukar berita sedikit sebanyak kami terus menaiki kereta pulang ke Serdang.


Dan berakhirlah kembara haji kami. Satu perjalanan yang mencabar dan penuh dengan dugaan....Dengan berakhirnya kembara haji ini, perjalanan baru kami kini bermula...


Description gambar: Fahim dan Ziyad pada hari pertama kami tiba

Monday, November 2, 2009

Kisah Haji 34

Madinatul Hujjaj
Kami bertolak ke Jeddah sebelum Subuh, dan bas kami berhenti di tengah perjalanan untuk kami semua solat Subuh di masjid yang ada. Tetapi ada juga jemaah yang tidak turun dan hanya menunggu di dalam bas sahaja....

Tiba di Madinatul Hujjaj kami terus menuju ke bilik yang telah ditetapkan. Madinatul Hujjaj merupakan persinggahan jemaah haji Malaysia di Makkah sebelum pulang ke Malaysia. Keadaannya pada aku seperti sebuah sekolah dengan asrama-asrama untuk kami berehat. Kami di situ hanya untuk 1 hari sahaja kerana kami akan ke lapangan terbang juga selepas tengah malam. (perjalanan KT kami banyak melibatkan waktu tengah malam - berangkat ke Madinah, perjalanan ke Makkah, berangkat ke Jeddah & ke lapangan terbang).
Tidak banyak aktiviti pada hari itu. Kecuali pada waktu petang kami diarahkan membawa bagasi masing2 untuk ditimbang dan dikumpulkan. Alhamdulillah, aku dan Anwar tidak perlu membuat bayaran lebih untuk lebihan barang kerana barang kami tidak banyak bertambah.

Malam itu, kami semua tidur sebentar dan bangkit ketika tengah malam. Ada kisah sedih untuk KT kami. Tengah malam itu ketika kumpulan kami bersiap sedia untuk menaiki bas ke lapangan terbang, kami dikejutkan berita dengan seorang jemaah wanita dalam kumpulan kami meninggal dunia. Kami dimaklumkan rakan sebiliknya cuba mengejutkan beliau untuk bangun bersiap menaiki bas tetapi didapati jemaah tersebut telah meninggal dunia. Beliau menunaikan haji bersama suaminya. Tetapi suami jemaah tersebut tidak dapat menunggu untuk menguruskan jenazah kerana jadual penerbangan pulang telah ditetapkan. Oleh itu pihak Tabung Haji akan menguruskan jenazah isterinya.

Kami semua terkejut dengan berita di saat2 akhir itu. Tetapi untuk jemaah wanita tersebut...pulangnya dalam keadaan yang masih bersih.....

Kisah Haji 33

Tawaf Wida'

2 hari berlalu dan kami dijadualkan untuk berangkat ke Jeddah selepas tengah malam. Oleh itu tawaf wida' dilakukan ketika hampir tengah malam. Malam itu selepas balik dari Masjidil Haram, kami mengemas barang-barang kami. Barang aku dan Anwar tidak banyak bertambah oleh itu masa yang diambil untuk berkemas tidak lama. Selepas siap, aku tidur sebentar dan bangkit kembali ketika hampir tengah malam untuk ke Masjidil Haram.

Perjalanan ke Masjidil Haram kali ini terasa lain. Ini adalah perjalanan terakhir kami ke sana sepanjang musim haji 2008. Kali ini aku cuba memahatkan segala persekitaran dan jalan yang telah biasa kami lalui selama sebulan lebih di Makkah ini. Jemaah masih ramai dan begitu juga kenderaan yang membawa jemaah. Suasana sibuk dan membingitkan tetapi suasana ini semakin sebati dalam diri kami. Tapi tidak lama lagi kami tidak akan merasakan suasana seperti ini lagi.

Tiba di Masjidil Haram, kelihatan ramai sekali jemaah melakukan tawaf. Aku dan Anwar memasuki kelompok jemaah tersebut dan memulakan tawaf. Sebaik sahaja melakukan tawaf aku menangis tidak berhenti sehinggalah selesai 7 pusingan. Keadaan yang sama seperti mana ketika aku melakukan tawaf pertama di Makkah dahulu. Cuma kali ini keadaan berbeza...

Selesai tawaf, solat sunat, berdoa, minum air zamzam, kami menuju ke pintu keluar. Dan aku menangis sepanjang perjalanan ke hotel...

Moga kami diberi peluang untuk kembali ke sini lagi...InsyaAllah

Saturday, October 31, 2009

Kisah Haji 32

2 hari sebelum pulang ke Malaysia....
Selepas kembali dari Mina, kami mempunyai masa 2 hari sahaja lagi di Makkah. Kepada jemaah KT kami yang belum membuat tawaf dan sa'ie 2 hari ini digunakan untuk berbuat demikian. Bagi aku dan Anwar pula memandangkan kami telah selesai mengerjakan kedua-duanya, 2 hari di Makkah dipenuhi dengan rutin kami sebelum ini. Tetapi kali ini perasaan sedih makin terasa kerana akan meninggalkan tanah yang barakah ini.

Ada kisah yang menimpa rakan sebilikku dalam masa 2 hari ini. Beliau tidak dapat melakukan tawaf dan sa'ie kerana berada dalam keadaan tidak suci. Beliau sebelum ini di Malaysia sudah lama sentiasa berada dalam keadaan yang bersih tetapi di Makkah keadaan menjadi berlainan pula. Memandangkan masa hanya ada 2 hari kemungkinan besar beliau perlu menangguhkan penerbangan pulang. Tetapi hanya beliau seorang sahaja yang boleh melambatkan tarikh pulang manakala suaminya harus pulang mengikut jadual yang telah ditetapkan. Mereka didatangkan ujian dalam saat-saat untuk kami berangkat pulang. Tapi Alhamdulillah mereka berdua dapat menerimanya malah rakan ku itu juga sudah bersedia andai kata beliau harus tinggal dan pulang bersendirian. Anak2 di Malaysia juga sudah dimaklumkan.
Tapi keadaan itu tidak berlaku kerana akhirnya rakanku dapat mengerjakan tawaf dan sa'ie walaupun lewat dari rakan sekumpulan kami yang lain. Banyak perkara yang tidak kita jangka boleh berlaku dan menunjukkan kebesaranNya.

Dalam 2 hari itu Makkah masih sesak dan tidak banyak berubah. Jemaah2 baru mula beransur keluar samada ke Madinah atau pulang ke negara masing2.

Friday, October 30, 2009

Kisah Haji 31

11, 12 & 13 Zulhijah


Kami kembali ke Mina selepas solat Zohor di Masjidil Haram. Kali ini aku dan Anwar menaiki van. Kepenatan berjalan masih terasa lagi pula waktu itu agak panas dan kami memilih untuk tidak berjalan kaki.



Tiba di Mina, jemaah penuh sesak untuk pergi melontar. Tapi kami berdua tidak pergi melontar pada waktu itu sebaliknya memilih untuk melontar pada waktu malam seperti sebelumnya. Tiba di khemah, rakan2 bertanyakan kisah aku balik ke Makkah. Malamnya aku dan Anwar pergi melontar ketiga-tiga jamrah - Sughra, Wusta dan Kubra. Kali ini kami tidak pergi berkumpulan sebaliknya pergi berdua sahaja.


Rutin yang sama juga kami lalui pada 12 Zulhijah. Aku dan Anwar masih memilih untuk melontar pada waktu malam. Ramai rakan sekhemah kami pergi melontar pada waktu pagi kerana hampir 90% jemaah di khemah kami hendak membuat nafar awal. Oleh itu sewaktu tengah hari khemah kami sudah lengang dan lapang. Rakan sebilik aku semuanya kembali ke Makkah tinggal aku dan kak Su sahaja yang tinggal.



13 Zulhijah, hari kami akan meninggalkan Mina. Oleh itu untuk hari itu kami semua melontar di waktu pagi. Selesai melontar, dapatlah kami tahallul thani dan kini kami bebas daripada semua larangan ihram. Kami dijadualkan bertolak ke Makkah sebelum waktu Zohor. Alhamdulillah, perjalanan pulang kami juga tiada masalah dan kami tiba di Makkah pada waktu Zohor.

Kisah Haji 30

Makkah

KT kami dijadualkan pulang ke Malaysia 2 hari selepas kembali dari Mina. Oleh itu kami mempunyai 2 hari untuk melakukan tawaf dan sa'ie sekiranya kami melakukan nafar thani. Aku dan Anwar memang sedari awal membuat keputusan untuk melakukan nafar thani tetapi tawaf dan sa'ie kami putuskan untuk lakukan selepas lontaran 10 Zulhijah. Ini untuk mengelakkan kami kelam kabut apabila pulang ke Makkah nanti.

Oleh itu selepas kembali ke khemah apabila selesai melontar, kami berjanji untuk berjumpa kembali ketika hampir tengah malam untuk ke Makkah melakukan tawaf dan sa'ie. Pada mulanya ada 2 pasangan yang ingin bersama kami kembali ke Makkah tetapi at the end hanya satu pasangan sahaja yang bersama kami iaitu kak Noni dan suami.
Tiba di khemah aku tidur sebentar dan terjaga tepat2 pada masa yang dijanjikan untuk berjumpa kembali. Sebelum memulakan perjalanan kami singgah di khemah Tabung Haji untuk memaklumkan permergian kami ke Makkah.

Ketika membuat rancangan ke Makkah, kami semua tidak begitu pasti jalan yang perlu dilalui dan kenderaan yang dinaiki. Pada mulanya kami hanya mengikut laluan ke jamrah dan seterusnya mengikut papan tanda ke Makkah. Rancangan awal ialah untuk menaiki van ke Makkah tetapi kami tidak pasti tempat menunggu yang sepatutnya oleh itu kami semua membuat keputusan untuk berjalan kaki ke Makkah.

Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 1 jam. Ketika hampir tiba di Masjidil Haram, kami berdua terpisah dengan kak Noni dan suaminya. Tiba di sana kami mengambil wuduk dan menyegarkan diri. Selepas itu kami memulakan tawaf. Alhamdulillah, tawaf dapat dilakukan dalam keadaan yang tidak begitu sesak. Selesai tawaf dan solat sunat, kami terus mengerjakan sa'ie. Dari saat kami tiba di Masjidil Haram, tawaf dan sa'ie, kami berdua tidak berhenti rehat walau seketika. Namun ketika itu keletihan langsung tidak terasa. Terasa diri kami diberi kekuatan untuk melakukan segala-galanya.

Tapi sebaik sahaja kami selesai melakukan sa'ie barulah terasa kepenatan 4 jam berjalan tanpa henti - pulang ke Makkah, tawaf dan sa'ie. Aku dan Anwar duduk bersandar di salah satu tiang di Marwah dan tertidur di situ sehinggalah hampir waktu Subuh. Kami solat subuh di Masjidil Haram dan selepas itu pulang ke hotel penginapan kami. Tiba di hotel, selesai mandi dan makan, aku terus tertidur kepenatan.....

Thursday, October 29, 2009

Kisah Haji 29

Melontar 10 Zulhijah
Malam selepas Maghrib kami semua berkumpul di jalan luar perkhemahan mengikut kumpulan masing2 untuk pergi melontar di Jamratul Kubra. Berdebar jua ketika berkumpul, kerana banyak kisah yang aku dengar berlaku ketika melontar. Dan kisah2 itu banyak juga yang berakhir dengan tragedi. Excited pun ada juga kerana banyak perkara yang aku tidak pasti seperti contoh, jarak khemah kami dengan tempat melontar, jalan yang perlu dilalui dan pelbagai lagi. Dan yang penting dengan lontaran pada 10 Zulhijah ini dapat dapatlah kami tahallul awal dan kami bebas dari pantang larang ihram kecuali 3 perkara.

Kami berjalan secara berkumpulan mengikut pemandu arah yang membawa nombor kumpulan kami. Laluan pertama kami adalah melalui terowong Muassim. Dan seterusnya menuju laluan yang telah disediakan. Walaupun laluan penuh dengan jemaah dari pelbagai negara tetapi keadaan tidak begitu sesak. Lagi pula di Mekah ketika hari-hari terakhir menjelang wukuf, semua jalan juga dibanjiri oleh jemaah haji, oleh itu perjalanan untuk pergi melontar adalah sama seperti apa yang kami rasai sewaktu di Mekah. Lagi pula jemaah yang telah selesai melontar tidak bertembung dengan jemaah yang hendak pergi melontar kerana dua laluan yang berbeza disediakan.

Aku tidak pasti berapa jauh perjalanan melontar tapi masa yang diambil lebih kurang dalam 30 minit untuk tiba di sana. Mungkin masa boleh disingkatkan jika tidak berjalan dalam kumpulan. Aku sendiri tidak pasti kerana mungkin kami sudah biasa berjalan jauh sepanjang di Mekah oleh itu perjalanan melontar tidak dirasakan begitu jauh.

Tiba di tempat melontar kami terus dibawa ke Jamratul Kubra yang berada di hujung jamrah. Kami akan melintasi Sughra dan Wusta sebelum tiba di Jamratul Kubra. Tempat melontar lapang dan tidak sesak oleh itu kami tidak perlu berasak-asak. Sesampai di Jamratul Kubra, aku dan Anwar terus ke depan dan melontar 7 biji batu. Habis melontar kami pergi ke belakang dan bergunting untuk melepaskan kami dari 10 pantang larang ihram....Alhamdulillah.

Perjalanan pulang dari melontar tidakla dirasakan jauh seperti perjalanan pergi. Mungkin juga kerana perkara yang perlu dibuat telah diselesaikan dan tiada lagi tanya tanya berkenaan tempat melontar dan sebagainya.

Wednesday, October 28, 2009

Kisah Haji 28

Mina
Di Mina khemah aku dan Anwar bersebelahan. Ketika mula2 tiba di Mina, aku sendiri confuse untuk mencari khemah kerana khemah yang banyak dan berdekatan antara satu sama lain. Khemah2 yang ada juga serupa jadi tidak mustahil ada jemaah yang sesat untuk mencari khemah apabila mereka keluar ke tandas dan sebagainya. Khemah dilabelkan dengan objek dan nama buah seperti pisang, oren dsb.
Khemah yang aku duduki aku rasakan dihuni lebih 200 jemaah. Berbanding di Arafah ruang untuk kami agak sempit.
Jika di Arafah setiap petak dalam khemah diletakkan 10 orang tapi di Mina ruang petak yang sama seperti di Arafah menempatkan 20 jemaah. Jadi kami perlu berhimpit dan tidak boleh mengharapkan keselesaan. Khemah dialas dengan karpet dan kami semua meletakkan tikar yang diberi oleh Tabung Haji sebagai alas tidur kami manakala beg yang dibawa digunakan sebagai bantal.
Ketika mula tiba di khemah,ruang petak kami kecoh sekejap ketika pembahagian tempat tidur. Memandangkan petak kami berhampiran dengan tempat keluar masuk jadi kami perlu menyediakan ruang untuk jemaah lain dalam khemah kami berjalan. Oleh itu ruang kami yang sudah sedia sempit menjadi makin sempit. Nasib baik perkara itu dapat diselesaikan dan semua berpuas hati dengan arrangement yang dibuat. Risau juga aku kalau ada yang bermasam muka. Aku sendiri tidur di petak lain yang masih ada ruang. Hikmatnya berbadan kecil, dalam keadaan seperti itu aku boleh menyelit di mana sahaja. Jadi semasa 3 hari di Mina, tempat tidur aku tidak tetap. Aku tidur di mana sahaja ada ruang yang boleh aku menyelit di petak yang berhampiran.

Pagi itu, 10 Zulhijah, setelah selesai solat Subuh dan rehat seketika, aku berjumpa kembali dengan Anwar. Kami keluar dari kawasan khemah dan mencari tempat untuk menelefon keluarga di Malaysia. Aku dan Anwar bersarapan bersama sebelum kami berjalan-jalan di sekitar kawasan perkhemahan jemaah Malaysia di Mina. Ada juga jemaah Malaysia yang pergi melontar di pagi 10 Zulhijah itu tetapi aku dan Anwar mengambil keputusan untuk mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji untuk melontar pada waktu malam. Oleh itu siang hari di Mina kami gunakan untuk merehatkan badan dan tidak lupa juga melakukan ibadat2 sunat. Di Mina ruang masa panjang dan amat merugikan jika disia2kan begitu sahaja.

Satu cabaran di Mina yang memerlukan kesabaran yang tinggi ialah apabila pergi ke tandas kerana tandas yang ada tidak cukup untuk menampung bilangan jemaah. Setiap kali pergi ke tandas, jemaah perlu beratur dan menunggu giliran. Sementara beratur, sungutan dan keluhan akan didengari oleh segelintir jemaah. Ada yang tidak puas hati kerana perlu menunggu lama dan juga apabila menunggu jemaah yang mandi. Di kala inilah kesabaran akan teruji. Aku selama di Mina cuba meminimumkan masa di bilik air kerana tidak mahu melambatkan keadaan, oleh itu mandi tidak menjadi satu keutamaan. Di sana penggunaan air perlu dijimatkan dan untuk mengambil air sembahyang, 1 botol air sudah mencukupi - keadaan yang tidak pernah diamalkan di Malaysia. Alhamdulillah aku dapat mengharungi cabaran di Mina dengan hati terbuka.

Tuesday, October 27, 2009

Kisah Haji 27

Muzdalifah


Kami dijadualkan bertolak ke Muzdalifah selepas waktu Maghrib. Oleh itu selepas waktu Maghrib kami semua telah bersedia dengan barang2 yang telah dikemas dan menunggu untuk dipanggil menunggu bas. Alhamdulillah segala2nya dipermudahkan. Aku dan Anwar menaiki antara bas terakhir untuk kumpulan kami dan kami tiba di Muzdalifah sebelum tengah malam. Sepanjang perjalanan kelihatan jalan2 penuh dengan lautan manusia.




Tiba di Muzdalifah kami berdua mencari tempat untuk meletak barang2 kami. Ketika sampai tempat untuk jemaah Malaysia telah penuh tapi memandangkan kami juga tidak mengharapkan tempat yg selesa, di mana ada ruang kosong di situlah beg kami diletakkan sebelum pergi mengutip batu untuk melontar di Mina.



Di Muzdalifah kami semua ditempatkan di kawasan lapang. Melihat keseluruhan kawasan, penuh dengan jemaah haji. Pelbagai ragam dapat dilihat.

Di Muzdalifah, tiada khemah yang disediakan. Tetapi itu semua tidak penting kerana kesemuanya adalah cabaran haji. Lagi pula kami tidak lama di Muzdalifah kerana hanya mabit sebentar di sana sebelum menaiki bas ke Mina pula.

Namun aku dan Anwar sempat juga melelapkan mata sebentar di sana. Cuaca malam itu agak sejuk tapi tiada halangan untuk kami lena seketika.



Kumpulan kami dijadualkan antara kumpulan terakhir meninggalkan Muzdalifah. Oleh itu ketika giliran kami tiba, kawasan kami sudah agak lengang. Seperti biasa aku dan Anwar menaiki antara bas2 terakhir ke Mina. Kami tiba di Mina ketika hampir masuk waktu Subuh.

Monday, October 26, 2009

Kisah Haji 26

Arafah


Selepas beberapa minggu di Makkah dengan rutin seharian kami di Masjidil Haram dan di tempat penginapan, tiba tarikh 8 Zulhijah. Pada tarikh itu, selepas Zohor kami dijadualkan bertolak ke Arafah.



Dalam bilik penginapan, aku dan rakan2 sebilik lain tidak banyak bersuara. Kami semua bersiap dan berkumpul di lobi untuk menunggu giliran menaiki bas yang telah ditetapkan. Jalan ke Arafah penuh sesak dengan pelbagai kenderaan. Dalam bas banyak pula persoalan datang berkenaan larangan dalam ihram. Memandangkan dalam bas tiada ustaz untuk bertanya, oleh itu terpaksalah aku bersms dengan sahabat - Zainal Badri di Malaysia....(sekiranya membaca posting ini...terima kasih atas bantuan).
Kami tiba di Arafah ketika masuk waktu Asar. Aku dan Anwar berpisah untuk ke khemah masing-masing.


Di Arafah aku ditempatkan di khemah yang memuatkan lebih kurang 40 jemaah. Sudah lebih dari selesa. Apatah lagi di sana bukannya masa untuk kami tidur tetapi mengambil peluang untuk melakukan ibadah dan amalan2 sunat. Ketika aku sampai khemah belum penuh lagi kerana masih ada bas yang membawa rakan sekhemah belum tiba. Selepas Mahgrib barulah khemah kami penuh dengan rakan2 lain.



Untuk makan malam, kami diberi satu pack makanan setiap seorang dan kami makan bersama di dalam khemah. Malam itu selepas Isyak, aku tidur sebentar dan bangun kembali dalam lebih kurang pukul 1.30 pagi untuk memulakan qiammullail. Tidur ku pun tidak begitu lena. Lagi pula kami ada satu malam sahaja di Arafah. Rugi rasanya kalau digunakan masa yang ada dengan tidur. Dari jauh juga kedengaran zikir-zikir dari khemah jemaah lelaki. Perasaan malam itu sangat berbeza dan aku sendiri tidak mampu menceritakan apa yang aku rasa. Tapi malam itu air mata tidak henti-henti mengalir. Dan aku berkeadaan begitu hinggalah tibanya Subuh.


Selepas sarapan pagi, aku mengambil peluang untuk tidur sebentar. Dan seperti juga malamnya tidur ku tidak begitu lena tapi cukup untuk menghilangkan rasa mengantuk. Pagi itu dihabiskan dengan membuat amalan2 sunat seperti membaca Quran dan berzikir.
Selepas Zohor, khutbah dibacakan. Di saat inilah aku melihat semua rakan sekhemahku mengalirkan air mata. Sebaik sahaja selesai khutbah dan doa, kesemua kami duduk bersendirian tidak bercakap. Semua dengan dunia sendiri.


Aku dan Anwar berjumpa selepas Asar dan kami mencari tempat untuk bersendirian. kami kembali ke khemah ketika hampir waktu Maghrib.



Kisah di Arafah merupakan pengalaman peribadi yang melibatkan banyak rasa dan tidak mampu diceritakan dengan mendalam tetapi yang pasti rasa itu akan tetap terpahat dalam diri......insyaAllah

Sunday, October 25, 2009

Kisah Haji 25

Aku dan Anwar sama-sama mengerjakan haji Tamattuk. Since kami tiba awal di Makkah kami mempunyai masa yang lama sebelum tibanya kemuncak haji. Oleh itu kami berpeluang melihat perubahan di Makkah dan juga di Masjidil Haram dari hari-hari awal jemaah mula tiba hinggalah ke hari-hari hampir dengan kemuncak haji.



Ketika kami tiba di Makkah, construction masih berjalan. Jentera-jentera berat berada di sesetengah tempat berhampiran Masjidil Haram. Keadaan berhabuk dan berdebu. Manakala di dalam masjid juga waktu antara solat kami tidak pernah sunyi. Akan kedengaran bunyi2 construction sedang dijalankan di tempat sa'ie. Memang hari-hari awal kami sangat memerlukan kesabaran yang tinggi dengan suasana bising dan berhabuk. Tapi itulah cabaran haji. Di dalam masjid juga karpet-karpet masih diletakkan di tempat solat dan penghadang tempat solat jemaah lelaki dan wanita juga masih diletakkan. Di tandas juga tidak perlu beratur panjang untuk menunaikan hajat.



Walau bagaimanapun, ketika makin hampir dengan hari wukuf, Makkah mula dipenuhi jemaah. Kerja-kerja construction di dalam dan di luar masjid juga diberhentikan. Di luar Masjidil Haram ditabur batu-batu mungkin untuk mengelakkan pasir dan debu. Dan disitu juga menjadi tempat rehat dan tempat tidur jemaah-jemaah haji dari perlbagai negara. Ia satu pemandangan baru untuk aku apabila melihat jemaah haji tidur di luar masjidil haram beralaskan kain, karpet, sejadah, tikar dan lain-lain serta berbantalkan beg pakaian mereka. Terdapat juga sebahagian kecil yang mendirikan khemah di situ. Ada yang berkumpulan, ada yang bersama keluarga. Malah terdapat juga anak-anak kecil yang tidur bersama ibu bapa mereka. Jika dilihat kebanyakan mereka mengerjakan haji ifrad. Makin dekat tibanya hari wukuf makin ramai jemaah yang berkampung di luar masjidil haram.




Di dalam masjid juga mula terdapat perubahan. Kerja-kerja construction di tempat sa'ie dihentikan oleh itu tiada lagi bunyi contsruction antara waktu solat. Karpet-karpet telah dibuka dan begitu juga kebanyakan penghadang tempat solat. Masjid kini menjadi lebih lapang tetapi jemaah yang membanjirinya kian bertambah. Cuma kurang selesa apabila melihatkan terdapat sebilangan jemaah yang solat satu saf antara jemaah lelaki dan wanita.




Selain itu apa yang menarik ialah melihat pelbagai cara jemaah untuk membezakan negara atau kumpulan masing-masing dengan pakaian mereka. Ia ketara kelihatan di kalangan jemaah wanita. Selain Malaysia yang meletakkan kain di atas telekung bertulis Malaysia dalam tulisan jawi, sesetengah jemaah memakai scarf pelbagai warna di atas telekung mereka seperti jemaah dari Indonesia. Ada juga yang memakai telekung dengan warna yang seragam seperti jemaah dari Bangladesh, Sri Langka dan pelbagai lagi.




Perjalanan kami pergi dan balik masjid juga tidak lagi selapang seperti awal ketibaan kami. Jalan-jalan dipenuhi lautan manusia. Dan kami juga antara lautan itu. Satu pengalaman yang menarik bagiku. Berada di sana dengan satu tujuan yang sama....

Thursday, October 22, 2009

Kisah Haji 24

Posting kali ini berkenaan pengalaman kami di Makkah dengan salah satu perkara penting dalam kehidupan kita iaitu makan...:). Makan dan merasa pelbagai makanan di Tanah Suci antara pengalaman yang menarik di sana pada diriku.

Selama ini aku merasakan aku memang seorang yang kuat makan walaupun aku tergolong dalam mereka yang bertubuh kecil. Tapi di Makkah aku merasakan aku menjadi lagi kuat makan dan kali ini tiada istilah makan yang tidak disukai. Since kami pergi melalui muassasah kami hanya disediakan makan tengah hari dan makan malam. Breakfast perlu dibeli sendiri samada di kedai-kedai yang ada ataupun di cafe di hotel kami yang menjual makanan malaysia.

Makanan tengah hari dan malam telah siap dipacking oleh itu sepanjang kami di sana Alhamdulillah tiada masalah jemaah yg tidak dapat makanan. Since aku dan Anwar makan tengah hari di luar oleh itu kami cuma merasa makan malam yang disediakan. Tapi ada kalanya rakan sebilik aku tolong mengambil makan tgh hari aku dan rakan sebilik lain yg tidak balik kerana ada buah yg disediakan waktu tgh hari.
Aku tidak gemarkan kari tapi di sana itu adalah lauk biasa yang disediakan. Mujurlah di sana tekakku boleh menerima apa saja lauk jadi aku tidak berhadapan dengan masalah dari segi itu.

Waktu makan tengah hari jumaat di sana adalah waktu yang ditunggu oleh rakan2 sebilikku kerana setiap hari jumaat makan tengah hari agak istimewa iaitu nasi beriani. Hari jumaat pasti makanan akan licin tidak seperti hari-hari lain. Tapi untuk aku, hari jumaat atau hari lain makanan pasti licin seperti kata rakan sebilliku tak padan dengan aku yang kecil.
Dalam bilik kami, rakan sebilik kami sudah mengetahui aku dan kak Su kuat makan sebab itulah kadang2 mereka tolong mengambil makan tengah hari kami untuk di makan sekali dengan makan malam. Ada masanya aku dan kak Su boleh makan 2 pack makanan pada satu masa.

Sewaktu di Mina, kebanyakan jemaah dalam khemah kami melakukan nafar awal oleh itu apabila hari terakhir, jemaah dalam khemah amat berkurangan. Makanan banyak berlebihan ketika itu. Waktu itu aku dan Kak Su melakukan nafar thani jadi kami berdua masih berada di Mina ketika ramai rakan sekhemah kami telah meninggalkan Mina. Kak Su menghabiskan 2 pack nasi lemak untuk breakfast ketika itu....tapi sambal nasi lemak di Mina memang menyelerakan....:)

Bila difikirkan kembali, sewaktu di Tanah Suci memang kami perlu makan secukupnya kerana tenaga yang digunakan tidak kurang banyaknya. Berjalan kaki pergi dan balik masjid, tawaf sunat dan segala pergerakan lain yang menggunakan tenaga sudah pasti jumlah makanan yang perlu diambil juga perlu mencukupi. Malah walaupun makan dengan jumlah yang agak banyak di sana, badan tidak terasa berat atau malas kerana kami banyak bergerak dan mengeluarkan peluh.




Lagi pula melihat jemaah dari sana (orang Arab) makan, kami sendiri terkejut. Bayangkan kalau di Malaysia, makanan itu boleh dikongsi lebih kurang 8 - 10orang tapi mereka 4 orang sahaja sudah mampu menghabiskannya. Dan menariknya cara mereka makan seperti makan dalam dulang di mana mereka hamparkan plastik menutupi seluruh meja, ayam atau daging diletak di tengah2 dan nasi di sekelilingnya dan mereka makan berjemaah secara berjemaah. Yang pasti makanan itu pasti habis walaupun aku sendiri gerun melihat timbunan makanan mereka.

Apabila kembali ke Malaysia, aku ditegur kerana agak kurus berbanding sebelum berangkat menunaikan haji......kiranya makanan yang diambil memang berpatutan dengan jumlah tenaga yang digunakan...:)


Tuesday, October 20, 2009

Kisah Haji 23

Menyambut hari lahir ke 28....


Salah satu peristiwa yang tidak aku lupakan sepanjang mengerjakan haji ialah ketika menyambut hari lahir ku yang ke 28 pada 11 November 2008 di bumi Makkah. Ketika itu lebih kurang 3 minggu lagi sebelum hari wukuf.


Sambutan hari lahir untuk tahun itu pastinya sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Tahun itu aku menyambutnya di Masjidil Haram. Bermula seawal pagi untuk tawaf sunat, dan qiamullail di Masjidil Haram. Juga solat di Hijir Ismail, berdoa di Multazam dan solat di Maqam Ibrahim. Tiada sambutan yang seistimewa seperti itu. Seakan-akan sepanjang masa di Masjidil Haram ketika itu aku diberi layanan yang sangat istimewa dan dipermudahkan segala urusan. Tawaf yang lancar, tidak perlu bersesak untuk solat di Hijir ismail dan Maqam Ibrahim dan tidak lupa juga dapat berdoa di Multazam. Ya...cuma aku tidak berkesempatan untuk mencium hajarul aswad. Tapi Anwar berpeluang melakukannya pada pagi 11 November itu.


Sambutan hari lahir ini juga tiada makan-makan istimewa seperti tahun sebelumnya. Ketika itu breakfast kami seperti hari-hari yang lain. Makan tengah hari seperti biasa, nasi mandi kegemaran kami yang kami kongsi berdua. Makan malam juga seperti hari-hari yang lain, makanan bungkus yang disediakan oleh pihak muassasah.


Rutin kami pada hari itu juga tidak berubah seperti hari-hari lain kami di Makkah. Semuanya berjalan seperti biasa. Walaupun sama tetapi aku tetap merasakan sambutan hari lahir ini adalah yang paling istimewa dalam hidupku. Tidak perlu hadiah yang mahal....menyambutnya di bumi yang penuh keberkatan ini sudah cukup memberikan makna yang berlainan...



Kisah Haji 22

Jemaah sesat

Peristiwa tersesat atau berjumpa dengan jemaah sesat ialah cerita yang sentiasa diceritakan oleh mereka yang pernah ke Makkah dan Madinah. Sesat di Masjidil Haram juga antara cerita yang biasa kedengaran.

Kami juga pernah beberapa kali berjumpa dengan jemaah yang sesat di Masjidil Haram. Kebanyakannya mereka lupa pintu keluar, oleh itu mereka berpusing-pusing di Masjidil Haram untuk mencari pintu. Ada kalanya mereka lupa nombor pintu keluar mengakibatkan keluar di pintu yang salah dan sesat pula di dataran masjid.
Pada hari-hari terawal aku di Makkah aku pernah terserempak dengan dua orang jemaah Malaysia yang tidak berjumpa dengan pintu keluar mereka. Mereka juga datang secara muassasah seperti aku tetapi kami berlainan hotel. Kedua mereka lupa nombor pintu mereka dan info yang ada hanyalah nama hotel (yang pastinya aku sendiri tidak tahu di mana) dan mereka biasa keluar di pintu di mana di luarnya terdapat banyak burung merpati. Dengan info yang general seperti itu aku tidak dapat membantu tambahan pula aku sendiri belum familiar dengan keadaan di sana. Oleh itu apa yang aku dapat bantu ialah membawa mereka berjumpa jemaah Malaysia lain yang boleh membantu. Alhamdulillah Allah permudahkan kami berjumpa dengan seorang jemaah Malaysia yang mengetahui pintu yang sepatutnya mereka keluar.

Kisah itu hanyalah sedikit sahaja pengalaman aku berkenaan kisah jemaah sesat tetapi aku berkesempatan berjumpa dengan seorang jemaah wanita Malaysia yang sentiasa berjumpa dengan jemaah Malaysia yang bukan sahaja sesat malah seolah-olah hilang ingatan samada di Masjidil Haram ataupun di luar masjid. Mungkin beliau diuji dengan cabaran membantu jemaah sesat dan pastinya ada sebab di sebalik semua yang berlaku. Beliau juga mengakui hakikat itu dan sedaya upaya membantu mana2 jemaah yang memerlukan bantuan.

Di Mina juga kisah jemaah sesat ini juga perkara biasa. Ini disebabkan khemah2 di sana semuanya sama dan kebanyakannya jemaah tidak berjumpa khemah mereka yang sebenar apabila keluar khemah. Ada sesetengah jemaah di dalam khemah aku di Mina langsung tidak berani keluar khemah untuk mendapatkan air atau apa sahaja kerana bimbang sesat. Beliau hanya berulang alik dari khemah ke tandas sahaja. Pihak Tabung Haji sebenarnya menyediakan gelang untuk dipakai oleh semua jemaah di Mina yang telah tertulis nombor khemah masing2 oleh itu sekiranya ada yang sesat memudahkan pihak Tabung Haji atau jemaah lain membantu mencari khemah mereka. Tetapi ada juga jemaah yang tidak memakai gelang ini oleh itu sekiranya terjumpa mana2 jemaah yang sesat apa yang boleh dibantu hanyalah menghantar mereka ke khemah Tabung Haji.

Walau apapun itu adalah antara cabaran yang mungkin dihadapi di sana. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya dan hanya Allah yang Maha Mengetahui...

Thursday, October 8, 2009

Kisah Haji 21

Kak Sunarti
Salah seorang teman sebilik aku di Mekah dan Madinah ialah Kak Sunarti. Apa yang membuatkan aku kagum dengannya ialah kegigihan beliau beribadat sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Beliau tidak pernah melepaskan solat berjemaah di masjid . Banyak masanya dihabiskan di masjid berbanding di hotel. Malah di dalam bilik kami beliau antara yang terawal pergi ke masjid.

Kak Sunarti yang aku panggil kak Su bekerja sebagai seorang cleaner dan mempunyai 3 orang anak yang berusia dalam linkungan 20 -25 tahun. Beliau menunaikan haji bersama suami beliau yang bekerja sendiri. Keazaman beliau untuk menjejakkan kaki ke bumi Mekah dan Madinah cukup kuat dan tahun itu dalam usia yang belum mencapai 50 tahun beliau berjaya menunaikan hasratnya.

Aku kagum dengannya yang gigih bekerja mengumpul duit untuk menunaikan haji. Katanya setiap hari beliau akan menaiki bas sesudah subuh untuk ke tempat kerjanya. Kalau diikutkan gaji yang diterima tidaklah seberapa tetapi dengan gaji itulah beliau berjimat untuk mengumpul wang secukupnya. Ada juga pernah bertanya padanya kenapa bekerja juga dengan gaji yang kecil dan bersusah menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Jawab beliau jika tak bekerja mana beliau nak cari duit untuk menunaikan haji.

Sepanjang masa di Madinah dan Mekah beliau gunakan sebaik2nya. Jarak jauh bukan penghalang untuk berjalan kaki setiap hari ke Masjidil Haram. Pernah satu ketika beliau berada di Masjidil Haram dari Zohor hinggalah Subuh.

Jika difikirkan balik ramai orang yang jauh lebih berkemampuan dari Kak Su, tetapi tiada keinginan untuk menunaikan haji. Malah ada juga yang pergi tetapi pergi seolah-olah seperti bercuti. Aku harapkan kisah kak Su ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada yang lain untuk menunaikan haji.

Di sana pangkat dan wang tidak penting dan semua kita adalah sama. …

Kisah Haji 20

Berbeza dengan Madinah suasana di Makkah agak ‘sibuk’ . Rutin kami di Makkah dimulakan dengan Qiamullail di Masjidil Haram dalam lebih kurang jam 3.00 pagi dan solat Subuh di sana. Dalam pukul 7.00 – 7.30 pagi kami berdua akan berjumpa kembali dan mencari makanan untuk breakfast. Kami biasanya makan bersama di hotel. Selepas kembali ke bilik untuk berehat , mandi, membasuh baju dll kami akan berangkat kembali ke Masjidil Haram lebih kurang 2 jam sebelum Zohor. Walaupun makanan tengah hari disediakan oleh pihak Muassasah tapi aku dan Anwar biasanya makan tgh hari di kedai-sekitar Masjidil Haram selepas Zohor kerana kami berdua setuju untuk tidak kembali ke hotel selepas Zohor. Makanan tengah hari kegemaran kami di sana ialah Nasi Mandi. Since di sana makanan untuk seorang lebih dari mengenyangkan kami berdua biasanya berkongsi makanan tengah hari yg dibeli. Itu pun sudah cukup membuatkan kami kenyang sehingga malam. Kami hanya balik ke hotel selepas Isyak oleh itu waktu siang kami sehingga Isyak dihabiskan di Masjidil Haram.

Walau bagaimanapun seminggu sebelum hari Wukuf, rutin kami ini berubah kerana jemaah yang makin ramai menyebabkan kebanyakan kedai makan sesak. Oleh itu kami mengambil keputusan untuk kembali ke hotel selepas Zohor untuk makan tgh hari yang disediakan. Selepas itu kembali semula ke Masjidil Haram untuk solat Asar, Maghrib dan Isyak.

Tempat perjumpaan aku dan Anwar juga tidak tetap. Biasanya kami akan berjumpa kembali di tempat kasut yang bernombor. Since kami berdua sahaja, oleh itu kami akan sentiasa berubah tempat sepanjang kami di Masjidil Haram. Oleh itu rak yang menempatkan kasut kami akan menjadi tempat untuk kami berjumpa kembali.

Bila dikenang kembali rindunya menghabiskan masa di Masjidil Haram. Tiadak terasa langsung masa berlalu sehingga Isyak. Antara waktu solat dihabiskan dengan membaca Quran, menunaikan solat2 sunat dan juga berkenalan dengan jemaah haji dari Malaysia dan juga negara lain. Terasa kuatnya ikatan silaturrahim di sana. Bahasa bukan penghalang untuk berbual. Senyuman juga sudah cukup untuk merapatkan ukhwah sesama jemaah.

Alhamdulillah selama kami di bumi Makkah, kami berdua diberikan olehNya kesihatan yang baik. Walaupun construction di sana sini dan keadaan agak berdebu dan berhabuk ditambah pula dengan jarak hotel dan masjid yang agak jauh, kami diberi kekuatan untuk menjalankan ibadat di sana. Malah jika difikir2kan, perjalanan setiap hari kami ke masjid menjadi seperti satu bentuk exercise kepada kami. Berpadanan dengan jumlah makanan yang kami ambil disana. Disamping itu perjalanan kami setiap hari pergi dan balik dari masjid memberi peluang untuk aku dan Anwar berdua. Kalau di Malaysia, dengan dua hero yg lasak, masa untuk kami berdua memang sangat terhad.

Kisah Haji 19

Pagi itu kumpulan kami berkumpul di lobi hotel untuk memulakan tawaf. Perjalanan kami ke Masjidil Haram dalam kumpulan besar. Sepanjang perjalanan kami menempuh kedai-kedai yang berderetan dan juga perlu melintas jalan besar. Makin dekat ke Masjidil Haram, kami dapati banyak bangunan-bangunan telah dirobohkan dan keadaan agak berhabuk dan berdebu. Construction banyak berjalan di sekeliling Masjidil Haram.

Kami dibawa masuk melalui Bukit Marwah. Memandangkan kawasan Sai’e juga masih dalam proses pengubahsuaian, keadaan di Bukit Marwah juga agak berdebu dan berhabuk. Tetapi itulah cabaran haji kami untuk tahun itu. Kumpulan kami terus dibawa untuk melakukan tawaf manakala aku dan Anwar berpecah dari mereka dan mencari toilet. Selesai semua urusan kami menuju ke dataran Kaabah.

Dan disinilah air mata pertama menitis di bumi Makkah ketika melihat Kaabah. Segala perasaan yang tidak dapat digambarkan datang. Ketika itu jemaah masih belum ramai yang datang oleh itu dataran Kaabah juga tidak sesak. Walau bagaimanapun aku dan Anwar berjanji sekiranya kami terpisah kami akan berjumpa kembali di Safa untuk melakukan Sai’e. Kami memulakan tawaf mulanya bersama-sama. Tetapi dalam sekelip mata kami terus terpisah. Bukan kerana jemaah yang ramai tetapi terpisah begitu sahaja. Since kami berdua sudah berjanji supaya jgn mencari jika terpisah jadi aku melakukan tawaf sendirian. Bila difikirkan kembali memang ada hikmah disebalik kami terpisah dengan kumpulan kami dan juga terpisah antara satu sama lain ketika tawaf. Dengan itu kami dapat menghayati tawaf pertama kami dengan lebih mendalam dan dapat lagi fokus pada ibadat yang dilakukan.

Pengalaman tawaf pertama tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Syukur pada Allah kerana memberi pada kami kemudahan dan kelapangan. Jemaah juga tidak ramai dan kami berpeluang untuk bertawaf sedekat yg boleh dengan Kaabah, solat di belakang Maqam Ibrahim dan berdoa di hadapan Multazam.
Selepas itu aku menuju ke arah Safa dan menunggu Anwar di situ untuk melakukan Sai’e. Untuk Sai’e kami melakukannya bersama-sama sehinggalah kami menyelesaikan Sai’e kami dan diikuti bergunting….dan selesailah umrah kami.

Selepas itu kami berdua keluar dari Masjidil Haram mencari kedai makan. Ketika itu masih ada 2 jam sebelum Zohor. Kami mengambil keputusan untuk kembali ke hotel selepas Zohor. Oleh itu selesai makan di kedai yang berdekatan kami kembali ke Masjidil Haram. Aku dan Anwar berpisah dan kami mencari tempat masing-masing di dalam masjid dan akan berjumpa kembali selepas Zohor untuk balik ke hotel bersama-sama.
Zohor itu adalah solat berjemaah pertama kami di Masjidil Haram….
Selepas Zohor aku bertemu kembali dengan Anwar dengan wajah baru tanpa rambut..

Sunday, July 5, 2009

Kisah Haji 18



Kisah di Mekah

Selepas lebih kurang 8 hari di Madinah kini bermulalah kisah kami di Mekah. Perjalanan kami semakin hampir ke kemuncak.

Di Mekah kami ditempatkan di Hotel Al-Janadriyah. Bukan sahaja KT02 ditempatkan di sini tetapi juga beberapa KT lain. Hotel kami ini merupakan Head Quarters Tabung Haji di Mekah jadi banyak kemudahan tersedia di sini. Khidmat dobi, kaunter pengeluaran wang, kafe semuanya tersedia di lobi hotel ini. Jarak hotel ini dengan Masjidil Haram lebih kurang 750m tetapi jika dikira perjalanan yang sebenarnya aku anggarkan lebih kurang 1km untuk tiba di pintu masuk Masjidil Haram yang biasa kami lalui.
Itu aku kira memang tidak mengejutkan kami kerana awal-awal lagi kami telah diberitahu bahawa kawasan sekitar Masjidil Haram dalam construction oleh itu banyak hotel2 yang dekat telah dirobohkan. 750m dikira masih dekat berbanding dengan jemaah negara lain di mana ada di antara mereka menginap 4 km dari masjid.

Dalam bilik aku terdapat 6 jemaah lain bermakna kami 7 orang sebilik manakala Anwar 6 orang sebilik. Bilik aku dan Anwar tidak jauh hanya selang beberapa buah bilik.
Aku masih sebilik dengan kak Hasmah dan Kak Sunarti yang sebilik dengan aku ketika di Madinah. Rakan yang lain adalah kak Norain (makcik), kak Nuraini (kak Nor), kak Rawiah dan kak Bandiah (kak Ban). Keempat-empat mereka merupakan orang Klang.
Kesemua rakan sebilik aku kesemuanya telah berusia 40 tahun ke atas dan tiga dari mereka telah bercucu. Hanya tiga org sahaja yang bekerja termasuk aku iaitu kak Ban dan kak Su.
Pada aku bilik kami boleh dikatakan selesa dan luas. Aku tiada masalah dengan arrangement ini. Dengan satu katil untuk setiap seorang dan bilik air yang dikongsi 7 orang pada aku sudah lebih dari selesa. Lagi pula keluasan bilik kami menyebabkan kami tidak perlu terlalu berhimpit2.

Alhamdulillah aku pasti perancangan Allah adalah yang terbaik....

Kisah Haji 17

Hari terakhir di Madinah. Hari Sabtu, selepas Asar kami dijadualkan bertolak ke Mekah. Jadual dan no bas ditampal di papan kenyataan. Hati berdebar, takut, sayu untuk memulakan satu lagi perjalanan yang lebih besar. Sedih untuk meninggalkan bumi Madinah, tapi tak sabar untuk menjejakkan kaki di bumi Mekah.

Beg-beg kami dipacking pada pagi Sabtu dan diletakkan di tempat yang ditetapkan. Aku dan rakan sebilik tidak banyak bercakap hari itu. Pasti masing-masing sedang mengumpul pelbagai rasa di dalam hati. Aku dan Anwar tetap melaksanakan ruti seharian kami di Madinah seperti biasa. Memandangkan kami akan bertolak selepas Asar, aku dan Anwar membuat keputusan untuk solat Asar berjemaah di masjid. Rasanya tiada sebab untuk kami tidak meneruskan rutin ini kerana masjid dan tempat penginapan tidak jauh. Oleh itu selepas selesai mandi sunat ihram dan memakai pakaian ihram kami ke masjid untuk solat Asar di sana.

Tiba di masjid, hati mula jadi sayu tidak tahu bila lagi kami akan sampai di Masjid Nabawi dan bumi Madinah ini. Selesai solat, dalam perjalanan keluar dari masjid, aku dipeluk oleh beberapa jemaah Turki. Mungkin mereka mengerti apa yang aku rasa tapi aku terharu dengan jalinan silaturrahim yang ditunjukkan mereka. Di sana semua jemaah adalah sama tiada perbezaan darjat, bangsa dan keturunan.

Selesai solat Asar, aku dan Anwar terus bergegas menaiki bas yang disediakan. Alhamdulillah segala-galanya bergerak lancar. Apabila semua jemaah KT02 telah menaiki bas-bas yang disediakan, satu demi satu bas bergerak dari tempat penginapan kami, Hotel Movenpick Anwar Al-Madinah...

Semoga kami diberi kesempatan untuk kembali....insyaAllah
Kami tiba di Bir Ali selepas Maghrib. Semua jemaah turun dan solat serta berniat di sana. Selesai segala urusan kami kembali ke bas yang sedia menunggu. Satu demi satu bas bertolak meninggalkan Bir Ali dan menuju ke Mekah.

Tapi bas kami masih tidak bergerak. Rupa-rupanya masih ada sepasang suami isteri yang belum menaiki bas. Agak lama kami menunggu. Jemaah di dalam bas juga sudah ada yang bercakap2. Tidak tahu apa yang berlaku. Semua bas-bas bagi KT02 telah bergerak dan hanya bas kami masih menunggu jemaah yang belum tiba. Petugas Tabung Haji juga sudah mula memulakan pencarian kedua-dua jemaah tersebut. Risau pun ada memikirkan apa sebenarnya yang terjadi.

Akhirnya kedua-dua mereka tiba juga di bas. Kami tidak tahu apa yang membuatkan mereka lambat tetapi apa-apapun syukur kerana tiada apa-apa perkara yang tidak elok berlaku.

Bas bergerak meninggalkan Bir Ali. Talbiah berkumandang di dalam bas....tetapi tidak lama...selepas itu masing-masing mula melelapkan mata……

Kisah Haji 16

Beberapa hari di Madinah, kami berdua mula menyesuaikan diri dengan rutin harian kami. Hati rasa tenang di sana. Segala urusan di Malaysia tidak difikirkan. Walaupun kadang-kadang terfikir akan keadaan anak-anak, tapi hal2 begitu tidak menganggu rutin seharian kami di Madinah. Apatah lagi selepas 8 hari di Madinah kami akan berangkat ke Mekah. Di sana cabaran lagi besar menunggu kami. Aku sebenarnya merasa beruntung dapat mengikut penerbangan awal. Di Madinah masih belum penuh dengan jemaah haji dan kami dapat beribadat dengan selesa dan aman. Walaupun pada hari-hari terakhir kami di Madinah, jemaah mula membanjiri, tapi sekurang-kurangnya kami dapat merasa suasana ketika jemaah masih sedikit.
Lagi pula perjalanan haji kami masih jauh jadi kami dapat menguatkan hati agar tidak lalai dan leka sehingga mengabaikan ibadah kami. Lagi pula jika nak difikirkan adalah amat merugikan kepada jemaah haji yang tidak berjemaah di masjid apatah lagi dalam keadaan di mana tempat penginapan yang dekat dengan masjid, cuaca yang nyaman, dan keadaan fizikal yang masih sihat, tiada alasan sebenarnya untuk mengelak dari berjemaah di masjid.

Seronok rasanya dengan rutin seharian kami. Bangun pagi untuk berqiamullail dan seterusnya solat subuh berjemaah. Selepas itu menunggu Anwar di tempat yang dijanjikan...mencari breakfast untuk hari itu. Breakfast favourite aku adalah kebab dan Anwar dia mencuba apa sahaja. Waktu breakfast sahaja masa untuk kami mencuba makanan di sana kerana lunch dan dinner disediakan oleh pihak muassasah. Dan biasanya setiap waktu brekfast, lunch dan dinner, makanan kami pasti licin. Di sana semua makanan dirasakan begitu nikmat.

Alahai...rindunya waktu di Madinah....dan makanannya sekali (jgnla baby dlm perut ni mengidam pulak)

7 Julai 2009

Hari ini seperti biasa dlm perjalanan ke ofis kami mendengar radio IKIM. Rupa-rupanya hari ini adalah ulang tahun ke-8 ikim.fm dan topic bicara pagi hari ini berkisar kenangan indah pendengar dengan ikim. Rata2 pendengar yang menghantar SMS atau membuat panggilan menceritakan kenangan indah mereka bersama ikim.fm.
Bila mendengar pengalaman mereka, terfikir juga saya sendiri ada kenangan indah dengan ikim.fm. Saya pun dah lupa bila masanya mula mendengar ikim.fm tapi yang pasti radio ikim ini lebih membuka minda dan menambah pengetahuan.
Kenangan indah saya bersama ikim.fm bermula pada tahun lepas, 2008 setiap pagi hari Rabu. Kenapa? Kerana pada jam lebih kurang 7.30 pagi – 7.50 pagi akan diadakan siri manasik haji. Di sinilah saya dan suami berkursus haji untuk bekalan kami menunaikan haji pada tahun itu.

Mungkin pada yang telah mengikuti kursus haji di masjid2, siri manasik haji di ikim.fm ini tidak seberapa tapi pada kami berdua yang tidak mengikuti kursus haji bersiri di masjid, siri manasik haji ini membantu kami memahami ibadah haji dan umrah. Oleh itu setiap pagi Rabu, kami cuba sedaya upaya agar dapat mengikuti siri manasik haji sehinggalah tarikh-tarikh akhir keberangkatan kami ke Tanah Suci.

Bercakap soal haji, kisah haji kami telah beberapa bulan tidak disambung. Saya tidak bercadang untuk menghentikan kisah itu tapi mencari masa untuk mendapatkan mood menulis. InsyaAllah akan diusahakan juga agar kisah haji kami dapat disiapkan.
Susah juga untuk menjadi penulis ini. Ini pun baru tulis di blog sendiri kalau menulis buku tak tahulah macam mana. Respect betul kepada penulis-penulis buku yang dapat mengekalkan semangat menulis mereka.

Sehingga berjumpa lagi.

P/s: since posting ini adalah posting biasa, kata ganti yg digunakan ialah saya. Tapi kalau berkenaan kisah haji, kata ganti aku digunakan…ia lebih personal pada saya.

Thursday, January 29, 2009

Kisah Haji 15

Seorang makcik dan sepasang kasut...



Selepas beberapa hari di Madinah kami telah membiasakan diri dengan rutin seharian. Peristiwa ini berlaku kalau tidak silap ketika hari ketiga kami di Madinah. Seperti biasa pagi selepas Subuh, aku dan Anwar akan menunggu dhuha sebelum sarapan pagi. Jadi pada hari itu seperti biasa aku duduk di masjid selepas Subuh dan menunggu solat dhuha dengan membaca al-quran. Ketika itu masjid sudah lengang dan tidak ramai jemaah yang ada. Petugas masjid juga sudah mula menjalankan tugas mereka membersihkan masjid.



Aku duduk berseorangan membaca al-quran ketika tiba2 seorang makcik menegur aku. Beliau jemaah Malaysia...berusia dalam lingkungan 50 - 60 tahun. Beliau bertanya arah ke toilet. Dan aku memaklumkan sahaja kepada makcik itu arah dan pintu mana yang patut beliau pergi untuk ke toilet. Selepas itu makcik itu bertanya samada aku ingin ke Raudhah pada pagi ini. Terus aku menjawab tidak. Lagipun aku memang tidak terfikir untuk ke sana pagi itu ditambah lagi aku sudah berjanji dengan Anwar untuk berjumpa sebaik sahaja selepas selesai solat dhuha. Makcik itu memberitahu aku dia sudah ke Raudhah kali pertama waktu dibawa ustazah untuk ziarah dalam dan sekarang beliau teringin untuk pergi kali kedua....beliau juga memaklumkan aku beliau berdoa sepenuh hati agar dipermudahkan untuk ke Raudhah kali ini walaupun berseorangan. Aku dapat merasakan begitu kuat hasrat hatinya untuk ke Raudhah.



Aku pada masa itu aku tidak ada reaksi apa2...dan membiarkan sahaja makcik itu berlalu mencari kasut beliau. Tidak lama aku perasan makcik itu masih merayau2 di masjid dan meninjau2 tempat2 kasut yang berdekatan kami. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku lantas bertanyakan makcik itu jika aku boleh membantu.Rupa2nya makcik tidak jumpa kasutnya. Puas kami berdua mencari tapi tetap tidak bertemu.


Akhirnya aku menawarkan makcik menggunakan kasut aku ke tandas. Beliau bersetuju dan kami sama2 keluar dari masjid. Aku menunjukkan arah toilet kepada makcik dan memberitahu beliau bahawa aku akan menunggu di pintu ini. Ketika menunggu itulah terdetik dalam hati aku untuk membantu membawa makcik ke Raudhah. Lagipun aku tak pasti samada beliau masih ingat pintu masuk untuk jemaah wanita ke Raudah. Waktu itu lebih kurang 30 minit lagi sebelum masa aku berjanji untuk berjumpa Anwar. Aku berdoa agar dipermudahkan. Waktu itu aku sendiri dapat merasakan hasrat hati yang amat kuat untuk ke Raudhah sedangkan sebelum itu tidak terlintas untuk aku pergi ke sana lagi pada pagi itu.



Sebaik sahaja makcik kembali aku memberitahu agar beliau memakai kasut aku dan aku akan bawa beliau ke Raudhah. Tapi makcik rupanya masih tidak puas hati. Dia meminta aku menunggu sebentar dan beliau masuk kembali ke masjid untuk mencari kasutnya. Tidak lama kemudian beliau muncul dengan kasut di tangan....kehendak Allah...dalam masa yang sekejap itu makcik bertemu dengan kasutnya sedangkan sebelum ini kami berdua mencari tidak juga bertemu.


Kami berdua berjalan ke arah pintu untuk jemaah wanita masuk ke Raudhah. Aku sempat berkenalan dengan beliau tapi aku tak terlintas untuk bertanya nama beliau. Yang aku tahu beliau seorang guru agama di Kedah dan ini merupakan kali kedua beliau menunaikan haji. Apabila sampai kami terus mengikut laluan yang ada. Rupanya kami sampai tepat ketika pintu masuk baru dibuka. Waktu itu ramai jemaah yang menyerbu ke pintu masuk...kebanyakannya jemaah dari India, Pakistan dan Sri Langka. Kami masuk dalam kelompok mereka. Waktu itu aku merasakan tolak menolak berlaku. Risau juga memandangkan secara fizikal kami berdua agak lemah dibandingkan mereka. Tapi aku ingat waktu itu makcik memegang kemas tangan aku dan kami dapat masuk tanpa masalah...alhamdulillah.



Terus sahaja kami berjalan mengikut jemaah yang lain ke Raudhah ....memandangkan kami first group jadi kami tidak perlu berhenti di banyak tempat seperti sebelum ini. Perjalanan kami terus sahaja sehinggalah sampai di kawasan belakang Raudhah. Di sini kami diminta duduk dan menunggu sehingga Raudhah dibuka untuk jemaah wanita. Aku meletak kasut kami berdua di sini dan berpesan pada makcik andaikata kami tidak berjumpa selepas ini untuk mencari kasutnya di situ. Tidak lama menunggu petugas membenarkan kami masuk (kami first group jemaah wanita hari itu).......sebelum ke depan aku bersalam dan berpeluk dengan makcik itu...aku masih ingat kata2nya mengucapkan terima kasih pada aku ...kuat pelukannya sebelum dilepaskan dan kami terus menuju destinasi kami ...Raudhah.



Waktu itu masa lebih kurang 5 minit lagi untuk aku berjumpa dengan Anwar. Jadi aku solat di sana , berdoa dan terus melangkah keluar. Tetapi aku lupa untuk mengambil kasut di belakang dan aku keluar menuju laluan yang diperuntukkan untuk keluar. Sebenarnya jalan itu jalan yang betul tapi memandangkan kasut aku di arah lain dan laluan keluar ditutup aku tiada cara untuk mengambil kasut aku. Oleh itu apa yang aku buat aku hanya mengikut sahaja laluan keluar itu sehinggalah sampai di tempat kami masuk. Dan aku masuk kembali ke arah jalan ke Raudhah kali ini untuk mengambil kasut.


Seingat aku sepanjang perjalanan itu beberapa kali aku diberhentikan oleh petugas kerana waktu itu jemaah sudah ramai dan petugas telah membuat beberapa perhentian untuk jemaah. Aku sepatutnya mengikut arahan mereka dan duduk di perhentian2 yang di arahkan. Tetapi memandangkan aku sudah lewat dan aku tidak mahu Anwar menunggu2 aku di luar masjid oleh itu apabila petugas masjid minta aku berhenti aku terus memberitahu pada mereka...."i want to take my shoes. Pray already at Raudhah".....inilah statement yang aku ulang setiap kali ditahan....dan Alhamdulillah perjalanan aku juga mudah...mereka membenarkan aku untuk ke depan tanpa perlu berhenti seperti jemaah lain.


Aku tiba di tempat kasut dan mengambil kasut aku. Kasut makcik masih di situ. Raudhah hanya beberapa langkah sahaja...tapi aku tidak ke Raudhah...tambahan pula aku maklumkan pada petugas2 yang menahan aku bahawa aku hanya mahu mengambil kasut...aku tidak mahu menghilangkan kepercayaan mereka walaupun mereka mungkin tidak tahu...dan aku tidak mahu menipu dan memungkiri janji

oleh itu walaupun peluang untuk ke Raudhah ada di depan mata ketika itu aku hanya terus melangkah ke arah laluan keluar.



Aku berjumpa Anwar lebih kurang 15 minit selepas itu.....



Beberapa perkara yang aku pelajari:

1) Allah permudahkan kami ke Raudhah mungkin kerana berkat doa makcik

2) Allah bukakan hati aku untuk membantu makcik dan untuk ke Raudhah dengan peristiwa sepasang kasut

3) Allah mengingatkan aku pentingnya mengotakan janji dengan peristiwa sepasang kasut


SubhanaAllah....Perancangan Allah tiada siapa dapat menduga.



Thursday, January 15, 2009

Kisah Haji 14

Ziarah luar

Hari ketiga kami di Madinah kumpulan KT02 dijadualkan untuk ziarah luar. Antara tempat yang akan kami lawati ialah Masjid Quba', Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, Masjid Tujuh dan kebun kurma.

Pukul 7.00 pagi kami berkumpul di lobi hotel dan menaiki bas. Bas kami diiringi oleh Muiz, student Malaysia di Madinah untuk membantu kami sepanjang ziarah. Sepanjang perjalanan juga beliau akan menerangkan setiap tempat yang kami lawati dan kisah2 yang berkaitan dengannya. Kami beruntung mendapat Muiz. Beliau memang seorang pencerita yang baik dan setiap kata2nya menyentuh hati.

Destinasi pertama kami ialah masjid Quba'. Masjid pertama yang dibina oleh kaum muslimin. Kami diberi masa 15 minit di sini untuk solat dan urusan2 yang lain. Dari masjid Quba' kami ke masjid Qiblatain pula. Dimasjid inilah Rasulullah telah mengubah arah kiblat dari Msjidil Aqsa ke Baitullah setelah menerima perintah dari Allah.
Selepas itu bas kami bergerak pula ke Jabal Uhud. tempat berlangsungnya perang uhud iaitu peperangan kedua selepas perang badar diantara kaum muslimin dan kaum quraisy. Ketika perjalanan ke situ Muiz bercerita tentang peristiwa ketika peperangan tersebut. Antara lain beliau menceritakan berkenaan kisah kesyahidan sahabat iaitu Mus'ab in Umair dan Saidina Hamzah. Ketika ini air mata mengalir tanpa disedari. Sedih mendengarkan kisah mereka berjuang mempertahankan Islam sehingga syahid. Mengingati diri sendiri betapa lemah dan kerdilnya kita dibandingkan dengan mereka.

Dari situ kami bergerak pula ke Masjid Tujuh. Masjid tujuh ini ada kaitan dengan perang khandaq atau juga dikenali sebagai perang ahzab. Ketika perang inilah kaum muslimin di Madinah menghadapi cabaran yang sangat hebat. Mereka bukan sahaja berdepan dengan kaum musyrikin tetapi juga dengan kaum yahudi yang belot....memang sudah termaktub bangsa yahudi adalah bangsa yang tidak boleh dipercayai.

Selepas masjid Tujuh destinasi kami seterusnya ialah kebun kurma. Di sini ramai jemaah mengambil peluang membeli kurma, kismis, coklat dan segala macam buah di sana. Aku dan Anwar....kami hanya melihat2 sahaja...tetapi tiada apa yang kami beli disana. Kenapa?...kerana kami langsung tiada perasaan untuk membeli barang....boleh dikatakan dalam bas hanya kami berdua sahaja yang balik dengan tangan kosong.

Apa yang menariknya sepanjang ziarah luar ini ialah kedatangan penjual2 ubat yang menaiki setiap bas. Aku ada perasan seorang penjual ini yang menaiki bas kami....di masjid Quba' dia menaiki bas kami menjual hati unta....ketika di kebun kurma....dia juga muncul kembali...kali ini menjual ubat mandul!

Kisah Haji 13

Ziarah Dalam


Hari kedua di Madinah, group kami, KT02 dijadualkan untuk ziarah dalam...di masjid Nabawi dan sekitarnya ie perkuburan baqi

Pukul 7.00 pagi kami telah diminta berkumpul di hadapan hotel untuk dibawah menziarah. Kami diasingkan antara jemaah lelaki dan wanita. Aku waktu itu bersama dengan 2 lagi teman sebilik iaitu Kak Norihan dan Kak Hasmah.

Apa yang paling kami tunggu semasa ziarah dalam ini ialah kesempatan untuk ke Raudhah. Untuk jemaah wanita waktu ke Raudhah dari jam 7.00 pagi hingga 11.00 pagi. Tapi sebelum ke Raudhah kami dibawa ke bahagian depan Maqam Nabi...ada kubah hijau di situ. Di sini bagi jemaah wanita yang uzur boleh menyampaikan salam kepada Rasulullah, Abu Bakar & Umar di situ sahaja. Berkali2 ustazah berpesan jangan berdoa mengadap maqam.
Selepas itu kami dibawa ke perkuburan baqi. Walau bagaimanapun jemaah wanita tak dibenarkan masuk jadi ustazah hanya meminta kami menyampaikan salam setakat di luar perkuburan sahaja.


Selepas itu barulah kami dibawa ke Raudhah. Kami diminta berkumpul dahulu di luar pintu masuk sehinggalah diberi kebenaran untuk masuk. Ustazah berkali2 mengingatkan kami agar jangan berebut dan ikut sahaja arahan yang diberi oleh petugas masjid. Jika kami disuruh duduk kena duduk dan sebaliknya. InsyaAllah kesemua kami akan berkesempatan solat dan berdoa di Raudhah.

Kami masuk secara berkumpulan dan dikumpulkan di satu tempat. Rasanya dalam 2 kali kami dikehendaki berkumpul dan menunggu sebelum terus ke depan. Petugas menempatkan jemaah mengikut bahasa....seronok mendengar petugas memberi arahan kepada setiap kumpulan....dalam bahasa kumpulan tersebut. Untuk kumpulan kami semua yang menggunakan bahasa melayu dan termasuk juga jemaah indonesia....jadi ayat2 biasa yang disebut oleh petugas ialah "duduk ibu duduk. Ibu duduk". Selepas 2 kali duduk dan menunggu akhirnya kumpulan kami dibenarkan untuk masuk ke Raudhah. Ketika ini suasana sudah mula kecoh dengan semua jemaaah berebut2 ke depan.

Aku tidak mahu tergolong dalam keadaan seperti itu. Aku mahu masuk secara tenang.



Alhamdulillah....akhirnya tercapai juga niat kami ke Raudhah. Ketika ini pertama kali air mata menitis di bumi Madinah. Tak dapat digambarkan perasaan ketika itu....terasa hati begitu sayu sekali....apatah lagi mengingatkan diri yang hampir2 tidak dapat menjejakkan kaki ke situ lantaran kelalaian kami. Allahuakbar...Subhanallah...Allah memberi peluang untuk kami muhasabah diri....


Dari Raudhah aku berjumpa kembali dengan Kak Norihan dan Kak Hasmah. Kami bertiga menuju ke Maqam Rasulullah, Abu Bakar dan Umar. Tiba di depan maqam Rasulullah air mata menitis lagi...air mata ketika itu sungguh mudah mengalir tanpa dapat disekat2. Kami mengucapkan salam kepada Rasulullah, Abu Bakar dan Umar. Aku melihat Kak Norihan dan Kak Hasmah, kedua2 mereka juga tidak dapat menahan air mata....mata dan hidung masing2 merah kerana menangis. Kami disitu beberapa ketika sebelum mula bergerak untuk keluar. Kelihatan petugas2 yang ada beberapa kali mengingatkan jemaah agar tidak berdoa mengadap maqam. Tanpa bersuara kami bertiga bergerak2 perlahan-lahan menuju ke arah tempat keluar....




Kisah Haji 12

Di Madinah rutin kami hari2 seperti berikut:

10.30 pagi / 11.00 pagi ke masjid (Zohor dalam 12.15)
Kembali ke hotel untuk makan tengah hari.
Jam 2.00 ptg / 2.30 ptg ke masjid (Asar dalam 3.18)
Kembali ke hotel untuk membersihkan diri.
Jam 4.30 /4.45 petang ke masjid (maghrib dalam 5.40mlm dan Isyak dalam 7.15 mlm).
Selepas Isyak kembali ke hotel untuk makan malam.
Jam 3.00 / 3.30 pagi ke masjid. (Subuh dalam 5.15)
Selepas dhuha barulah kami keluar untuk mencari breakfast.

Cuaca di Madinah ketika itu agak sejuk. Dan dalam 2 hari ketika kami di sana hujan turun. Tapi Alhamdulillah Allah kurniakan kesihatan yang baik kepada kami berdua dan kami dapat menjalani rutin2 seharian kami tanpa masalah.

Waktu kami berjalan-jalan di sana samada selepas Isyak dan juga selepas breakfast. Tapi anehnya di sana kami tiada perasaan untuk shopping....even rakan sebilik juga menyedari perkara ini. Memandangkan kami penerbangan awal ramai jemaah yang mengambil peluang membeli barang2 (shopping) di Madinah dengan niat apabila di Makkah tidak perlu memikirkan perkara ini lagi. Tapi untuk kami berdua langsung tiada perasaan untuk membeli barang. Kami tidak tahu mengapa tapi mungkin juga kerana kami begitu mengharapkan pemergian kami tidak dilalaikan dengan perkara lain...



Keadaan di Madinah tenang dan tersusun. Memang seronok untuk membeli-belah. Kedai-kedainya juga teratur dan suasana di sana sangat damai. Kami juga seperti jemaah2 yang lain akan ada juga masa-masa kami berjalan2 di sekitar hotel. Tapi untuk membeli barang tiada perasaan yang timbul! Inilah yang kami alami dan rasai sepanjang di Madinah

Pada hari ke-6 kami disana, kami ke Pasar Kurma. Niat kami untuk menyelesaikan urusan pada hari itu juga dan kami berdoa moga dipermudahkan Allah dalam urusan kami. Selepas solat dhuha kami ke pasar kurma...tanpa survey kami terus membeli kurma, kismis dan 2 jenis kacang di 2 buat kedai. Selesai urusan kami kembali ke hotel dan membuat urusan penghantaran barang2 yang dibeli itu ke Malaysia melalui Pos Malaysia. Alhamdulillah...semua urusan kami dipermudahkan ...kami dapat membeli dengan harga yang murah (sebenarnya kami tidak tahu tetapi diberitahu oleh rakan2 sebilik kami bahawa harga yang kami dapat murah sebenarnya) dan urusan kami dapat diselesaikan waktu itu juga dan Allah menunaikan niat kami untuk tidak leka dengan perkara2 yang tidak sepatutnya.

Kiranya itulah hasil shopping kami di Madinah...2 jenis kurma, kismis dan 2 jenis kacang.

Kami tidak menyesal tetapi puas kerana niat kedatangan kami ke bumi Madinah tidak terpesong. Tambahan pula dengan kami yang kurang persediaan, waktu di Madinah digunakan sebaik2nya sebagai persediaan menuju kemuncak haji....dari segi fizikal dan mental.

Kisah Haji 11

Tiba di Madinah Al Munawarrah..


Kami tiba di lapangan terbang waktu tengah hari. Alhamdulillah urusan di lapangan terbang tidak mengambil masa yang lama (mungkin keadaan belum sibuk memandangkan kami antara jemaah yang awal). Selesai semua urusan kami menaiki bas yang sedia menunggu untuk membawa kami ke hotel penginapan kami selama 8 hari di Madinah.



Ketika dalam perjalanan nampak ramai penduduk Madinah berpusu2 keluar. Rupanya mereka baru selesai mengerjakan solat Jumaat. Hati terfikir kita dah dekat dengan Masjid Nabawi. Betul sangkaan kami, tak lama selepas itu kami tiba di depan hotel. Hotel Movenpick Anwar Al-Madinah. Itulah penginapan kami di sana. Hanya 150m dari Masjid Nabawi. Aku abadikan nama hotel itu Movenpick sebagai nama blog ini dan Anwar Al-Madinah tiada masalah untuk diabadikan since aku ada Anwar..:)



Kami diberi 4 orang sebilik. Bilik aku bernombor 624 dan Anwar 625, hanya sebelah menyebelah. Aku sampai paling awal di bilik. Tak lama selepas itu 3 orang roommate aku tiba. Kak Hasmah dari Bandar Tun Hussein Onn, Kak Sunarti dari Ulu Langat (kami duduk bersebelahan dalam flight) dan Kak Norihan dari Cheras.


Memandangkan kami tiba selepas Zohor, aku dan Anwar berpakat untuk terus ke masjid. Sebaik sahaja bersiap dan membersihkan diri kami berdua menuju ke arah masjid. Tempat masuk untuk jemaah wanita tak jauh dari hotel kami. Selepas berjanji dengan Anwar untuk berjumpa kembali selepas Asar aku terus menuju ke pintu masuk.
Aku masuk melalui pintu Umar Al Khattab. Alhamdulillah....akhirnya aku menjejakkan kaki juga ke Masjid Nabawi.


Waktu itu masjid masih lapang. Mungkin kerana jemaah baru selesai mengerjakan solat Jumaat dan mungkin juga jemaah-jemah lain belum tiba di Madinah.

Walau apapun aku kini tiba di bumi Madinah. Moga kami diizinkan beribadat sepenuhnya di bumi Madinah dan tidak dilalaikan dengan perkara-perkara lain.



Selepas Asar aku berjumpa dengan Anwar di tempat yang dijanjikan. Dalam hati aku terfikir kalaulah dari awal kami dapat rasa perasaan kami ketika itu pasti kami tidak akan sanggup menangguhkan pemergian. Alhamdulillah...Allah izinkan kami sampai di bumi Madinah...kami berazam untuk menggunakan sebaik2nya 8 hari kami di sini. Tambahan pula selepas semua 'rasa' yang di beri kepada kami ketika di Malaysia mana mungkin kami mempersia2kan hari2 kami di Madinah.....

Kisah Haji 10

Kini kami berdua di Kelana Jaya. Di sekeliling kami penuh dengan jemaah haji dan saudara mara masing-masing. Tapi kami hanya berdua sahaja ditemani beg2 kami....2 beg Anwar dan 2 beg aku. Pemergian kami ini bermakna kami harus meninggalkan segala-galanya...anak, family. Kami mahu menghayati sepenuhnya konsep ini.

Lebih kurang jam 2 pagi pendaftaran bermula. Semua jemaah diminta untuk mendaftarkan diri. Waktu ini sudah terasa suasana kelam kabut. Kami beratur bersama jemaah lain menunggu giliran. Ketika ini kesabaran semua jemaah telah diuji. Akan ada yang memotong barisan dan sebagainya. Ada suara-suara yang tidak sabar. Kami hanya memilih untuk berdiam diri.
Sampai di ruang yang sepatutnya kami diserahkan passport dan boarding pass. Seterusnya beratur lagi untuk checking. Alhamdulillah hand luggage kami tiada masalah semua lepas pemeriksaan. Kami dibawa ke ruang menunggu untuk diberi taklimat sebelum menaiki bas.
Selepas taklimat kami menunggu giliran untuk menaiki bas untuk ke KLIA. Memandangkan sudah lebih kurang jam 5 pagi kami yang sudah lebih semalaman tak tidur mengambil peluang untuk tidur dalam bas.

Tiba di KLIA sudah masuk waktu Subuh. Kumpulan kami solat Subuh berjemaah. Di sini cabaran seterusnya ialah menunggu giliran di bilik air. Aku sendiri mengambil masa lebih kurang setengah jam sebelum dapat masuk.
Lebih kurang jam 7.30 pagi kami masuk ke dalam pesawat. Alhamdulillah setakat ini perjalanan kami berjalan lancar dan mengikut masa yang di jadualkan. Moga semuanya selamat sehingga kami tiba di Madinah.
Boleh dikatakan ketika awal penerbangan kami semua jemaah tidur memandangkan kami sudah berjaga semalaman. Bangun untuk makan dan seterusnya tidur lagi.
Antara waktu tidur - sedar - makan, aku mengambil peluang berbual dengan jemaah di sebelah....rupa-rupanya kami bakal sebilik di Madinah nanti!

Sunday, January 4, 2009

Kisah Haji 9

Hari keberangkatan....

Tarikh kami perlu mendaftar di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada 31 Oktober 2008, Jumaat jam 2.00 pagi.
Siang 30 Oktober 2008 kami menghabiskan tengok cd haji, dan siap2 barang dalam beg dan kemas rumah. Badan dah seram sejuk dah masa tu.
Lebih kurang pukul 4.00 petang bersama semua beg2, kami keluar dari rumah. First destination rumah baby sitter Fahim & Ziyad. Ambil mereka dan terus bertolak ke rumah adik aku di Bandar Tun Hussein Onn. Sebenarnya kami ke sana dahulu untuk menghantar parents aku. Selepas solat asar di sana kami bertolak untuk ke Serdang (rumah parents Anwar). Parents aku dan adik aku akan berjumpa kami di Serdang sebelum kami bertolak ke Kelana Jaya.

Sebelum berangkat Anwar teringat jam tangan tak ada. Rupa-rupanya tertinggal di rumah kami. Since Anwar perlukan jam tangan itu, kami pun berpatah balik ke Kajang Perdana. ..(cabaran dah bermula) Selepas ambil jam barulah bertolak ke Serdang. On the way ke Serdang berborak2 dengan Fahim & Ziyad. Basically apa yang mereka tahu kami nak ke Mekah nak buat Haji. Bolehlah macam itu. Fahim dah faham kami akan pergi lama. Ziyad? rasanya tak. Sempat juga kami berpesan pada Fahim agar jaga adik Ziyad baik2. Kalau Ziyad cari ummi tolong pujukkan. Last-last both of them tidur sampaila kat Serdang baru bangun...itupun mamai lagi

Kami sampai Serdang lebih kurang pukul 6 petang. Sampai sana...borak2 sikit...makan sehingga masuk Maghrib. Kami berkumpul satu family dan buat solat Maghrib berjemaah. Selepas solat baca doa/baca yasin etc sementara menunggu Isyak....Ketika ini kami menerima nasihat dan pesanan dari mak dan abah Anwar. Mereka juga inform supaya kami jangan risaukan sangat Fahim dan Ziyad, InsyAllah semua selamat. Ketika itu Fahim dah tidur balik. Ziyad pula main2 (rasa-rasanya dia tak tahu lagi kena tinggal). After Isyak aku dah rasa sakit kepala. Jadi makan panadol dan masuk bilik tidur.
Lebih kurang pukul 9.30 mlm parents dan adik aku datang bersama seorang sepupu aku.

Jam 10.30 malam azan dilaungkan oleh Anas (adik Anwar yang ketiga). Dan selepas itu terus bergerak. Fahim & Ziyad masa ini dah tidur dan diangkat terus masuk kereta. Aku berpisah dengan parents aku dan adik aku di Serdang sahaja since mereka tak akan ikut ke Kelana Jaya. Parents dan nenek Anwar serta adik2 ipar aku menghantar kami ke Kelana Jaya.
Sampai di Kelana Jaya, Fahim tak bangun2 tidur lagi diangakat dari kereta dan tidur atas Pak Ngah dia. Ziyad dah bangun.
Sewaktu menunggu Ziyad beberapa kali datang kat aku dan cakap "Ummi, nak susu ummi". Tapi Alhamdulillah dia tak banyak kerenah. Bawak jalan-jalan sekejap dia dah lupa pasal susu. Tapi kalau dia nampak aku jer mesti dia peluk. Agaknya masa tuh dia dah rasa akan ditinggalkan.

Mereka semua menunggu kami sehingga lebih kurang pukul 12.30 tengah malam...dan hari telah masuk ke hari Jumaat....2 jam setengah sebelum waktu mendaftar... kami tiada masalah ditinggalkan awal...dan niat kami sendiri memang inginkan begitu. Fahim masih tak bangun tidur dan kami tak kejutkan dia. Ziyad juga tiada masalah tinggalkan kami. Didukung neneknya dia hanya lambaikan tangan dan cakap bye bye.

Selepas itu tinggallah kami berdua di Kelana Jaya menghitung masa untuk pendaftaran dan seterusnya memulakan perjalanan haji kami....