Sudah lama saya hendak menulis mengenai posting kali ini. Kisah arwah Syafia Humairah yang didera, kisah seorang budak perempuan berusia 10 tahun dinikahkah oleh ayahnya sendiri, kisah kanak2 di tadika dan guru mereka yang diserang dengan tukul dan yang terkini kisah bayi yang dibuang di tempat pembuangan sampah.
Sedih dengan kisah terbaru pembuangan bayi. Tak dapat digambarkan bagaimana bayi sekecil itu yang belum pun berusia 1 bulan, bersendirian, tidak dapat berbuat apa-apa. Terfikir juga, jika ibu bayi itu sanggup mengandungkan bayinya sehingga 9 bulan, tidakkah ada rasa sedikit sifat kemanusiaan lagi untuk 'membuang' bayinya di tempat yang lebih elok....
Tidak selamatkah lagi anak2 kita? Dan apa yang telah terjadi dengan masyarakat kita sekarang? Teruk benarkah institusi kekeluargaan sekarang. Biasanya apabila kisah-kisah sebegini muncul, pelbagai pihak akan tampil memberi pelbagai cadangan. Menuding jari di sana sini. Bising seketika. Selepas itu kembali reda sehinggalah ada kisah baru pula muncul.
Saya terdengar salah satu komen yang diberikan oleh seorang pemanggil di radio. Di mana pada zaman jahiliyah dahulu, anak-anak perempuan dibunuh, ditanam oleh bapa mereka kerana mereka menginginkan anak lelaki. Anak perempuan tidak diperlukan. Sehingga datangnya Islam, menghapuskan segala perbuatan itu. Kini, di zaman yang dikatakan serba moden ini, perangai seperti mereka di zaman jahiliyah muncul kembali.
Saya mengharapkan keselamatan anak-anak saya dari segala cabaran di zaman serba moden + jahiliyah ini.