Jemaah sesat
Peristiwa tersesat atau berjumpa dengan jemaah sesat ialah cerita yang sentiasa diceritakan oleh mereka yang pernah ke Makkah dan Madinah. Sesat di Masjidil Haram juga antara cerita yang biasa kedengaran.
Kami juga pernah beberapa kali berjumpa dengan jemaah yang sesat di Masjidil Haram. Kebanyakannya mereka lupa pintu keluar, oleh itu mereka berpusing-pusing di Masjidil Haram untuk mencari pintu. Ada kalanya mereka lupa nombor pintu keluar mengakibatkan keluar di pintu yang salah dan sesat pula di dataran masjid.
Pada hari-hari terawal aku di Makkah aku pernah terserempak dengan dua orang jemaah Malaysia yang tidak berjumpa dengan pintu keluar mereka. Mereka juga datang secara muassasah seperti aku tetapi kami berlainan hotel. Kedua mereka lupa nombor pintu mereka dan info yang ada hanyalah nama hotel (yang pastinya aku sendiri tidak tahu di mana) dan mereka biasa keluar di pintu di mana di luarnya terdapat banyak burung merpati. Dengan info yang general seperti itu aku tidak dapat membantu tambahan pula aku sendiri belum familiar dengan keadaan di sana. Oleh itu apa yang aku dapat bantu ialah membawa mereka berjumpa jemaah Malaysia lain yang boleh membantu. Alhamdulillah Allah permudahkan kami berjumpa dengan seorang jemaah Malaysia yang mengetahui pintu yang sepatutnya mereka keluar.
Kisah itu hanyalah sedikit sahaja pengalaman aku berkenaan kisah jemaah sesat tetapi aku berkesempatan berjumpa dengan seorang jemaah wanita Malaysia yang sentiasa berjumpa dengan jemaah Malaysia yang bukan sahaja sesat malah seolah-olah hilang ingatan samada di Masjidil Haram ataupun di luar masjid. Mungkin beliau diuji dengan cabaran membantu jemaah sesat dan pastinya ada sebab di sebalik semua yang berlaku. Beliau juga mengakui hakikat itu dan sedaya upaya membantu mana2 jemaah yang memerlukan bantuan.
Di Mina juga kisah jemaah sesat ini juga perkara biasa. Ini disebabkan khemah2 di sana semuanya sama dan kebanyakannya jemaah tidak berjumpa khemah mereka yang sebenar apabila keluar khemah. Ada sesetengah jemaah di dalam khemah aku di Mina langsung tidak berani keluar khemah untuk mendapatkan air atau apa sahaja kerana bimbang sesat. Beliau hanya berulang alik dari khemah ke tandas sahaja. Pihak Tabung Haji sebenarnya menyediakan gelang untuk dipakai oleh semua jemaah di Mina yang telah tertulis nombor khemah masing2 oleh itu sekiranya ada yang sesat memudahkan pihak Tabung Haji atau jemaah lain membantu mencari khemah mereka. Tetapi ada juga jemaah yang tidak memakai gelang ini oleh itu sekiranya terjumpa mana2 jemaah yang sesat apa yang boleh dibantu hanyalah menghantar mereka ke khemah Tabung Haji.
Walau apapun itu adalah antara cabaran yang mungkin dihadapi di sana. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya dan hanya Allah yang Maha Mengetahui...
No comments:
Post a Comment