Sunday, February 28, 2010

Berlalunya Februari 2010

Mac bakal menjelang dan Februari 2010 akan berlalu.

Bulan Februari, Munif mula mendapat skill baru, mengensot ke seluruh rumah dan mengejar apa2 sahaja yang menarik di matanya. Sekarang dia cuba-cuba pula untuk merangkak. Kalau abang-abangnya bermain, bulat matanya memerhatikan kedua mereka.

Ziyad pula ralit dengan hobi lamanya iaitu bermain puzzle. Tahun lepas puzzle menjadi kegemaran Fahim dan Ziyad. Kalau ke kedai, tak perlu dibeli mainan lain. Puzzle sudah mencukupi. Selepas beberapa bulan, Ziyad kini kembali dengan puzzlenya. Leka dia menyusun puzzle seorang diri.

Fahim, masih sama, rajin dan bertanggungjawab. Cuma kini dia suka mengusik Ziyad. Kala Ziyad leka menyusun puzzle kadang-kadang Fahim datang mengganggu. Tak tahulah kenapa. Mungkin juga dia terasa tiada teman untuk bermain lantaran Ziyad terlalu sibuk dengan puzzle-puzzlenya. Dengan Munif, dia menjadi abang yang terbaik. Sayang betul dia pada Munif.

Saya dan Anwar seperti biasa sibuk dengan kehidupan di pejabat dan rumah. Terasa tidak menang tangan menguruskan hidup seharian. Oh..penghujung Februari juga kami kehilangan 'pembantu' kami. Beberapa hari ini baju2 dibasuh secara manual disebabkan 'pembantu' kami yang meragam. Memang penat tapi untuk sementara waktu terpaksa dihadapi sementara menunggu 'pembantu' kami kembali.

Rasanya posting ini akan menjadi penutup tirai tulisan di bulan Februari 2010.

Wednesday, February 24, 2010

Soal jawab kelahiran

Fahim dan Ziyad suka apabila disoal begini.
Saya tanya mereka:
"siapa yang b**** dalam perut ummi?" Fahim akan angkat tangan sambil menjawab,"Fahim."

Saya tanya lagi:
"siapa yang keluar kena vakum?" Ziyad angkat tangan sambil cakap, "Ziyad."

Soalan seterusnya:
"siapa keluar dari perut ummi cara biasa?" Fahim & Ziyad tolong angkat tangan Munif dan dua2 berkata, "Munif."

Suka betul mereka berdua apabila disoal begini. Seolah2 mereka ingat apa yang berlaku walaupun sebenarnya saya yang menceritakan pada mereka.

Saya mengalami pengalaman bersalin yang berbeza untuk Fahim, Ziyad dan Munif. Fahim, saya terpaksa menjalani pembedahan disebabkan air ketuban telah bercampur dengan meconium (saya inform Fahim, yang dia dah b**** dalam perut). Ziyad pula terpaksa divakum lantaran saya tidak merasa sakit untuk bersalin sehingga tiada tekanan untuk 'push'(saya ambil ephidural dan hasilnya saya langsung tidak merasa sakit). Munif pula lahir secara biasa tanpa pembedahan, ephidural dan vakum.

Kadang-kadang saya sambung soalan ini pada mereka berdua.
Saya tanya Fahim," Fahim, kenapa Fahim b**** dalam perut ummi?". Fahim jawab, "sebab Fahim dah tak sabar nak keluar."

Ziyad pula saya tanya, "Ziyad kenapa Ziyad susah sangat nak keluar dari perut ummi. Penat ummi push Ziyad tak nak keluar jugak."
Jawab Ziyad, "sebab Ziyad suka duduk dalam perut ummi. Dalam perut ummi best"
Saya tanya lagi,"dalam perut ummi Ziyad makan apa?"
Dan jawapannya,"Ziyad minum susulah."

Tuesday, February 23, 2010

Malam ini....

Ini yang saya tulis di dinding facebook tadi: mesin basuh rosak...setelah sekian lama malam ini basuh baju cara manual...penat tak ingat...adoiii

Itulah cerita malam ini. Kami sampai di rumah pun sudah lewat. Dengan diri yang sudah letih. Bila nak basuh baju tup tup discover mesin basuh rosak. Baju tak sempat nak berbasuh. Saya tahu saya akan rasa lagi stress kalau melihat baju tak berbasuh, jadi saya pun mengambil keputusan membasuh baju secara manual. Betullah, benda yang tak biasa dibuat memang memenatkan. Itupun tak semua yang saya basuh sebab saya dah tak larat. Esok kena sambung basuh baju balik.

Mata dah mengantuk tapi tak boleh tidur. Anwar, Fahim dan Munif semua sudah tidur. Saya di sini mengadap komputer sambil ditemani Ziyad yang sedang sibuk membuat puzzle. Malam ini saya terasa kehilangan sedikit aura positif.

Nasib baik juga ada Ziyad sebagai peneman saya sekarang. Terasa teruja melihat keseronokan Ziyad bermain puzzle. Ziyad ini kalau sudah sukakan sesuatu itulah yang akan dia mengadap sehinggalah dia bosan. Terhibur pula bila mendengar celoteh Ziyad yang tak putus-putus sambil tangannya rancak menyusun puzzle. Kata Ziyad," Ummi sebenarnya Ziyad dah besar. Ziyad boleh main apa2 ajer. Ummi kasi tak Ziyad main game ultraman?"
Siap ada mukadimah lagi tapi saya tetap katakan padanya, "sorilah Ziyad, game ultraman ummi tak kasi."
Layan Ziyad borak best juga. Komen dan soalan-soalan dia buatkan saya tersenyum.

Macam tahu ajer yang saya sedang perlukan aura positif.

Terima kasih Ziyad.

Monday, February 22, 2010

Penat?

Baru-baru ini ada orang tegur saya. Dia cakap muka saya nampak penat sangat. Pastu dia tanya saya tak cukup tidur ke. Beberapa kali dia komen macam itu.

Penat ke saya? Tak cukup tidur? Emm..apa lagi nak expect kalau ada baby kan. Confirm tak akan ada malam dapat tidur sehingga pagi. Paling kurang sekali kena bangun untuk menyusu. Tapi kebiasaannya saya bangun 3 kali setiap malam untuk menyusukan Munif.

Tapi betul ke wajah kita boleh menunjukkan samada kita penat atau tidak. Saya tak pernah pula perasan muka saya nampak penat. Kalau muka mengantuk tu adalah juga. Macammana agaknya muka penat yer?

Lepas ini nampak gayanya kena amalkan gaya hidup dan pemakanan yang lebih sihat. Macam tak bestla pulak kalau muka asyik nampak penat. Nanti hilang semua aura positif.

Saya tanya Fahim, "muka ummi nampak penat tak?" Dan jawab Fahim," tak pun tapi muka ummi nampak letih."
Ok...penat dan letih lain yer maknanya?

Sunday, February 21, 2010

Ziyad rindu Fahim


Semalam Fahim tidur di rumah atuk dan neneknya. Ziyad tak pula mengikut Fahim. Esoknya Ziyad mula terasa ketiadaan Fahim.



Kasihan Ziyad. Dia tiada kawan untuk bermain. Dengan Munif apa sangatlah yang boleh dibuat main bersama. Ziyad bukan sahaja tiada teman bermain, tapi juga teman bergaduh, teman berlawan cakap dan teman untuk merajuk. Rumah pun jadi agak sunyi.



Ziyad, dia memang boleh main bersendirian tapi rasanya dia lagi seronok kalau Fahim ada bersama. Banyak masa dia habiskan tengok cerita Dora the explorer dan bermain dengan lego dan puzzle. Sekali sekala, Ziyad ajak saya bermain bersama dengannya. Ada kalanya dia mengintai ke luar dan bertanya bila abang Fahimnya nak balik.



Dan sekarang Fahim baru pulang. Barulah nampak Ziyad seperti dirinya yang asal...aktif dan lasak. Mereka bermain bola bersama. Baju pun dah basah dengan peluh. Fahim buka bajunya. Ziyad pula mestilah mengikut apa yang dibuat abangnya. Dia pun ingin buka baju. Dan Fahimlah yang tolong membuka baju Ziyad.



Riuh betul mereka berdua bermain. Munif menjadi pemerhati. Tunggulah tiba waktunya, Munif akan join sekali.

Thursday, February 18, 2010

Cerita satu malam

Sudah seminggu Munif boleh melunjur ke depan. Masih belum begitu laju tapi dia nampak enjoy dengan kemahiran baru ini. Sekurang-kurangnya Munif tidak lagi 'berbunyi' kalau ditinggalkan berseorangan kerana dia sudah boleh explore kawasan sekeliling.

Di kala saya menulis ini, Munif baru sahaja tertidur. Malam ini dia mudah tidur. Mungkin penat explore rumah agaknya. Fahim dan Ziyad pula sedang belajar mengaji dengan ustaz Khairil (ustaz mereka sebelum ini ialah ustaz Zul). Ziyad sudah beberapa kali keluar masuk bilik. Saya rasa dia sudah bosan belajar. Fahim seperti biasa tekun belajar.

Bila waktu-waktu seperti ini barulah terasa sunyi sedikit rumah. Kalau tidak pasti riuh dengan suara ketiga-tiga mereka (dan suara saya juga). Dalam keadaan begini baru saya sedar dah lama rupanya saya tidak menonton tv. Bukan tiada masa tapi kebiasaanya saya tak mampu untuk memberi perhatian pada cerita-cerita yang ada. Rasanya kami tak rugi kerana tiada astro. Siaran yang ada pun tak terlayan inikan pula nak ada astro.

1 jam bersama ustaz Khairil hampir tamat. Bermakna saya perlu berhenti menulis di sini. Ziyad baru sahaja keluar dari bilik, katanya, "yeii, Ziyad dah pandai."

Flowers are red

Pagi tadi saya mendengar lagu ini. Lagu yang cute dan comel dan saya tersenyum apabila menghayati lirik lagu ini.
Tapi sebenarnya di sebalik lirik Flowers Are Red, ada maksud yang lebih dalam. Tentang seorang budak, guru-gurunya dan perspektif mereka.

Ini liriknya. Selamat menghayati.

little boy went first day at school
He got some crayons and he started to draw
He put colors all over the paper
For colors was what he saw
The teacher said, "What you doin' young man?"
"I'm paintin' flowers see"
"Well this is not the time for art young man
And anyway flowers are green and red
There's a time for everything young man
a way it should be done
You've got to show concern for everyone else
For you're not the only one"
And she said...
"Flowers are red
Green leaves are green
There's no need to see flowers any other way
Than they way they always have been seen "
But the little boy said...
"There are so many colors in the rainbow
So many colors in the morning sun
So many colors in the flower and I see every one"
Well the teacher said� "You're sassy
There's a way that things should be
And you'll paint flowers the way they are
So repeat after me..."
she said...

"Flowers are red
Green leaves are green
There's no need to see flowers any other way
Than they way they always have been seen "
But the little boy said again...
"There are so many colors in the rainbow
So many colors in the morning sun
So many colors in the flower and I see every one"
Well the teacher put him in a corner
She said� "It's for your own good�
And you won't come out 'til you get it right
responding like you should"
Well finally he got lonely
Frightened thoughts filled his head
And he went up to that teacher
And this is what he said
"Flowers are red, green leaves are green
There's no need to see flowers any other way
Than the way they always have been seen"

Well time went by like it always does
he moved to another town
And the little boy went to another school
And this is what he found
The teacher there was smilin'
She said..."Painting should be fun
And there are so many colors in a flower
So let's paint every one"
that little boy painted flowers
In neat rows of green and red
And when the teacher asked him "why"

This is what he said..
"Flowers are red, green leaves are green
There's no need to see flowers any other way
Than the way they always have been seen."
But there must still be a way to have our children say,
There are so many colors in the rainbow
So many colors in the morning sun
So many colors in the flower and I see every one
There are so many colors in the rainbow
So many colors in the morning sun
So many colors in the flower and I see every one

Tuesday, February 16, 2010

Cuti tahun harimau

Saya suka bulan Februari. Banyak betul cuti. Kali ini cuti panjang lagi sempena Tahun Baru Cina.
Kami tidak pergi bercuti ke mana-mana. Masa cuti dihabiskan di rumah dan keluar ke tempat-tempat yang berhampiran rumah sahaja.

Hari ini hari terakhir cuti dan esok kami akan kembali ke rutin harian hari kerja. Siang tadi kami ke Mines. Masa banyak dihabiskan di Gramedia Book Store. Saya pertama kali mengetahui berkenaan kedai buku ini melalui Saifulislam.com. Teruja melihat kedai buku yang begitu besar dan penuh dengan buku pelbagai jenis dan genre. Dan hasilnya kami membawa pulang majalah komputer untuk Anwar, satu set puzzle untuk Ziyad, buku aktiviti dan pensil colour untuk Fahim dan buku paranormal untuk saya sendiri. Cuma Munif tidak dibelikan apa-apa (lain kali yer Munif).
Pada saya jika ingin mendapatkan buku untuk anak-anak, kedai buku ini amat bersesuaian. Pilihannya pelbagai.

Fahim dan Ziyad seronok di kedai buku. Memilih buku dan bermain. Kesabaran saya teruji dengan mereka yang sentiasa hilang dari pandangan. Itu baru 2 orang. Tak tahulah nanti apabila Munif dah dapat kaki, lagi besar ujiannya nanti. Apabila saya mengeluh pada Anwar, Anwar beritahu saya, extraordinary people akan melakukan extraordinary things - Oh, ini ayat untuk mengelakkan saya tension.

Kala ini, di waktu saya menamatkan tulisan ini, Ziyad sedang menyusun puzzlenya dan Fahim pula dengan buku aktivitinya. Munif sudah lena diulit mimpi.

Saya berhenti di sini dahulu.

Friday, February 12, 2010

Ibu bapa derhaka?

Posting ini ditulis hasil dari pembacaan majalah Solusi (saya tak pernah tahu kewujudan majalah ini sehinggalah Anwar belikan untuk saya baru2 ini).

Dalam majalah ini ada artikel berkenaan ibu bapa derhaka. Biasanya kita hanya tahu berkenaan anak derhaka. Tapi kali ini ibu bapa derhaka pun rupanya wujud juga.

Dalam mendidik anak kita sentiasa mengharapkan yang terbaik dari anak kita. Anak yang baik, rajin, pandai, bertanggungjawab dan pelbagai lagi Pelbagai cara digunakan untuk mengajar mereka ke arah matlamat kita. Betulkah cara kita? Kita mahu anak2 kurangkan masa dengan tv tapi apa gunanya kalau kita sendiri 24 jam mengadap tv. Kita mahu anak kita solat, melakukan segala suruhan agama, tapi kita sendiri? Dan macam-macam lagi yang kita mahukan dari anak kita sedangkan hakikatnya kita sendiri tidak menunjukkan contoh teladan yang baik untuk mereka.

Imam al-Ghazali mengingatkan, "Anak-anak merupakan amanah bagi kedua orang tuanya. Hatinya yang suci masih bersih tanpa ukiran dan gambar. Dia sedia diukir dan cenderung kepada apa sahaja yang mempengaruhinya. Jika dia dibiasakan dan diajar kepada kebaikan, maka tumbuhlah menjadi anak yang baik."

Petikan dari majalah Solusi," ironinya, jika ada segelintir ibu bapa yang sanggup mendera anak-anak mereka dengan api daripada puntung rokok di dunia, namun lebih ramai ibu bapa yang bakal mendera anak-anak mereka dengan api neraka. Ibu bapa ini adalah ibu bapa yang tidak menunjukkan teladan yang baik dalam mendidik anak-anak. Inilah ibu bapa yang derhaka!"

Saya: Banyak lagi diri saya yang perlu perbaiki....

Thursday, February 11, 2010

Kisah SHAMS 4

Ada sahabat memasukkan gambar-gambar zaman sekolah di facebook dan saya baru terbuka gambar-gambar itu semalam. Lantas tiba-tiba teringat kembali nostalgia zaman sekolah.
Seingat saya sepanjang 5 tahun di SHAMS ada beberapa perkara yang saya boleh maintain.
1) dari F1 hingga ke F5 saya duduk di kedudukan yang sama. Tentulah kelas berubah, tapi tempat saya masih sama. Jalur ke tiga dan di tengah-tengah kelas.
2) saya belajar sejarah apabila hendak tidur, menjadi bedtime story saya. Selalunya menjadi ubat tidur yang sangat mujarab

Dua benda ini saja yang ingat. Sebab 2 perkara ini tidak berubah sepanjang saya 5 tahun di SHAMS.

Dan kala peperiksaan SPM, saya demam panas pada 2 hari awal SPM bermula. Waktu itu seingat saya ada paper sejarah, BM, math dan kimia. Pada hari pertama SPM, lantaran badan dah tak larat sangat saya tertidur ketika paper sejarah dan BM berjalan. Dapat saja soalan, saya menjawab secepat mungkin, then tanpa semak jawapan, saya terus tidur sehingga habis waktu. Tak pernah terjadi sepanjang persekolahan, tapi berlaku ketika SPM. Haru betul.

Pengalaman di SHAMS banyak mengajar dan mendidik saya. Even kenangan pahit tetap menjadi guru paling berharga dalam hidup saya. Dan saya bersyukur atas segala kisah di SHAMS yang saya alami.

Wednesday, February 10, 2010

Kisah Richard dan Yamamoto

Malam ini saya tiada idea untuk menulis berkenaan apa. Lantas teringat bedtime story Fahim iaitu kisah Richard dan Yamamoto.

Ini kisah versi Fahim, saya tulis sepertimana yang diceritakan oleh Fahim pada saya. Enjoy the story...hehe

Pada suatu hari ada orang British, dia serang orang Melayu. Lepas itu orang Melayu kena jajah dengan orang British. Orang British bawa kapal terbang jatuhkan bom pada orang Melayu. Ini dulu-dulu bukan sekarang. Sekarang orang British tak jajah lagi.
Selepas itu ada pula orang Jepun. Kapal terbang mereka juga hebat seperti orang British. Nama orang Jepun itu Yamamoto. Kapal terbang Richard dengan Yamamoto berlawan tapi kapal terbang Yamamoto lagi hebat. Richard kena mendarat. Orang Jepun serang orang Melayu. Orang British kena undur sampailah di Thailand. Orang British fikir macam mana nak lawan dengan orang Jepun. Mereka fikir bagaimana nak ringankan kapal terbang untuk lawan orang Jepun. Dia ada satu idea. Orang British cabut semua bom dan peluru berpandu untuk ringankan kapal terbang. Tapi tak ringan lagi. Mereka fikir sampai pening kepala. Lalu orang British jumpa dengan naga untuk minta tolong. Naga suruh mereka cabut besi-besi yang dekat belakang sampai ringan tapi tak boleh ringan sangat nanti angin tolak sampai terbabur.
Richard lawan balik dengan Yamamoto. Mereka berlawan sehingga kapal terbang Yamamoto langgar kapal terbang Richard sehingga terbabur. Richard lompat keluar dengan kerusinya ke bawah dan Richard pun selamat.

Tamat cerita. Sila abaikan kesalahan ayat, tatabahasa, logik dan sebagainya. Ini cerita Fahim.
Sedang saya menulis kisah ini Ziyad pula sibuk menyiapkan kapal terbang Richard dengan legonya.

Tuesday, February 9, 2010

Adil dan saksama

Malam tadi, saya sedang monitor Fahim membaca. Anwar pula menjaga Munif. Ziyad berseorangan main lego di dalam bilik. Bila saya teringat, saya terasa sedih. Saya tak tahu adakah dia rasa tidak dipedulikan semalam atau memang dia sendiri tak kisah bermain seorang diri.

Malam-malam, saya perlu monitor progress pembelajaran Fahim. Munif pula saya dan Anwar bergilir-gilir bersama dengannya. Ziyad, kadang-kadang terlepas pandang. Mungkin juga kerana dia sendiri seorang yang tak kisah jadi kami take for granted keadaan itu. Kasihan Ziyad. Saya sangat mengharapkan tiada anak-anak saya yang rasa tidak dipedulikan. Saya perlu sentiasa berusaha memberikan layanan yang adil untuk mereka bertiga.

Cuma dalam keadaan sekarang biasanya Munif yang diberi lebih fokus apatah lagi dia masih kecil, dan menyusu dengan saya.

Oh..dan Ziyad walaupun dia main berseorangan semalam, tapi apabila dia keluar dia memberikan pistol lego kepada Fahim. Rupanya dia lama di dalam bilik, apa yang dibuatnya ialah buatkan pistol untuk Fahim dari lego. Ingat betul Ziyad pada abangnya. Dan saya gembira, mereka seronok bermain berdua selepas Fahim selesai belajar. Sebelum tidur saya bacakan buku favourite Ziyad - Dora the explorer padanya sebagai bedtime story, sebagai reward kerana menjadi good boy.
Kanak-kanak, ada kalanya kita tak tahu apa yang mereka rasa. Saya perlu lebih cuba memahami mereka.

Monday, February 8, 2010

Satu hari yang penuh

Malam Sabtu, Munif tidur tidak lena. Setiap satu jam beliau bangun. Bermula jam 12.30 tgh malam, 1.30 pagi, 2.30 pagi, 3.30 pagi, 4.30 pagi, 5.30 pagi. Jam 4.30 pagi saya dah tak mampu , kejutkan Anwar, passkan Munif pada Anwar dan saya tertidur. Mencabar sungguh malam itu. Tidur saya juga menjadi tidak lena. Mujurlah paginya Munif tidur agak lena sedikit.

Paginya ada usrah. Lama betul saya tak join usrah. Since usrah ini hanya untuk golongan hawa sahaja, saya membawa Munif bersama manakala Anwar bersama Fahim dan Ziyad. Seronok dengan usrah pertama ini. Di tambah pula Munif kurang meragam dan saya boleh fokus dengan perbincangan semasa usrah. Antara agenda sepanjang usrah, tadarrus al-Quran (surah ar-Rahman), perbincangan mengenai sedekah, ulasan buku dan cerita-cerita informal antara kami semua. Selepas itu dihidangkan pula spaghetti dari tuan rumah sebagai penutup usrah.


Dan ini antara aktiviti Fahim & Ziyad bersama Anwar ketika saya dan Munif sedang berusrah.





Satu hari yang penuh, aktiviti yang ringkas namun menyeronokkan untuk kami semua.

Sunday, February 7, 2010

Kisah kancil

Posting kali ini bertajuk kisah kancil jadi pastinya cerita-cerita yang akan saya tulis seterusnya ada kaitan dengan kancil. Kancil di sini bukannya kereta perodua kancil tapi sang kancil, haiwan yang dikatakan cerdik dalam cerita kanak-kanak.

Saya menulis posting kali ini kerana melihatkan dua posting sebelum ini berkenaan dengan haiwan jadi untuk meneruskan feel, saya teruskan dengan posting berkenaan kancil pula. Lagi pula saya teringat kembali perbualan saya dengan Fahim berkenaan haiwan, akal dan kancil sebelum ini.

Biasanya apabila berbual dengan Fahim, saya perlu sentiasa bersedia untuk menyediakan jawapan untuk soalannya yang pelbagai dan di luar jangkaan.
Satu hari Fahim bertanya saya apa yang membezakan manusia dan haiwan. Saya katakan padanya manusia dikurniakan akal fikiran dan boleh berfikir apa yang baik dan tidak. Haiwan pula tiada akal dan mereka tidak boleh berfikir. Lalu Fahim beritahu saya,"tapi nenek cerita pasal sang kancil yang pandai, dia boleh fikir.Maknya dia ada akallah" Belum sempat saya menjawab Fahim menyambung kembali," tapi itu dalam ceritalah. Sebenarnya sang kancil mana ada otak. Dia pun tak boleh fikir. Dia kan haiwan." Dan saya tidak memberi apa-apa komen lagi.

Saya teringat dalam buku tulisan Ustaz Hasrizal ada terselit kisah berkenaan kancil. Beliau menulis berkenaan anaknya yang mengatakan sang kancil itu penipu apabila beliau menceritakan kisah sang kancil kepada anaknya. Kenapa pula kancil itu penipu. Kerana untuk mendapatkan sesuatu, kancil menipu haiwan yang lain. Contohnya, kisah kancil dan buaya. Dalam cerita itu kancil menipu buaya untuk menyeberang sungai. Betul juga kan, selama ini kita fokus dengan cerita kecerdikan kancil hingga terlupa penipuan kancil.

Cerita sang kancil popular di kalangan kanak-kanak. Bermakna indirectly kita mengajar anak-anak kita menipu itu dibolehkan untuk mendapatkan sesuatu.

Rasanya cerita kancil tidak boleh lagi menjadi bedtime story anak-anak saya. Kalau ada pun, ceritanya perlu diubahsuai.

Friday, February 5, 2010

Kisah kucing


Alang-alang saya selitkan pasal kucing dalam posting saya sebelum ini, jadi posting kali ini akan berkisar berkenaan kucing.


Masa saya kecil-kecil dahulu, kami adik beradik selalu dibawa menziarah ke rumah saudara rapat kami. Di rumah beliau ada banyak kucing. Dan selalunya kalau datang ke sana, salah satu makanan yang dihidangkan ialah keropok. Saya memang suka makan keropok. Tapi masalahnya kucing-kucing di situ juga suka keropok. Jadi apabila saya makan keropok, kucing-kucing itu akan mengerumuni saya mengharapkan belas kasihan saya untuk berkongsi keropok saya dengan mereka. Tapi saya tak mampu sebabnya saya takut. Saya selalu terasa kucing2 itu akan melompat ke arah saya.


Rupa-rupanya fobia saya pada kucing terbawa-bawa sampai ke besar. Saya pernah mengelilingi satu kawasan sekolah kerana melarikan diri dari seekor kucing. Ketika itu waktu persekolahan sudah berakhir dan saya menunggu ayah datang menjemput. Tapi ada seekor kucing, yang saya tidak tahu mengapa sangat suka mengikut saya pada hari itu. Saya pusing keliling sekolah untuk mengelakkan diekori kucing tersebut, tapi tak berjaya. Sehingga ke kereta dia ikut saya. Tak tahulah apa yang menarik perhatian kucing itu. Takut ada cuak pun ada.



Sehingga sekarang serasa saya fobia itu masih ada. Kucing comel macam manapun saya tak mampu menyentuhnya. Dalam kepala saya asyik terbayang akan digigit oleh kucing. Nasib baiklah anak-anak saya tak ada fobia macam itu. Setakat ini tengok mereka ok saja dengan kucing.



Menyentuh soal kucing, salah seorang sahabat Rasulullah s.aw, Abu Hurairah sangat sayangkan kucing dan suka bermain dengan kucing sehingga beliau diberi gelaran Abu Hurairah.


Oh..saya juga sukakan kucing, tapi untuk memegang dan menyentuhnya..maaflah saya tak mampu.

Thursday, February 4, 2010

Kisah semut

Fahim & Ziyad (terutama Ziyad) suka bermain dengan kucing. Tapi sometimes mereka agar terkasar bila dah seronok main. Jadi saya selalu pesan pada mereka, tak baik buat kucing macam itu. Mereka pun makhluk Allah juga.
Oh ya, posting ini bukan pasal kucing sebenarnya.

Sekarang baru posting yang sebenar.
Semut banyak betul sekarang kat rumah. Pantang ada gelas yang terbiar atau sisa makanan sedikit pasti datang gerombolan semut. Jadi saya seperti bermusuh dengan semut-semut ini. Nampak ajer semut, adalah yang saya akan buat untuk mematikan (hehe...saya tak nak guna perkataan membunuh) mereka. Satu hari Fahim nampak saya tengah sibuk dengan 'musuh-musuh' saya itu dan terus dia tanya," kenapa Ummi buat kat semut camtuh, dia pun makhluk Allah juga."
Alahai Fahim, terus buat saya rasa bersalah.

Bercerita soal semut, saya teringat cerita seorang sahabat saya berkenaan cara seorang Tok Guru melayan semut (ini kisah benar seperti yang diceritakan oleh sahabat saya).
Sahabat saya pergi ke rumah seorang Tok Guru. Ketika sedang berbual, mereka nampak gerombolan semut berdekatan dengan beliau. Lantas mereka memberitahunya berkenaan semut-semut itu. Tapi tahu tak apa yang dibuat oleh Tok Guru itu? Beliau mengambil gula dan menaburkan gula dan semut-semut itu dapat berkerumun di situ.
Kalau saya (dan mungkin orang lain), pastinya semut-semut itu telah menemui ajalnya.

Dan Anwar juga pernah memberitahu saya, kalau semut ada di rumah sebenarnya ada good sign juga. Apa good signnya? Ia bermakna rumah kami tak ada anai-anai. Kenapa pula begitu? Sebab semut dan anai-anai tidak boleh tinggal sekali. Mereka saling berlawan.

Malah di dalam al-Quran juga ada surah an-Naml (semut). Di mana dalam surah itu ada menceritakan mengenai raja semut yang mengarahkan anak buahnya agar masuk ke sarang masing-masing agar tidak terpijak oleh Nabi Sulaiman dan tenteranya. Mendengar perintah raja semut itu, Nabi Sulaiman tersenyum dan takjub atas keteraturan kerajaan semut itu dan beliau mengucapkan syukur kepada Allah yang telah melimpahkan pelbagai nikmat kepadanya.

Dan kini saya teringat pula berkenaan kisah Fayad - semut yang rajin.

Saya rasa posting kali ini perlu diberi tajuk "Kompilasi kisah semut."

Wednesday, February 3, 2010

Ziyad demam

Minggu ini lama betul saya bercuti. Isnin - hari wilayah, Selasa - cuti replacement then Rabu saya ambil emergency leave - Ziyad demam.

Demam Ziyad bermula dari petang Selasa. Malam itu badannya dah makin panas. Siangnya saya decide untuk EL terus. Tak sampai hati pula nak pergi kerja tengok dia lemah sangat. Lagi pula bila dah demam selera makan tak ada terus ajer nampak cengkung.

Tak susah menjaga Ziyad. Cuma bab makan ubat susah sikit. Penat memujuk akhirnya saya buat cara garang pula, terus dia makan (Sorry yer Ziyad ummi garang sikit sebab nak Ziyad cepat sihat). Lain-lain dia ok saja tapi sempat demand nak makan pizza untuk lunch. Memandangkan dia memang tak ada selera makan, jadi dengan harapan dia akan makan kalau ada pizza, saya call domino pizza. Tapi akhirnya Ziyad makan 1 slice saja, yang lainnya saya habiskan...hehe.

Petang, demam Ziyad dah berkurang. Susu pun sampai 3 botol dia hisap. Dia seronok saya bersamanya satu hari. Asyik kena cium dengan Ziyad dan berulang kali dia beritahu saya, "Ziyad sayang ummi." Cair saya satu hari apabila Ziyad menunjukkan sayangnya.

Apabila malam, Ziyad dah betul2 sihat. Kembali aktif seperti sediakala. Alhamdulillah

Tuesday, February 2, 2010

Ayat-ayat cinta

Semasa belajar dahulu, seorang pensyarah (beliau seorang mualaf) pernah bertanya berkenaan ayat-ayat dalam al-Quran yang menjadi sumber inspirasi kami.

Saya tidak dapat menjawab soalan itu. Dan betul sehinggalah soalan itu ditanya tidak pernah pula saya terfikir sehingga ke tahap itu. Nampak sangat saya membaca Quran tetapi tidak menghayati makna di sebaliknya.

Pensyarah itu berkongsi dengan kami ayat al-Quran yang menjadi inspirasinya iaitu surah al-Insyirah. Antara maksud ayat dalam surah itu:

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan"

Seorang sahabat saya pula berkongsi sedikit maksud ayat dalam surah al-Baqarah:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"

Apabila membaca buku Travelog Haji tulisan Prof Kamil, ayat dalam surah al-Rahman yang bermaksud seperti berikut sentiasa diulang-ulang:

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"

Itulah antara ayat-ayat cinta Allah untuk kita makhluk ciptaannya. Semuanya ada dalam al-Quran. Tidak perlu lagi mencari falsafah yang pelbagai di luar sana.

"Dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang"

Dan saya rasakan saya dapat menikmati ketenangan yang luar biasa ketika di Tanah Suci kerana di sana tiada apa lagi yang perlu diingat selain Allah.

Monday, February 1, 2010

Salah susu

Bangun pagi2, selepas menyiapkan apa-apa yang patut, saya ke dapur. hajat di hati nak minum susu sebab dah lama betul tak minum untuk support tulang ini. Masa mengandung dan masa pantang konsisten jugalah minum susu tapi lepas itu ikut suka hati je.

Pergi ke dapur, capai sudu, mangkuk, buka kabinet dan terus ambil tin susu. Ambil sukatan yang biasa, campur air dan lepas itu masukkan cornflakes.
Duduk mengadap tv sambil menikmati susu dan cornflakes. Dalam kepala saya sibuk merangka jadual untuk aktiviti seharian. Selepas itu sedang saya berfikir-fikir pelbagai perkara tiba-tiba terdetik dalam hati saya: kenapa susu hari ini rasa lain jer?

Saya malas nak berfikir lagipun susu pun dah nak habis. Tapi automatik dalam kepala terus recall apa yang saya buat di dapur tadi. Ops, baru teringat, saya keluarkan tin susu besar dari dalam kabinet. Kalau tin susu besar maknanya itu susu Ziyad.
Susu saya kecil ajer tinnya sebab nak habiskan pun ambil masa.

Saya minum susu Ziyad rupanya. Patutla sedap.

Sorry yer Ziyad, Ummi kongsi susu dengan Ziyad hari ini.

Kisah Fayad & Zihim

Tadi Fahim bercerita pada saya kisah Fayad dan Zihim. Berikut kisahnya:

Pada zaman dahulu ada seekor semut bernama Fayad dan seekor belalang bernama Zihim. Pada suatu hari Fayad pergi ke rumah Zihim. Tok, tok, tok, Fayad mengetuk pintu rumah Zihim.
Zihim membuka pintu dan bertanya, "kenapa Fayad?". Fayad berkata,"Zihim jomlah kita pergi cari makanan."
Tapi Zihim tidak mahu pergi, dia berkata pada Fayad,"tak naklah aku nak main power rangers ini." Selepas itu Zihim menutup pintu rumahnya dan Fayad pergi mencari makanan seorang diri.

Pada keesokan harinya hujan turun dengan lebatnya. Zihim tidak dapat makan kerana makanannya telah habis. Fayad pula relaks sahaja di rumahnya kerana dia di rumahnya terdapat banyak makanan.

Esok harinya hujan turun lagi. Hari seterusnya hujan masih turun sehingga banjir. Zihim akhirnya pergi ke rumah Fayad. Tok, tok, tok, "Fayad bukalah pintu ini," panggil Zihim. Ketika itu Fayad sedang sembahyang di rumahnya. Selepas sembahyang Fayad membuka pintu rumahnya, dia berkata, "kenapa Zihim?". Zihim memberitahu,"aku lapar sudah dua hari aku tak makan."

Selepas itu Fayad mengajak Zihim masuk ke rumahnya dan makan bersama-sama. Malam itu Zihim tidur di rumah Fayad. Keesokan harinya hujan berhenti. Fayad dan Zihim mencari makanan bersama-sama.

Itulah kisah Fayad & Zihim yang Fahim ceritakan pada saya. Kisah ini sebenarnya bedtime story Fahim & Ziyad yang diceritakan oleh Anwar sebelum mereka berdua tidur. Dan diubahsuai sedikit oleh Anwar untuk jadi lebih menarik. Siap ada nama lagi, Fayad dan Zihim. Bila dengar beberapa kali baru perasan nama ini gabungan nama Fahim & Ziyad.

Yang sebenarnya....

Tajuk posting kali ini seolah-olah seperti lagu nyanyian Yuna. Tapi saya tidak mahu menulis tentang Yuna dan lagunya. Cuma saya ingin menceritakan kisah saya yang menyedari bukan semua yang kita pelajari boleh diterima bulat-bulat. Dan kisah yang sebenarnya....perlu dicari.

Dalam subjek sejarah, ada bab berkenaan tokoh-tokoh terkenal dalam lipatan sejarah. Salah satu tokoh (layak ke digelar sebagai tokoh?) yang diceritakan ialah Mustafa Kamal Attaturk. Kalau ikut teks, Mustafa Kamal Attaturk dikatakan sebagai bapa permodenan Turki. Itulah yang dipelajari dan diterima waktu itu.

Tapi makin jauh melangkah, makin banyak ilmu yang didengari, barulah tahu rupa-rupanya permodenan yang dibanggakan oleh Mustafa Kamal Attaturk itu telah mengorbankan kesucian Islam. Agama dipisahkah dari kehidupan seharian. Islam diperlekehkan. Turki dibawa untuk berpaksikan barat demi sebuah kemajuan.

Saya mula mengetahui kisah Mustafa Kamal Attaturk apabila belajar di universiti. Rasa kesal juga bila memikirkan lambatnya saya mengetahui kisah ini. Dahulu semasa di zaman sekolah saya fikir saya pandai Sejarah, tapi rupanya banyak benda yang saya perlu pelajari dengan lebih mendalam dan bukan setakat menghafal dan menerima begitu sahaja.