Melontar 10 Zulhijah
Malam selepas Maghrib kami semua berkumpul di jalan luar perkhemahan mengikut kumpulan masing2 untuk pergi melontar di Jamratul Kubra. Berdebar jua ketika berkumpul, kerana banyak kisah yang aku dengar berlaku ketika melontar. Dan kisah2 itu banyak juga yang berakhir dengan tragedi. Excited pun ada juga kerana banyak perkara yang aku tidak pasti seperti contoh, jarak khemah kami dengan tempat melontar, jalan yang perlu dilalui dan pelbagai lagi. Dan yang penting dengan lontaran pada 10 Zulhijah ini dapat dapatlah kami tahallul awal dan kami bebas dari pantang larang ihram kecuali 3 perkara.
Kami berjalan secara berkumpulan mengikut pemandu arah yang membawa nombor kumpulan kami. Laluan pertama kami adalah melalui terowong Muassim. Dan seterusnya menuju laluan yang telah disediakan. Walaupun laluan penuh dengan jemaah dari pelbagai negara tetapi keadaan tidak begitu sesak. Lagi pula di Mekah ketika hari-hari terakhir menjelang wukuf, semua jalan juga dibanjiri oleh jemaah haji, oleh itu perjalanan untuk pergi melontar adalah sama seperti apa yang kami rasai sewaktu di Mekah. Lagi pula jemaah yang telah selesai melontar tidak bertembung dengan jemaah yang hendak pergi melontar kerana dua laluan yang berbeza disediakan.
Aku tidak pasti berapa jauh perjalanan melontar tapi masa yang diambil lebih kurang dalam 30 minit untuk tiba di sana. Mungkin masa boleh disingkatkan jika tidak berjalan dalam kumpulan. Aku sendiri tidak pasti kerana mungkin kami sudah biasa berjalan jauh sepanjang di Mekah oleh itu perjalanan melontar tidak dirasakan begitu jauh.
Tiba di tempat melontar kami terus dibawa ke Jamratul Kubra yang berada di hujung jamrah. Kami akan melintasi Sughra dan Wusta sebelum tiba di Jamratul Kubra. Tempat melontar lapang dan tidak sesak oleh itu kami tidak perlu berasak-asak. Sesampai di Jamratul Kubra, aku dan Anwar terus ke depan dan melontar 7 biji batu. Habis melontar kami pergi ke belakang dan bergunting untuk melepaskan kami dari 10 pantang larang ihram....Alhamdulillah.
Perjalanan pulang dari melontar tidakla dirasakan jauh seperti perjalanan pergi. Mungkin juga kerana perkara yang perlu dibuat telah diselesaikan dan tiada lagi tanya tanya berkenaan tempat melontar dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment